umno,mic,mca atau siapa yang bersalah bila BN kalah?

Zulkiflee Bakar

MUNGKIN ketika ini semua orang masih bercakap soal pembentukan Kabinet baru yang diumumkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak pada Khamis lalu, namun begitu ini tidak bermakna pembentukan Kabinet yang dianggotai oleh parti-parti komponen Barisan Nasional (BN) tersebut harus melupakan apa yang berlaku dua hari sebelumnya, iaitu tiga pilihan raya kecil yang diadakan di Bukit Selambau, Bukit Gantang dan Batang Air.

Mungkin untuk menyedapkan hati, kita boleh menggunakan istilah status quo kerana BN berjaya mengekalkan kerusi di Batang Air, Pas di Bukit Gantang dan Parti Keadilan Rakyat (PKR) di Bukit Selambau. Malah untuk menenangkan fikiran juga kita boleh menganggap kegagalan BN untuk merampas kerusi berkenaan kerana rakyat terpedaya dengan dakyah-dakyah pembangkang serta untuk menyejukkan perasaan kita boleh menganggap pembangkang meletakkan calon yang hebat seperti mana berlaku di Bukit Gantang.

Tetapi faktanya, kekalahan di dua kerusi itu telah menunjukkan dengan jelas bahawa BN masih belum mampu menarik kembali sokongan rakyat terutamanya bukan Melayu dan lebih penting lagi, kedua-dua kawasan yang tewas itu adalah kerusi tradisi milik BN. Malah kekalahan BN itu juga memungkinkan pembangkang membuat teori songsang mereka bahawa kepimpinan baru BN ditolak oleh rakyat.

Oleh itu sementara kita begitu menaruh harapan bahawa Kabinet Rakyat yang baru ditubuhkan mampu mengembalikan keyakinan rakyat kepada BN tetapi dalam masa yang sama BN juga perlu mengkaji semula pendekatan kempen yang digunakan.

Mungkin benar kata sesetengah pemimpin komponen BN bahawa sekarang bukanlah masanya untuk menuding jari tetapi persoalannya apakah mereka juga belajar daripada kelemahan masa lalu? Bagaimana mungkin segala permintaan yang dikehendaki oleh pengundi bukan Melayu sudah dipenuhi tetapi undi tidak juga dilontarkan kepada BN?

Selama ini komponen BN mungkin berasa selesa kerana setiap kali kekalahan berlaku dalam pilihan raya kecil ia dikaitkan dengan masalah dalaman UMNO tetapi di Bukit Gantang ia membuktikan sebaliknya apabila UMNO berjaya meningkatkan sokongan pengundi Melayu biarpun tiada peruntukan sebanyak RM1 juta diberikan kepada kaum berkenaan, tetapi kaum lain yang mendapat peruntukan sebanyak itu tetap juga menolak BN.

Ini sekali gus membuktikan bahawa masalah utama bukanlah BN itu sendiri tetapi komponennya seperti MCA dan Gerakan yang seolah-olah terus ditolak oleh masyarakat Cina. Hujah mengatakan bahawa MCA tidak mempunyai wakil rakyat di kawasan Bukit Gantang sejak tahun 1970-an adalah satu hujah dangkal yang hanya menampakkan bahawa di kalangan pemimpin parti itu masih lagi dijangkiti sindrom penafian. Apakah dengan kenyataan sedemikian ia bermakna kalau MCA berada dalam suatu kawasan ia akan membantu memberi kemenangan kepada BN, bagaimana pula dengan kawasan yang ditandingi oleh MCA sejak berkurun-kurun tetapi akhirnya tetap tewas?

Senario yang sama juga berlaku di Bukit Selambau apabila, pengundi-pengundi India seolah-olah mendapat keistimewaan apabila sebuah sekolah di kawasan berkenaan menjadi sekolah pertama mendapat peruntukan daripada pakej rangsangan ekonomi, tetapi kesudahannya BN tewas juga dan pengundi India tetap berpihak kepada pembangkang biarpun pembangkang tidak perlu mengeluarkan satu sen pun bagi meraih undi.

Semua keadaan ini telah menunjukkan bahawa ada sesuatu yang tidak kena kepada parti-parti komponen BN dalam usaha menarik pengundi bukan Melayu untuk kembali menyokong parti kerajaan tersebut.

Hakikatnya, ini bukanlah kali pertama BN seolah-olah dipermainkan oleh pengundi bukan Melayu biarpun segala tuntutan mereka sudah dipenuhi ketika kempen pilihan raya berlangsung. Di Kuala Terengganu, BN mengalami nasib yang sama apabila pengundi bukan Melayu tidak mengundi BN walaupun pelbagai peruntukan diberikan.

Justeru sudah tiba masanya BN mengkaji semula pendekatan terlalu melihat sesuatu kaum itu sebagai pengundi penentu sehinggakan mereka perlu dijaga bagaikan menatang minyak yang penuh. Kita bukannya berhasrat mahu mendesak BN supaya tidak bertindak adil kepada kaum berkenaan tetapi mereka juga harus memahami erti membalas budi.

Adalah lebih baik jika peruntukan yang banyak diberikan kepada pengundi termasuk bukan Melayu di sesuatu kawasan yang sentiasa menyokong BN sejak dulu, kini dan selamanya atau kepada pengundi Melayu yang semakin menampakkan sokongan kembali mereka kepada BN.

