PAS: MB Kedah sedia tanding jawatan tertinggi


ALOR SETAR: Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Azizan Abdul Razak bersedia untuk bertanding sebarang jawatan tertinggi dalam Muktamar PAS Jun ini sekirannya beliau dicalonkan.

Bagaimanapun, Azizan yang Pesuruhjaya PAS Negeri berkata, beliau tidak akan melobi sesiapa untuk bertanding jawatan tersebut.

"Saya terlibat dengan pemilihan parti sejak 1994. Jadi saya tahu tahap kemampuan saya.

"Terserah kepada ahli parti untuk mencalonkan saya," katanya ketika diminta mengulas mengenai spekulasi mengenai beberapa jawatan tertinggi PAS akan dipertandingkan pada pemilihan kali ini.

Beliau berkata demikian selepas merasmikan majlis pecah tanah di Madrasah Perempuan Taklimiah Al-Khairiah di Tok Keling di sini hari ini.

Difahamkan, ada ura-ura mengatakan jawatan Presiden parti yang disandang oleh Datuk Seri Abdul Hadi Awang akan turut dipertandingkan pada pemilihan parti.

"Setakat ini, saya belum dengar ada mana-mana pihak telah mencalonkan saya untuk bertanding sebarang jawatan," kata Azizan yang telah dipilih sebagai Ahli Jawatankuasa peringkat pusat pada Mutkamar PAS 2007.

No comments

Powered by Blogger.