zambry: isyarat kepada sultan atau kepada umnO?

KUALA KANGSAR 15 April - Menteri Besar, Datuk Dr. Zambry Abd. Kadir melahirkan rasa kesal dan kecewa kerana masih terdapat pihak tidak bertanggungjawab yang mengeluarkan kenyataan sensitif untuk menggugat keamanan negara.

Katanya, kenyataan terbaru yang dikesan ialah daripada laman web Malaysian Insider yang menyiarkan kata-kata biadab dan menghina Sultan Perak, Sultan Azlan Shah dalam salah satu artikelnya pada 7 April lalu.

''Salah satu artikel berkenaan menyatakan bahawa kemenangan Pas dalam Pilihan Raya Kecil Parlimen Bukit Gantang sebagai 'isyarat jari tengah' kepada Sultan Perak.

''Kenyataan lucah yang sangat biadab, melanggar adab dan kesopanan budaya masyarakat itu tidak boleh diterima sama sekali kerana sudah melampaui prinsip keluhuran undang-undang negara," katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat Exco kerajaan negeri di Majlis Perbandaran Kuala Kangsar di sini hari ini.

Zambry berkata, kenyataan yang tidak bertanggungjawab itu kemudiannya telah disebarkan oleh Ahli Parlimen Jelutong daripada DAP, Jeff Ooi.

Kata beliau, pemimpin pembangkang berkenaan telah mengambil petikan tersebut dan menyiarkannya di dalam blognya sekali gus terus mengundang rasa tidak senang banyak pihak.

''Semua pihak kena hentikan permainan sentimen rakyat, jangan terus membakar semangat dan emosi rakyat kerana ia bakal membawa keburukan kepada negara.

''Jeff Ooi dan Malaysian Insider langsung tidak beradab terhadap baginda Tuanku, ia amat berbahaya. Semua pihak tidak kira kaum harus bertanggungjawab mengekalkan kestabilan dan keamanan negara," tegasnya.

Semalam, Zambry juga menyifatkan Setiausaha Agung Pas Pusat, Datuk Kamaruddin Jaffar sebagai pemimpin yang tidak cintakan kedamaian dan kestabilan negara apabila menyatakan tunjuk perasaan berdarah seperti di Pattaya, Thailand mungkin berlaku di Perak.

Katanya, kenyataan pemimpin itu sangat berbahaya dan menggerunkan kerana seolah-olah menggambarkan sudah ada gerakan untuk mencetuskan keadaan huru-hara di negeri ini.

No comments

Powered by Blogger.