Unit Amal, bloggers dan media diraikan malaysiakini



IPOH (22.2.2009): Tugas dan pengorbanan anda selama ini amat saya hargai, kata MB Nizar kepada semua ahli unit amal, bloggers dan pihak media di dalam satu majlis meraikan mereka yang diadakan di kediaman rasmi menteri besar pagi tadi.



Majlis yang dipengerusikan oleh saudara Kamalullail dimulakan dengan bacaan doa oleh AJK Jabatan Amal Perak, Ustaz Kassuri.



Ahli-ahli unit amal yang bertugas di kediaman rasmi semenjak krisis bermula dianggarkan melebihi 200 orang tidak termasuk yang datang daripada segenap pelusuk negara.



Blogger albanjari pula diberi penghargaan untuk menyampaikan ucapan bagi pihak bloggersnetwork@perak dan bloggers-bloggers yang telah hadir.

Beliau mengucapkan berbanyak-banyak terima kasih kepada MB Nizar kerana memberi penghargaan yang sewajarnya kepada pengorbanan para bloggers dalam menyampaikan berita-berita yang terkini dan sahih melalui alam siber@internet. Juga terima kasih beliau kerana MB Nizar membenarkan mereka berkampung di kediaman rasmi untuk memastikan berita-berita yang terkini dapat disampaikan kepada umum.



Setiausaha akhbar MB Nizar pula, Haji Anuar Hashim memberikan sedikit latar belakang perkenalan beliau bersama MB Nizar yang mana menurutnya, beliau lebih mengenali MB daripada orang lain.

Beliau yang juga bekas ketua biro berita nasional di Pulau Pinang dan mempunyai pengalaman selama 15 tahun di dalam dunia kewartawanan berasa lebih tenang dan berkat apabila bekerja bersama dengan MB Nizar berbanding dahulu. Atas dasar itu, beliau menasihatkan para wartawan baik bloggers mahupun media perdana agar berhemah dan bertanggungjawab didalam laporan yang dibuat kerana segala tulisan dan laporan tersebut akan diminta pertanggungjawaban di akhirat kelak. Biarlah laporan yang dibuat telus dalam menyedarkan rakyat dalam membuat pertimbangan yang betul.

Beliau juga merakamkan ucapan terima kasih kepada MB Nizar kerana kesempatan yang diberikan bekerja bersama dan memohon ampun dan maaf kepada semua jika ada melakukan kesilapan dan terkasar bahasa semasa menjalankan tugas sebagai setiausaha akhbar MB.


Saudara Ariff B Shaarani, Timbalan Pengarah 1 Jabatan Amal Perak mewakili kesemua petugas-petugas unit amal menyatakan rasa terima kasih kepada MB Nizar kerana membenarkan mereka menjalankan tugasan amal mereka sebagaimana tuntutan yang dipertanggungjawabkan kepada mereka.

Menurutnya lagi, segala tugasan yang dilakukan mereka hanyalah mengikut arahan pimpinan tertinggi dan seandainya ada salah dan silap mereka, harap dapat dimaafkan. Juga segala tugasan mereka selama ini tidak mengharapkan apa-apa balasan seperti upah ataupun gaji kerana mereka percaya balasan amalan yang akan mereka perolehi di akhirat nanti.
Beliau juga merakamkan penghargaan kepada semua petugas unit amal yang telah menjalankan tugas mereka dengan cemerlang tanpa mengira waktu.



No comments

Powered by Blogger.