berita baik kepada umno!

KUALA LUMPUR: Tindakan bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad yang terus mengkritik Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi di pentas antarabangsa boleh menghakis keyakinan rakyat terhadap kepemimpinan negara dan Umno.

Pelbagai pihak berpendapat, tindakan itu yang dibuat selepas Dr Mahathir dilihat berdamai dengan Perdana Menteri pada Perhimpunan Agung Umno minggu lalu juga tidak membantu ke arah pemulihan parti berkenaan pada masa depan.

Timbalan Pengerusi Veteran Umno, Datuk Zaid Sirat, berkata sebagai bekas Perdana Menteri, Dr Mahathir sepatutnya memainkan peranan dengan memberikan nasihat secara baik, bukan mengkritik secara terbuka kerana ia boleh memecahbelahkan barisan Kabinet yang ada.

"Kami ahli veteran Umno berasa sedih, malu dan kecewa melihat perbuatan Dr Mahathir yang terus-terusan mengkritik Pak Lah," katanya memuji sikap Abdullah kerana tenang dan sabar menerima kritikan Dr Mahathir, sekali gus mencerminkan ketinggian keperibadiannya.

Zaid berkata demikian ketika diminta mengulas sikap Dr Mahathir yang terus menggunakan pentas antarabangsa mengkritik Abdullah, sekali gus bertentangan dengan perlakuannya yang hadir bersama Abdullah pada Perhimpunan Agung Umno, lalu seolah-olah mereka sudah berdamai.

Mufti Perak, Datuk Seri Harussani Zakaria, berkata tindakan mengkritik secara terbuka dan mengaibkan seseorang itu adalah berdosa dan ia bukan sikap orang Islam kerana perbuatan itu bertentangan dengan syarak.

Beliau berkata, Islam menyuruh seluruh umatnya saling bermaafan dan sentiasa bersedia memaafkan orang lain serta tidak menyimpan perasaan berdendam.

Penganalisis politik, Prof Dr Ahmad Atory Hussain, pula berpendapat Dr Mahathir akan terus dengan sikapnya mengkritik secara lantang dan bakal Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak juga dijangka tidak terkecuali daripada menjadi sasarannya selepas ini.

Bagaimanapun, katanya, sikap Dr Mahathir yang umpama 'haruan makan anak' itu dijangka tidak lagi memberi kesan besar kepada pentadbiran Najib yang mampu menangkis tohmahan selain rakyat kini semakin bijak menilai kritikan terbuka.

Pensyarah Pusat Pengajian Pembangunan Sosial Universiti Utara Malaysia (UUM), berkata tindakan Dr Mahathir itu lahir daripada perasaan terlalu kecewa apabila anaknya, Datuk Mukhriz gagal memenangi jawatan Ketua Pemuda Umno.

No comments

Powered by Blogger.