Dato' Seri Ir Nizar Jamaluddin Sebagai Penutur Mandarin


Khabarnya Gerakan Mansuhkan PPSMI (GMP) turut berada di Bukit Gantang dengan memperakukan Dato' Seri Mohammad Nizar Jamaluddin untuk pengundian 7 April ini.

Tokoh-tokoh besar GMP seperti Profesor bahasa Dr Abdullah Hassan, Dr Shaharir Mohd Zain dan penasihat GMP Sasterawan Negara Datuk A Samad Said turut berkempen di Bukit Gantang.

Saya berpendapat 'calon GMP' ini mempunyai kelebihan sebagai penutur bahasa Mandarin. Bukan, saya bukan bercakap mengenai kelebihan berdakwah atau kelebihan meraih undi.

Berdasarkan kajian Profesor Lera Boroditsky, berjudul 'Does Language Shape Thought?: Mandarin and English Speaker’ Conception of Time', dalam Jurnal akademik Cognitive Psychology volume 43, halaman 1-22, terbitan 2001; kita dapati penutur bahasa Mandarin mempunyai kelebihan untuk merancang dan melakukan gerak kerja masa hadapan dengan lebih berkesan. Malah kajian mendapati seseorang yang dapat menutur bahasa Mandarin dan Inggeris lebih efektif dalam aspek membuat dasar, pelan dan perencanaan.

Kajian Boroditsky juga menegaskan 1. bahasa adalah alat paling berpengaruh untuk mencorakkan pemikiran mengenai aspek-aspek abstrak. Ini bermakna pemahaman terhadap agama misalnya, atau budaya bangsa akan lebih berkesan jika diketengahkan menerusi bahasa ibunda. Selain itu 2. kajian mendapati bahasa memainkan peranan penting dalam mencorakkan habitat atau pemetaan pemikiran seseorang.

Tanpa menafikan keperluan menguasai pelbagai bahasa termasuklah bahasa Inggeris, kekuatan dan kepercayaan terhadap bahasa ibunda (dalam hal ini di Malaysia adalah bahasa kebangsaan kita) akan mencorakkan jenis manusia apakah yang kita lahirkan atau kita didik untuk masa hadapan.

Selain itu, kajian Dr Sophie Scott dari Wellcome Trust mendapati penutur bahasa Mandarin 'lebih canggih' dan 'lebih berupaya' daripada penutur bahasa Inggeris.

Dalam benak kita terdapat satu daerah yang dinamai 'left temporal lobe' yang akan menjadi aktif bila penutur bahasa Inggeris mendengar bahasa Inggeris. Namun, apa yang lebih menarik, penutur bahasa Mandarin menggunakan 'temporal lobe' kiri dan kanan, dan ini merupakan satu kelebihan.

Fungsi normal 'temporal lobe' kanan ialah untuk memproses melodi dan berucap. Menjadikan penutur dan pendengar bahasa Mandarin lebih sensitif, peka dan lebih 'terkehadapan'.

Menurut Dr Scott, hal ini berlaku kerana Mandarin banyak menggunakan intonasi untuk memberikan makna-makna yang sama sekali berlainan seperti perkataan "ma", boleh sahaja bermaksud 'ibu', 'marah', atau 'kuda'.

Kajian Dr Scott ini dibentangkan di Summer Science Exhibition di Royal Society, London pada 1-3 Julai 2003 (lihat
sini)

Berdasarkan dua kajian, iaitu makalah Profesor Lera Boroditsky dan Dr Sophie Scott tersebut, 'bakat' Dato Seri Ir Nizar lebih menyerlah berbanding calon lain. Saya tidak juga menolak adanya dakwaan calon ini boneka, derhaka, dan bermacam-macam lagi. Memang terdapat dasar terkini parti yang diwakili oleh calon ini kurang menggiurkan saya, namun peranan Dato Seri Nizar dalam mencetuskan penolakan terhadap dasar PPSMI menerusi tindakan anaknya menyaman kerajaan dalam tahun 2003, menjadi satu mata ganjaran yang berlebihan dan berganda buat ramai pejuang bahasa.

** Juga lihat entri 'Memperakukan Dato Seri Ir Nizar Jamaluddin' (klik sini).

* Foto diambil dari malaysianinsider.com

Faisal tehrani

No comments

Powered by Blogger.