Pemberian peruntukan segera semata-mata untuk mendapatkan undi dan memberikan apa sahaja yang kehendaki oleh sesetengah golongan pengundi akhirnya hanya akan merugikan BN sendiri. Ia kerana adalah jelas apabila keputusan diumumkan BN bukan sahaja tewas malah di peti undi yang mendapat peruntukan atau perhatian khusus parti itu, ia turut dikuasai oleh pembangkang seperti mana berlaku di Bukit Gantang.

Bagi UMNO pula, pendekatan kempen juga perlu diubah, sikap berasa angkuh apabila bersama-sama dengan menteri ketika kempen atau masuk ke kampung-

kampung dengan kereta mewah harus dihentikan. Ini sudah berlaku di Kuala Terengganu tetapi ia berulang kembali di Bukit Gantang dan Bukit Selambau.

Lebih malang lagi ada sesetengah yang merasakan diri mereka ahli politik yang mengiringi menteri turut melakukan tingkah laku yang menimbulkan perasaan benci di kalangan pengundi. Ini berlaku di Bukit Selambau, apabila ada antara mereka bercakap angkuh di hadapan orang ramai tanpa menyedari bahawa perbuatan itu turut menjadi perhitungan kepada pengundi dalam membuat keputusan.

Mungkin ramai tertanya-tanya di manakah semangat berkempen yang begitu berkobar-kobar ketika pemilihan parti tetapi ia luntur apabila turun ke gelanggang pilihan raya.

Jika untuk berkempen merebut jawatan dalam parti, pemimpin-pemimpin UMNO bersedia mengeluarkan wang sendiri bagi meraih sokongan tetapi apabila hendak menggerakkan jentera pilihan raya, bilik gerakan akan sunyi sepi kalau wang peruntukan daripada UMNO pusat tidak turun. Semua ini menampakkan dengan jelas bahawa semangat berkorban untuk parti masih rendah.

Sebenarnya, kekalahan di kedua-dua bukit itu tidak termasuk di Permatang Pauh dan Kuala Terengganu seharusnya memberi pengajaran kepada BN bahawa mereka perlu memikirkan dengan serius pendekatan untuk mengambil semula hati rakyat. Ini bukanlah tugas yang mudah, apatah lagi dengan pendekatan agresif pembangkang yang menghalalkan apa juga cara asalkan mereka mencapai kemenangan dalam pilihan raya.

BN tidak boleh selama-lamanya menguar-uarkan bahawa mereka pilihan terbaik tetapi dari segi pendekatan kempen dan tindakan ia menampakkan keadaan sebaliknya.

Berdasarkan hakikat itu, kekalahan di dua bukit tersebut tidak boleh dipandang ringan kerana adalah tidak mustahil selepas ini akan ada lagi pilihan raya kecil, sebelum disusuli dengan perhitungan akhir dalam Pilihan Raya Umum Ke-13.

BN perlu kembali kepada pendekatan berkempen suatu ketika dahulu iaitu hanya menaburkan janji dan kemudiannya menunaikannya apabila kemenangan sudah berada dalam genggaman dan bukannya beri dahulu tetapi undi entah ke mana.

Seperkara lagi, sikap sesetengah parti komponen BN yang meninggalkan suatu kawasan selepas kalah dalam pilihan raya juga harus dihentikan. Ini kerana mereka tidak boleh hanya menunjukkan muka apabila pilihan raya diadakan sahaja.

Inilah yang berlaku di Bukit Selambau apabila komponen BN langsung tidak turun ke kawasan itu selepas tewas dalam pilihan raya umum lalu, mereka hanya hadir apabila pilihan raya kecil hendak diadakan. Kalau mereka mendakwa wakil rakyat pembangkang tidak buat kerja, apakah sepanjang tempoh itu ada pemimpin BN setempat yang turun berkhidmat untuk rakyat?

Parti-parti komponen BN terutamanya MCA, MIC dan Gerakan mempunyai tanggungjawab berat untuk mengembalikan sokongan bukan Melayu kepada BN. Mereka tiada alasan lagi kerana sudah banyak tindakan dilakukan oleh kerajaan bagi memuaskan hati golongan itu dan terbaru, MCA dan Gerakan yang tidak mencatatkan prestasi cemerlang serta gagal meraih undi di Bukit Gantang diberikan kuota kerusi Kabinet yang agak memberangsangkan.

Jangan sampai, apabila BN kalah lagi dalam pilihan raya kerana bukan Melayu tidak menyokong parti itu akan ada tanggapan bagaimana mungkin ‘sebuah syarikat yang rugi turut diberi bonus.’

Kini segalanya terserahlah kepada BN menentukan strategi seterusnya, apa yang pasti sebarang perubahan pendekatan perlu dilakukan mulai sekarang dan bukannya membiarkan ia berlanjutan dalam pilihan raya-pilihan raya seterusnya.


kahkahkahkah...umno banyak wat taik......kahkahkahkahkah...malunyer!!!!!! kahkahkah...orang dah pakat tak sokong umno dah....parti keramat la konon..kahkahkaha...parti keramat pelahap wang rakyat!

No comments

Powered by Blogger.