Parti lain pun ada masalah dan gejala

Oleh Suhaimi Said

Sdr Nizam pinta saya baca tulisan Azizi Haji Abdullah, dia kata pedas betul, dia hentam PKR habis-habisan.

Masa tu saya dalam perjalanan dari Kuantan ke Temerloh. Sampai di Temerloh, saya, Kak Hendon, Surina dan Syukri terus ke Rest House Temerloh untuk makan malam sebagai penghormatan kepada Leslie dan isteri dari Kelab Rotary.

Saya sampai di rumah jam 10.00 malam lebih sedikit, terus mandi, tunaikan solat Isya’ dan terus cari blog Azizi Haji Abdullah. Kebetulan jumpa, dan baca tulisan yang dimaksudkan oleh Nizam.

Ya, memang pedas. Saya harap semua ahli PKR dari pimpinan tertinggi hingga ke ahli akar umbi. Bacalah.

Pedas memang pedas, tapi mungkin ada pengajaran disitu. Azizi betul-betul provoke PKR, dan saya baca beberapa kali, saya dapat kesan bahawa dia bukan saja kritik, dia hentam bukan sebagai rakan tetapi seolah-olah dia ada agenda terselindung untuk menentang PKR. Dia kata dalam PKR ni hanya Datuk Seri Wan Azizah sahaja yang boleh diharapkan, yang lain-lain tu semuanya terpalit dengan perangai UMNO — bersengketa sesama sendiri, menikam dari belakang, mencari kesempatan kerana sudah terlalu lazim mendapat kesempatan seperti semasa Anwar berada didalam Kerajaan dulu.

Dia bandingkan PKR dengan PAS, bahkan dengan DAP seolah-olah semua ahli dalam PKR ini tidak ada pendirian, boleh dibeli, boleh melompat, rasuah dan sebagainya.

Sedap betul tulisan dia, mulutnya macam tak ada kunci.

Kes Fairus di Pulau Pinang adalah kerana ditikam dari belakang oleh rakan-rakan sendiri (mungkin ada kebenaran!), melompat di Perak sehingga gugur kerajaan Pakatan Rakyat, orang-orang PKR tidak boleh dipercayai! Sedap betul mulutnya.

Ini semua kerana orang-orang PKR itu hanya memakai baju PKR tapi masih berpegang teguh dengan ideologi UMNO yang dianggapnya sebagai lemah, tidak ada pegangan, rasuah dan boleh dibeli.

Dia bezakan PKR dengan PAS. Orang yang masuk PAS adalah terlebih dulu memahami Islam, kemudian mereka menjalani tarbiyah, usrah dan macam-macam lagi bagi mempertahankan aqidah dan pegangan. Mereka tidak akan keluar dari PAS kerana mereka berpegang teguh kepada Islam.

Azizi juga memuji DAP kerana tidak berlaku gejala seperti yang berlaku didalam PKR yang sebenarnya jelmaan UMNO, kata Azizi.

Baiklah. Saya rasa Azizi ini seorang yang sangat berprinsip. Sangat kuat pegangan beragama dengan hidup matinya adalah untuk Islam dan PAS adalah Islam, dan ahli-ahli PAS tidak akan keluar dari PAS.

Didalam Islam sebenarnya ada perkataan Munafik. Dalam bahasa seharian, kita gunakan perkataan hipokrit yang tidak begitu tepat untuk menyatakan elemen munafik itu. Tapi tak apalah.

Ertinya, ahli-ahli PAS juga mengalami gejala yang sama. Boleh menerima rasuah, boleh melompat, dan boleh bercakap lain dan perbuatan lain, dan boleh bersifat seperti ahli-ahli UMNO. Ini kes manusia.

Dari dulu lagi, kita ada gejala Ahmad Fuad, ada gejala Datuk Asri, ada gejala Abu Bakar Hamzah, ada gejala Senator Amaludin, ada gejala Ustaz Othman Abdullah, ada gejala Ustaz Nakhaie, ada gejala Ustaz Wan Ismail, ada gejala Ustaz Latif, ada gejala brother Fuad Zarkashi yang kini dah pun jadi Menteri, ada gejala yang sangat parah apabila golongan majoriti ADUN PAS Terengganu beralih kepada UMNO dan tumbangnya Kerajaan PAS, ada gejala sesetengah pihak berunding dengan UMNO untuk tubuhkan pakatan baru di Selangor, dan gejala yang paling besar seluruh saf kepimpinan PAS menubuhkan Barisan Nasional.

Ramai orang UMNO masuk PAS dan duduk dalam pimpinan, dan ramai juga orang PAS keluar parti dan masuk UMNO.

Ini adalah gejala manusia. Ia bukan terbatas kepada PKR sahaja. Ia melanda UMNO, MCA, MIC, PPP, Gerakan, bermacam-macam parti di Sabah dan Sarawak, PAS, DAP dan PKR.

Kita tentu masih ingat kepada nama besar dalam DAP seperti Goh Hock Guan, orang nombor satu dalam DAP dengan memegang jawatan Setiausaha Agung (orang paling penting dalam DAP) dan Lee Lam Thye yang memegang jawatan Penolong Setiausaha Agung (orang nombor 2 terpenting dalam DAP) dan puluhan pimpinan DAP di peringkat Pusat dan peringkat Negeri.
Ini adalah gejala manusia!

Ya, memang PKR tidak perfect, ya memang banyak kelemahan di dalam PKR, ya memang ada gejala tidak sihat didalam PKR, yang memang PKR kena memberikan latihan yang lebih bersungguh lagi kepada ahli-ahlinya.

Tetapi jangan kita perkecilkan bahawa PKR adalah terdiri daripada golongan-golongan yang selama ini tidak berpolitik, datangnya dari pelbagai NGO dan Kesatuan Sekerja, mereka ini tidak pernah menyertai UMNO, MCA, MIC atau Gerakan. Jangan lupa juga ramai juga ahli-ahlinya datang dari PRM, PAS, Gerakan, PPP, UMNO, MCA, MIC dan parti-parti di Sabah dan Sarawak.

Kita tidak menyatakan bahawa kerja mentarbiyahkan keahlian dari pelbagai gerakan terdahulu itu senang atau mudah. Pasti ada teething problem, dan dari masa ke masa tentu ada yang akan keluar dari parti itu seperti juga akan keluar ahli-ahli PAS, UMNO, DAP, MCA, MIC, PPP, Gerakan dan parti-parti di Sabah dan Sarawak.

Tetapi jangan dilupakan gelombang reformasi, jangan dilupakan gelombang tuntutan rakyat yang memperkukuhkan PR, dan jangan lupa bahawa PKR telah memainkan peranan penting didalam gelombang-gelombang rakyat itu.

Bersama-sama PAS dan DAP didalam Pakatan Rakyat kita akan bersama-sama memimpin gerakan dari lonjakan gelombang rakyat.

Yang cicir dan terkeluar tetap cicir dan terkeluar, tapi parti tetap maju kehadapan membawa Negara kepada Harapan Baru samada Azizi Haji Abdullah berkenan atau tidak. - Semangat Lubok Kawah

No comments

Powered by Blogger.