UMNO Bakal Hancur : Orang Pak Lah Sedia Tumbangkan Najib
Malah beliau seronok dapat memandu isterinya ke ke sana ke mari memenuhi majlis undangan dan berjumpa kawan-kawan lama serta bekas anank buahnya di Jabatan Perdana Menteri kebelakang ini.
Sungguhpun secara luaran Abdullah atau Pak Lah nampak gembira tidak siapa tahu apa perasaan dalam benak sanubari beliau.
Walaupun ada desas desus mengatakan Pak Lah akan terus memegang jawatannya sehingga habis tempuh lantikannya pada 2013 namun beliau tetap melepaskan tampuk pemerintahan kepada Najib Razak lantas mengecewakan ramai penyokong setia dan juga kumpulan penasihatnya yang dikenali sebagai "budak-budak tingkat empat" (merujuk kepada tingkat empat bangunan Perdana Putra yang menempatkan Unit Dasar dan Unit Komunikasi, kedua-duanya dikepalai oleh "orang-orang" Khairy Jamaluddin, menantu Pak Lah).
Selain hal-hal peribadi banyak persoalan yang ingin diajukan kepada beliau sejak timbalannya mengambil alih jawatan Perdana Menteri 3 Mach lalu.
Rakyat umum tahu betapa Pak Lah terlalu sayangkan Khairy sebagai suami kepada satu-satunya anak perempuannya, Nori.
Bukan sahaja Khairy ditatang bagaikan minyak yang penuh sebagai menantu kesayangan malah Khairy juga pernah bekerja sepejabat dengan bapa mertuanya sebagai pegawai khas pada awal peringkat Pak Lah menjadi Perdana Menteri.
Apakah beliau gembira apabila memikirkan bagaimana penggantinya menyisihkan Khairy daripada kabinet yang diumumkan 9 April lalu.
Menambahkan luka dihati Pak Lah, Najib menamakan Mukhriz, anak kepada pengkritik hebat beliau, mantan Perdana Menteri, Dr Mahathir Mohamad, sebagai timbalan menteri.
Khairy dilihat lebih berhak mendapat habuan jawatan kabinet kerana baru sahaja memenangi pertandingan bagi Ketua Pemuda Umno, sayap kanan parti.
Dalam pertandingan tiga penjuru itu Mukhriz mendapat undi tercorot, kalah kepada Khairy dan Dr Mohd Khir Toyo.
Khairy seperti Mukhriz juga adalah seorang Ahli Parlimen. Jadi di mana letaknya logik Najib untuk melantik Mukhriz dan menolak menantu Pak Lah.
Tidak lain tidak bukan keadaan ini timbul hasil tangan Dr Mahathir yang membayangi karier politik Najib dari awal dan kini dengan munculnya Najib sebagai Perdana Menteri peranan Dr Mahathir sebagai mentor politiknya semakin menyerlah.
Dr Mahathirlah yang memastikan anaknya tidak keciciran menapak tangga politik dalam kerajaan Najib dan beliau jugalah yang menentukan Khairy tidak mendapat sebarang jawatan dalam kabinet Najib.
Rakyat sedia maklum betapa bencinya bekas Perdana Menteri itu kepada Khairy, menuduh anak muda berusia 33 tahun itu sebagai mempunyai pengaruh besar ke atas Pak Lah dalam urusan kerajaan dan parti.
Dr Mahathir sejak 2006 sehingga turunnya Pak Lah dari tampuk kuasa tidak henti-henti menghentam Khairy dan orang-orangnya di tingkat empat pejabat Perdana Menteri dengan meletakkan punca kelemahan kerajaan dan parti dan akhir sekali kekalahan teruk Umno dan Barisan Nasional pada pilihan raya umum ke 12 lalu sebagai angkara Khairy.
Pada pandangan Dr Mahathir, Khairy budak jahat hingusan yang mengawal Pak Lah dan Umno, sebab itu dia mesti dihapuskan pengaruh dan cengkamannya dalam kerajaan dan parti.
Maka bermulalah pembersihan segala legasi Pak Lah dalam kerajaan dan parti dan sasaran pertama ialah Khairy.
Selepas Khairy berjaya dinafikan jawatan kabinet langkah seterusnya ialah mentalkin Islam Hadhari ciptaan Pak Lah.
11 April lalu Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Mjr Jen (B) Jamil Khir Baharom berkata dasar perlaksanaan Islam Hadhari akan dikaji semula (baca: akan dikuburkan).
