Raja Muda Perlis perlihat putera baginda


TUANKU Syed Sirajuddin Putra Jamalullail dan Tuanku Fauziah Tengku Abdul Rashid berkenan melawat cucunda baginda berdua sambil diperhatikan Tuanku Syed Faizuddin dan Tuanku Lailatul Shahreen Akashah serta Sharifah Katreena Nuraniah (kanan) dan Sharifah Farah Adriana (dua dari kanan) di Wad Diraja, Hospital Tuanku Fauziah, Kangar, semalam.


KANGAR 15 April - Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail berkenan memperlihatkan wajah putera sulung baginda untuk tatapan media di Wad Diraja, Hospital Tuanku Fauziah (HTF) di sini semalam.

Raja Perlis, Tuanku Syed Sirajuddin Putra Jamalullail dan Tuanku Fauziah Tengku Abdul Rashid turut berangkat bagi melihat cucunda baginda berdua.

Tuanku Syed Faizuddin bertitah, putera sulung baginda berada dalam keadaan sihat selepas dilahirkan Ahad lalu.

''Begitu juga keadaan Raja Puan Muda Perlis, Tuanku Lailatul Shahreen Akashah yang kini semakin sihat selepas melahirkan putera kami.

''Semenjak putera sulung kami lahir, saya tidak pulang ke istana dan menetap di hospital kerana hati saya bercampur-aduk risaukan kesihatan Raja Puan Muda serta teruja dengan kelahiran putera sulung kami," titah baginda.

Ahad lalu, Raja Puan Muda Perlis, Tuanku Hajah Lailatul Shahreen Akashah selamat melahirkan seorang putera sulung seberat 3.4 kilogram pada pukul 10.13 pagi.

Sebelum ini pasangan tersebut dikurniakan dua orang puteri iaitu Sharifah Khatreena Nuraniah yang dilahirkan pada 10 Februari 1995 di Kuala Lumpur dan Sharifah Farah Adriana pada 4 Mac 2001 di Zollikerberg, Switzerland.

Dalam lawatan itu, Tuanku Syed Faizuddin turut mengucapkan terima kasih kepada rakyat dan kenalan yang sentiasa mendoakan keselamatan Raja Puan Muda Perlis dan putera yang baru dilahirkan itu.

''Ahad ini, satu majlis pemasyhuran nama putera sulung kami akan diadakan secara sederhana di Istana Arau.

''Nama yang sesuai untuk putera kami telah difikirkan dan akan dimaklumkan ketika majlis pemasyhuran itu kerana menerima pandangan Mufti Perlis, Dr. Juanda Jaya yang menasihatkan agar putera sulung itu diberi nama selepas tujuh hari dilahirkan untuk mendapat keberkatan Allah," titah baginda.

No comments

Powered by Blogger.