Waran tangkap Ronnie Liu tak sah: Peguam - malaysiakini







SHAH ALAM: Mahkamah Tinggi di sini, hari ini diberitahu bahawa waran tangkap yang dikeluarkan terhadap anggota exco kerajaan Selangor,Ronnie Liu Tian Khiew, pada 12 November tahun lalu tidak sah di sisi undang-undang.


Peguam Gobind Singh Deo, berkata, tiada pengesahan dibuat Mahkamah Majistret Petaling Jaya bagi waran tangkap itu supaya Liu dibawa ke balai polis Puchong pada tarikh berkenaan.

"Apa yang dilakukan pihak polis (membawa Liu ke Balai Polis Puchong) ialah bertentangan dengan peruntukan undang-undang. Pemohon (Liu) tidak dibawa kemahkamah seperti yang dikehendaki oleh waran itu," katanya mewakili Liu yang memfailkan notis usul supaya mahkamah menyemak semula dan mengetepikan waran tangkap yang dikeluarkan terhadapnya oleh Mahkamah Majistret Petaling Jaya, pada 12 November tahun lalu.

Dalam afidavit sokongannya, Liu berkata, bahawa pada 1.55 tengah hari, 12 November, ketika beliau berada di Bangunan Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah (SSAAS),sekumpulan pegawai polis datang menangkapnya berdasarkan satu waran tangkap bertarikh 12 November 2008 yang dikeluarkan oleh Mahkamah Majistret Petaling Jaya.

Kemudian, beliau dibawa ke Balai Polis Puchong sebelum dilepaskan dengan jaminan lisan RM2,000 selain diminta hadir ke Mahkamah Sesyen Petaling Jaya pada jam 9 pagi, 17 November 2008 untuk didakwa berhubung satu perkara yang dikatakan berlaku pada November 2007.


Timbalan Pendakwa Raya, Noorin Badaruddin dalam hujahnya pula berkata, bahawa pada 17 November tahun lalu, Liu dihadapkan ke Mahkamah Majistret Petaling Jaya atas tuduhan bersubahat dan sengaja menghalang tugas seorang penolong penguatkuasa Majlis Perbandaran Subang Jaya (MPSJ) untuk menutup Hotel Chile,dua tahun lalu.

Liu mengaku tidak bersalah dan minta dibicarakan.

"Kami akui bahawa ia (waran tangkap) tidak disahkan dan dimeterai oleh Mahkamah Majistret, cuma ada cop sahaja. Namun begitu atas fakta pemohon telah dituduh di mahkamah, jadi tidak ada apa-apa lagi perlu dipertimbangkan oleh mahkamah ini.

Noorin berkata, mahkamah tidak perlu mengambil kira bagaimana tertuduh dibawa ke mahkamah kerana ia dibuat secara sah.

Pesuruhjaya Kehakiman, Mohd Yazid Mustafa yang mendengar permohonan itu kemudian berkata, permohonan yang dibuat oleh Liu bukan untuk mempertikaikan bidang kuasa Mahkamah Majistret berkenaan tetapi apa yang menjadi isu ialah sama ada waran tangkap terhadap Liu dibuat mengikut peruntukan undang-undang atau sebaliknya.

"Pemohon juga membangkitkan isu sama ada wajar atau tidak polis mengatasi peruntukan itu. Isu ini penting dan mahkamah perlu berhati-hati dalam membuat keputusan. Justeru, untuk bantu mahkamah buat keputusan, adalah wajar TPR(Timbalan Pendakwa Raya) kemukakan hujahan bertulis," katanya.

Mohd Yazid kemudian menetapkan 4 Mac ini bagi membolehkan pihak responden mengemukakan hujah bertulis dan juga menetapkan 23 Mac untuk mendengar hujah daripada kedua-dua pihak.

Liu didakwa melakukan kesalahan itu berdasarkan peruntukan Undang-undang Kecil Hotel (Majlis Perbandaran Subang Jaya) 2007, Akta Kerajaan Tempatan 1976, di Jalan Kenari 6, Bandar Puchong Jaya, Petaling Jaya, antara jam 5.30 petang dan 6.30 petang 2 November 2007.

Pertuduhan adalah mengikut Seksyen 109 Kanun Keseksaan yang dibaca bersama Seksyen 186 kanun yang sama yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum dua tahun atau denda tidak melebihi RM10,000 atau kedua-dua sekali, jika sabit kesalahan. - Bernama

No comments

Powered by Blogger.