Inilah satu-satunya peninggalan program pentadbiran Pak Lah yang menjulang nama beliau sejak beliau menjadi Perdana Menteri pada 2003 dan Najib lalu mahu menghapuskannya tidak sampai seminggu usia kabinetnya.
Pak Lah masih mampu tersenyum walaupun Khairy disishkan dan Islam Hadharinya bakal mengakhiri hayat tidak lama lagi.
Walaupun sudah pencen jadi Perdana Menteri, Pak Lah masih kekal Ahli Parlimen Kepala Batas dan di Dewan Rakyat pun masih ramai wakil rakyat yang pro beliau.
Ini kerana kerajaan yang diwarisi Najib adalah kerajaan Pak Lah yang mendapat mandat rakyat pada PRU 12 lalu, jadi kebanyakan ahli parlimen adalah mereka yang dipilih dan disahkan oleh Pak Lah sendiri, bukannya Najib.
Dalam kabinet Najib boleh memasukkan kroni dan teman setianya termasuk yang kalah dilantik sebagai Senator tetapi lain pula di Parlimen.
Dalam Parlimen Pak Lah masih mempunyai blok pengikut yang besar.
Di Parlimen Pak Lah boleh dianggap sebagai ketua fraksi yang berpengaruh malah sokongannya akan menumbangkan atau mengukuhkan kerajaan.
Analisis rambang profil ahli parlimen Umno yang kini berjumlah 55 orang daripada keseluruhan 140 kerusi milik BN menunjukkan sekurang-kurang 34 adalah pro Pak Lah.
Ketiga-tiga Ahli Parlimen di Perlis adalah orang Pak Lah begitu juga, seorang di Melaka, tujuh di Perak, tiga di Negeri Sembilan, seorang di Wilayah Persekutuan, dua di Selangor, enam masing-masing di Johor dan Pahang, tiga di Terengganu.
Ini tidak termasuk Tengku Razaleigh Hamzah di Kelantan dan kerusi beliau sendiri di Kepala batas, Pulau Pinang.
Sekiranya Pak Lah menggerakkan hulubalang-hulubalangnya di Parlimen beliau mampu mendapat sekurang-kurang lagi wakil rakyat.
Ini menjadikan jumlah Ahli Parlimen yang bakal menyertai dan menyatakan sokongan padu kepada Pak Lah berjumlah 44 kesemuanya, 45 kalau termasuk beliau sendiri.
Sebelum ini Tengku Razaleigh telah beberapa kali melontarkan ide berhubung penubuhan kerajaan perpaduan di antara BN dan Pakatan Rakyat.
Dengan trend penolakan terhadap kepimpinan Najib sebagai Perdana Menteri baru lambat laun cadangan ini akan menjadi realiti.
Tidak mustahil Pak Lah dengan 44 wakil rakyat Umno akan bersama-sama Pakatan Rakyat untuk menubuhkan sebuah kerajaan perpaduan sekali gus menguburkan kerajaan Najib yang tidak sampai setahun jagung.
Mungkin blok Pak Lah akan menggerakkan usul undi tidak percaya terhadap Najib dengan sokongan Pakatan Rakyat, semua ini adalah tidak mustahil dalam dunia politik masa kini.
Sekiranya Najib bersama-sama Dr Mahathir terus menganiaya menantu kesayangannya itu Pak Lah tidak akan berpeluk tubuh sahaja dan lambat laun akan bertindak menentang penindasan Najib.
Setakat ini semboyan perang belum dibunyikan tetapi sampai satu ketika tidak lama lagi Pak Lah akan terpaksa mengumpul bala tenteranya melawan Najib sekiranya Khairy ditekan sebegitu hebat.
Kemungkinan Najib memanipulasi Lembaga Disiplin Umno untuk mengambil tindakan ke atas Khairy berhubung politik wang tidak boleh ditolak kerana sudah ada desas desus ke arah itu.
Pak Lah tidak akan terus berkecuali jika Khairy dikambinghitamkan oleh presiden baru Umno.
Najib juga dijangka meletakkan orang-orang kepercayaannya menerajui Badan Perhubungan Umno di setiap negeri tidak lama lagi.
Orang-orang Pak Lah akan dicantas dan digantikan. Ini proses biasa di mana-mana apabila berlaku peralihan kuasa.
Walau apa pun Parlimen akan bersidang semula Jun depan dan hanya percaturan kompleks politik akan menentukan jatuh tumbangnya kerajaan Najib.
-tvantara
No comments
Post a Comment