Tokoh bahasa sifatkan 'Sembah Derhaka' Nizar beradab, bukan kurang ajar atau satu penderhakaan, macam dakwaan Umno!


Dato' Seri Nizar Jamalauddin sewaktu melafazkan angkat sumpah menjadi Menteri Besar Perak yang ke 10, 10 bulan yang lalu di Istana Bukit Chandan, Kuala Kangsar

Nizar melambai-lambaikan tangan kepada pihak media sejurus meninggalkan istana setelah bertemu Tuanku Sultan Perak, 5hb Februari lalu

Dato' Hassan Ahmad bersama Dato' Dr Anuar Ridhwan (kanan) sewaktu pelancaran kempen Himpunan 100,000 Rakyat Bantah PPSMI di kaki lima Sogo

TOKOH bahasa terkenal, Dato' Dr Hassan Ahmad Hassan menegaskan tindakan Menteri Besar Perak yang sah, Dato' Seri Mohammad Nizar Jamaluddin yang melafaz 'sembah derhaka' kepada Tuanku Sultan Perak, jelas menampilkan tindakan 'beradab' beliau dalam menghormati institusi raja dan itu tidak boleh dianggap sebagai derhaka atau penderhaka, lapor Harakah terbaru semalam.

Ungkapan 'sembah derhaka' yang digunakan dalam percakapan istana tidak membawa maksud derhaka, menderhaka atau menentang perintah seseorang Sultan. Sebaliknya ia membawa maksud 'tidak bersetuju' dengan sesuatu pendapat atau keputusan Tuanku Sultan.

Hassan berkata, sekiranya seseorang itu mengadap Tuanku Sultan dan melafazkan 'sembah derhaka', itu tidak boleh dianggap sebagai derhaka atau penderhaka kerana perbuatan tersebut hanya menyatakan pandangannya yang berbeza atau tidak sependapat dengan Tuanku Sultan.

Merujuk kepada kemelut politik Perak, Nizar dilaporkan oleh media utama kononnya telah menderhaka apabila Menteri Besar itu melafazkan kata-kata 'sembah derhaka' kepada Tuanku Sultan Perak sebagai tanda tidak bersetuju dengan titah Tuanku Sultan agar beliau melepaskan jawatan Menteri Besar Perak.

"Itu adalah cara paling beradab Nizar untuk menyatakan perbezaan pendapat beliau dengan keputusan Sultan. Itu bukan membawa maksud menentang atau derhaka.

"Yang dikatakan derhaka apabila Nizar menentang atau melawan kuasa perintah Sultan seperti mengurangkan kuasa raja-raja dalam perlembagaan dan undang-undang," tegas beliau yang juga Pengerusi Yayasan Karyawan ketika dihubungi.

Mengulas lanjut isu yang telah dimanipulasi media dan pimpinan BN semahunya ini, Hassan menyifatkan ia mainan politik BN semata-mata. Katanya, kontroversi derhaka sudah terjadi di Terengganu ketika krisis perlantikan Menteri Besar dan penyokong BN jelas menentang Tuanku Sultan tetapi itu tidak pernah dianggap derhaka oleh media.
Tetapi ujarnya, apabila pihak lawan (PAS) yang jadi musuh mereka (BN), isu seperti yang menimpa Nizar dianggap derhaka.

"Nizar melafazkan sembah derhaka secara berdepan dengan Tuanku Sultan ketika menyatakan percanggahan pandangan beliau. Sedangkan di Terengganu, ada pihak yang berdemonstrasi dan menghina Tuanku Sultan secara belakang-belakang. Itu boleh dianggap derhaka," tegas beliau lagi.

Kenyataan Hassan itu turut disokong seorang lagi tokoh bahasa, Prof Emiritus Dato' Abu Bakar Abdul Hamid yang mempertegaskan istilah 'sembah derhaka' itu sebagai ungkapan pembuka kata yang digunakan oleh rakyat Melayu secara tradisi apabila mahu menyampaikan berita yang tidak baik seperti tentang pengkhianatan seorang pegawai istana atau apabila seorang pegawai istana tidak bersetuju dengan titah seorang Sultan.

Jelasnya, pihak yang melaporkan itu akan memulakan bicaranya dengan mengatakan, "Ampun Tuanku, sembah patik harap diampun. Sembah patik ini sembah derhaka".

"Ini bahasa yang halus yang digunakan dalam masyarakat Melayu lama sebagai alas cakap sebelum menyatakan pendapatnya yang bertentangan dengan arahan Paduka Raja," tegas beliau ketika dihubungi.

Sebelum ini, Naib Presiden Umno, Tan Sri Muhyidin Yassin menuduh Nizar derhaka kepada Tuanku Sultan Perak berikutan penggunaan istilah 'sembah derhaka' bagi menyatakan tidak bersetujunya beliau terhadap permintaan Tuanku Sultan agar beliau meletakkan jawatan Menteri Besar.

Berikutan itu, semua media kuasaan BN telah memanipulasikan didu dehaka ini untuk mengaburi mata rakyat, dengan menggambarkan Nizar sebagai seorang penderhaka kepada Tuanku Sultan Perak.

No comments

Powered by Blogger.