Hanya menyusahkan rakyat?– NGO

KUALA LUMPUR 23 April – Sia-sia dan mempermainkan kepercayaan rakyat.

Itu adalah rangkuman pandangan pelbagai pihak tentang siasatan kes rasuah membabitkan bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Penanti, Mohammad Fairus Khairuddin yang disahkan ditutup semalam.

Menurut mereka, gara-gara dakwaan kononnya bekas Timbalan Ketua Menteri 1 itu terlibat dalam rasuah, maka beliau telah meletakkan jawatan sebagai ADUN kawasan tersebut. Tindakan itu telah menyebabkan kerusi DUN tersebut kosong dan menuntut pilihan raya kecil diadakan.

Siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bagaimanapun mendapati Mohammad Fairus tidak terlibat dalam rasuah. Namun bekas ADUN itu telah meletakkan jawatan, justeru pilihan raya kecil jika terpaksa diadakan semestinya bukan atas alasan munasabah.

Pengerusi Ikatan Kelab-Kelab Melayu Pulau Pinang (Ikatan), Datuk Seri Mohd. Yussof Latiff menegaskan, sememangnya sentimen rakyat di negeri itu mahukan kepimpinan kerajaan menumpukan pada agenda ekonomi bagi membawa kesejahteraan kepada rakyat.

Atas sebab itu, katanya, Ikatan merasakan pilihan raya kecil DUN Penanti sebagai sesuatu yang tidak wajar kerana ia bukan tidak boleh dielakkan seperti kematian.

‘‘Kalau misalnya prestasi Fairus tidak baik dan dia hendak digantikan, kita bukan tiada ADUN Melayu lain. Ada dua lagi dari PKR dan satu Pas. Ruang masih ada nak lantik mereka sebagai TKM 1,’’ katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

Sementara itu, Timbalan Pengerusi Tetap Majlis Belia Malaysia (MBM), Sobri Ahmad menegaskan, apa yang berlaku di Penanti menunjukkan kerajaan campuran di negeri itu mengambil kesempatan untuk berpolitik mengikut agenda sendiri.

Kata beliau, mereka bukan sahaja tidak menggunakan kesempatan untuk berkhidmat apabila menang, sebaliknya mempermainkan pula kepercayaan rakyat apabila sesuka hati mengosongkan kerusi.

Menurutnya, ini menunjukkan parti pembangkang yang membentuk kerajaan di negeri itu sebenarnya menggunakan DUN Penanti bagi kepentingan agenda peribadi pemimpin tertinggi mereka sahaja.

‘‘Sebab itu saya minta Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) kaji terperinci kesahihan surat Fairus itu, jangan sampai terperangkap muslihat mereka yang dilihat sanggup kambing hitamkan orang mereka sendiri,’’ jelasnya.

Timbalan Presiden Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS), Syed Anuar Syed Mohamad berkata, bukan niat untuk mana-mana NGO campur tangan tetapi suka atau tidak, mengadakan pilihan raya bermakna akan melibatkan wang rakyat.

Apatah lagi, katanya, ketika ini tumpuan adalah kepada membawa kesejahteraan rakyat dan bukannya membelanjakan wang untuk pilihan raya yang tiada faedah.

‘‘Sebenarnya empat tahun sekali peluang rakyat pilih pemimpin, bukan main-main macam kes Penanti. Bila Fairus tak salah, nampak sangat peletakan jawatan dibuat kerana tujuan tertentu.

‘‘Saya tak nak kata ada agenda lain tetapi setiap yang berlaku tentu ada rancangan di sebaliknya.

‘‘Namun perlu kita tegaskan, janganlah demi untuk agenda masing-masing, setiap tiga bulan sekali kita nak pilihan raya. Macam tak ada kerja lain dah di Malaysia. Kalau mati itu lainlah,’’ katanya.

awat p tanya NGO yang sokong umno jer? menyusahkan la sebab selalu kalah..rakyat dah tolak BN!

No comments

Powered by Blogger.