Pra-Penanti : Najib Altantuya Pura-pura Berani

Perahu sudah di air, dayung sudahpun di tangan. Najib Razak sudah berkuasa penuh sebagai Perdana Menteri keenam. Baginya, rakyat wajib didahulukan dan pencapaian perlu diutamakan.

Maka demi kepentingan rakyat, maka segala perbelanjaan mestilah dibuat dengan penuh hemah. Dan, demi meningkatkan pencapaian maka setiap urusan mestilah dinilai di segi manfaatnya kepada negara.

Lantas, bagi menyerlahkan pandangan ini kepada rakyat jelata, Najib pun melaungkan pendiriannya tidak mahu membazir dana rakyat dengan mengongkosi pilihanraya kecil di Penanti, Pulau Pinang.

Sehubungan itu, beliau menegaskan ini bukan bererti Barisan Nasional dan Umno yang dipimpinnya takut menghadapi Pakatan Rakyat di Penanti. Beliau hanya ingin menjimatkan wang rakyat, masa dan tenaga. Perhatian, katanya, mesti ditumpukan pada urusan ekonomi yang disergah kemelesetan ekonomi dunia.

Dilihat dari perspektif ini maka bolehlah dirumuskan bahawa pendirian Najib itu adalah bersandarkan perkiraan ekonomi. Lantas beliau memulangkan perhitungan kesan politik daripada pemikirannya yang enggan bertanding di Penanti itu kepada rakan-rakan politik dalam Umno dan Barisan Nasional.

Maka ramailah yang memberi pandangan. Reaksi Samy Vellu ibarat harimau kumbang yang terluka. Rekod buruk MIC dalam pilihanraya umum lalu tidak mematahkan semangat juangnya. Malah bertambah garang. Samy mahu BN meletakkan calon di Penanti!

Bagaimanapun Presiden Gerakan, Koh Tsu Koon yang baru mendapat habuan jawatan menteri (meskipun kalah dalam pilihanraya umum lalu), cepat-cepat memuji kebijaksanaan Najib yang mengatakan tidak perlu bertanding di Penanti. Beliaupun mengulang-ulang kata hikmat Najib – elak membazir sumber dan tenaga.

Sementara bagi pencacai lain, ramailah yang mengingatkan ahli Umno supaya membaca kata Najib itu sebagai larangan jangan ada ahli parti itu berkira untuk bertanding sebagai ahli bebas. Siapa yang engkar akan dipecat!

Pada permukaannya memang pandangan Najib itu kelihatan sesuatu yang mulia. Namun ada sedikit masalah dalam kes ini. Mentor Najib, Dr Mahathir Mohamad pula berpendapat Umno kena lawan di Penanti. Jika tidak, katanya, adakah apabila berlaku kekosongan kerana ragam atau takdir yang membabitkan ahli Umno sendiri di kawasan kuat Umno, parti itu juga enggan bertanding untuk jimat wang, masa dan tenaga?

http://greenboc.blogspot.com/

No comments

Powered by Blogger.