Ramai lagi ditahan kes SMS ugut Adun

KUALA TERENGGANU: Polis yakin membuat beberapa tangkapan termasuk perancang utama kes khidmat pesanan ringkas (SMS) ugut bunuh tiga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) negeri ini dalam tempoh seminggu lagi.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Negeri, Asisten Komisioner Mohd Fauzi Abduri, berkata polis sudah mengenal pasti perancang utama kes itu dan gerakan mencarinya giat dilakukan.

Katanya, polis ke rumah perancang utama itu di Marang kelmarin tetapi gagal menemuinya.

“Kita percayai lelaki berusia 40-an itu meninggalkan negeri ini dan berada di tempat lain,” katanya, semalam.

Mohd Fauzi berkata, polis percaya lelaki itu masih dalam negara ini dan sedang mengesannya bagi membantu siasatan.

Perancang utama SMS ugut bunuh itu dikesan apabila polis menahan kerani berusia 31 tahun yang bekerja dengan syarikat teknologi maklumat di Bandar Baru Bangi, Selangor, pada jam 9.30 malam tiga hari lalu.

Polis turut merampas beberapa peralatan termasuk komputer peribadi lelaki terbabit yang dipercayai digunakan untuk menghantar SMS berkenaan.

Sumber memberitahu, kerani berkenaan ada kaitan dengan 10 Adun yang memulaukan hari kedua sidang Dewan Undangan Negeri pada 14 April lalu.

Sementara itu, dalam perkembangan berkaitan, Mohd Fauzi berkata, polis membawa balik kerani yang berasal dari Johor itu ke Kuala Terengganu pagi semalam untuk direman empat hari.

“Polis masih menyiasat kerani itu untuk mengetahui sejauh mana pembabitannya,” katanya.

Beliau berkata, polis menjalankan siasatan mengikut Seksyen 507 Kanun Keseksaan kerana melakukan ugutan jenayah.

No comments

Powered by Blogger.