ramai pemimpin UMNO akan keguguran?

KUALA LUMPUR: Jawatan Ketua Umno Bahagian Labuan yang disandang Datuk Suhaili Abdul Rahman gugur dengan sendirinya berkuat kuasa serta-merta berikutan pendakwaan terhadap beliau di mahkamah.

Menurut kenyataan yang disiarkan dalam laman web Umno-online hari ini, pengguguran jawatan itu adalah selaras dengan Perlembagaan Umno, Fasal 10.10.

Dua hari lalu, Suhaili, 48, dihadapkan ke Mahkamah Majistret Kota Kinabalu atas tuduhan membuat kenyataan palsu kepada Mohd Naser Mohd Noor, seorang Jaksa Pendamai, berhubung pendaftaran Syarikat Saraequity Sdn Bhd pada 3 Ogos 1995.

Mengikut pertuduhan itu, Suhaili didakwa memberi maklumat palsu kepada Mohd Naser Mohd Noor dalam akuan berkanun, menggunakan nama Ahmad Suhaily Abdul Rahman dengan kad pengenalan bernombor H 0552182.

Suhaili yang juga bekas Ahli Parlimen Labuan turut dituduh menipu Malayan Banking Bhd cawangan Kota Kinabalu sebanyak RM160,000 untuk membeli sebuah apartmen di Kota Kinabalu pada 1996.

Sementara itu, Suhaili ketika dihubungi di Labuan hari ini mengesahkan menerima surat pengguguran itu.

"Surat telah saya terima...surat yang ditandatangani Setiausaha Agung Umno Datuk Seri Tengku Adnan," katanya.

Sambil meluahkan rasa kesal, Suhaili berkata beliau telah menemui Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin dan dinasihat supaya membuat rayuan.

Suhaili berkata pengguguran jawatannya itu sepatutnya dibuat hanya selepas dibincang pada mesyuarat Majlis Tertinggi parti.

"Ia (pengguguran) juga dibuat sebelum saya diberi hak untuk membuat pembelaan diri," katanya. - Bernama

No comments

Powered by Blogger.