Pemeriksaan ketat sebelum masuk ke Stadium Nasional



ABDUL HAMID menunjukkan pelan pintu masuk ke stadium yang perlu dipatuhi oleh para penyokong Selangor dan Kelantan, pada sidang media di Kuala Lumpur semalam.


PENYOKONG pasukan Selangor dan Kelantan yang bakal menyaksikan perlawanan akhir Piala FA di Stadium Nasional, Bukit Jalil esok akan menjalani pemeriksaan yang menyeluruh sebelum memasuki stadium, lapor ATIKAH DALI.

Langkah tersebut adalah untuk memasti- kan penyokong kedua-dua pasukan tidak membawa masuk barang larangan seperti bahan letupan termasuk mercun dan bunga api, senjata tajam dan batang kayu.

Selain itu, mereka juga tidak dibenarkan membawa payung, topi keledar dan botol serta tin minuman kerana ia dikhuatiri boleh mencetuskan pergaduhan.

Ketua Jabatan Ketenteraman Awam Polis Kuala Lumpur, Asisten Komisioner Abdul Hamid Mohd. Ali berkata, pihaknya akan menahan serta-merta mana-mana individu yang didapati cuba membawa masuk bahan larangan itu ke dalam stadium ketika pemeriksaan dijalankan.

"Adalah menjadi kesalahan bagi mana-mana individu yang memiliki bahan letupan.

"Bagaimanapun, jika mereka membawa masuk barangan lain seperti payung, topi keledar serta tin minuman, kita akan menasihatkan pengunjung supaya meninggalkannya di luar stadium," katanya pada sidang media di ibu negara semalam.

Perlawanan akhir Piala FA yang bakal menyaksikan Selangor menentang Kelantan dijangka akan dihadiri kira-kira 90,000 penonton.

Menurut Abdul Hamid, pemeriksaan badan dan beg itu akan dijalankan di tiga pintu masuk stadium berkenaan seawal pukul 5 petang bagi mengelak kesesakan berlaku sebelum berlangsungnya perlawanan itu pada pukul 8.45 malam.

Kaunter tiket pula akan dibuka seawal pukul 10 pagi sehingga menjelang perlawanan bagi memudahkan penyokong untuk mendapatkan tiket.

Tambah Abdul Hamid, bagi mengelak sebarang pertembungan dan kejadian yang tak diingini berlaku, penyokong kedua-dua pasukan akan melalui pintu masuk yang berlainan.

"Penyokong Kelantan akan masuk melalui pintu merah (sebelah stesen LRT) dan bahagian kanan pintu hijau.

"Penyokong Selangor pula akan melalui pintu Biru (sebelah Majlis Sukan Negara) dan bahagian kiri pintu hijau," katanya.

Pihaknya juga berharap agar penyokong kedua-dua pasukan dapat datang awal ke stadium selain menggunakan kenderaan awam termasuk bas dan transit aliran ringan (LRT) bagi mengelakkan kesesakan.

Sempena perlawanan akhir itu juga, seramai 1,300 pegawai dan anggota polis dari pelbagai cawangan akan bertugas seawal pukul 9.30 pagi bagi mengelak sebarang insiden yang tidak diingini berlaku.

No comments

Powered by Blogger.