Iran dan Imam Bukhari

Artikel ini dari agensi berita Bernama (lihat sumber asal). Sungguh indahnya perpaduan ummah, kerajaan Iran memberi dana membiayai kompleks makam Imam Bukhari.

Daripada Jamaluddin Muhammad

SAMARKAND (Uzbekistan), 15 Nov (Bernama) -- Kira-kira 1,000 pelawat, termasuk bukan Islam dari seluruh dunia, menziarahi makam ulama Hadith terkenal Imam Al-Bukhari di sebuah kampung bernama Khartang di sini.

Sejarawan tempatan Abdul Ghani Mukmin berkata bangunan berbentuk empat segi berhiaskan arca di kawasan asal makam Imam Al-Bukhari yang ada sekarang telah dibina oleh kerajaan Uzbekistan pada 1997 dengan pembiayaan kerajaan Iran.

"Ia dibina 1,225 tahun selepas kematian Imam Al-Bukhari," katanya semasa di temui di kompleks Imam Al-Bukhari di sini.

Beliau berkata kompleks itu dibina selepas Uzbekistan mencapai kemerdekaan daripada Soviet Union pada 1991, yang sebelum itu mengharamkan umat Islam menunaikan solat di masjid dan menziarahi kawasan perkuburan.

Kompleks Imam Al-Bukhari, yang menggunakan seni bina Uzbekistan, dirasmikan pembukaannya pada 23 Okt 1998. Bagaimanapun, kebanyakan pengunjung hanya dibenarkan melawat bangunan itu sahaja, manakala makam asal Imam Bukhari yang terletak di bawah bangunan berkenaan, hanya boleh diziarahi dengan melalui satu pintu khas setelah mendapat keizinan daripada pihak berkuasa yang bertanggungjawab mengurus kompleks itu, kata beliau.

Selain makam ulama terkenal ini, kompleks berkenaan mengandungi Masjid Al-Bukhari dan sebuah muzium yang mempamerkan kitab suci Al-Quran dari beberapa negara Islam.

Nama sebenar Imam Al-Bukhari ialah Abu Abdullah Muhammad ibn Ismail al Bukhari. Beliau dilahirkan pada tahun 194 Hijrah, bersamaan 810 Masehi, di Poyikent, sebuah kampung di Bukhara.

Abdul Ghani berkata, mengikut sejarah, sejak kelahirannya, Imam Al-Bukhari tidak memiliki daya penglihatan, sehinggalah beliau berusia dua tahun.

Apabila mencapai usia enam tahun, beliau mampu menghafaz seluruh kitab suci Al-Quran dan ulama besar ini menetap di Arab Saudi selepas menunaikan ibadah haji ketika berusia 16 tahun bagi mengumpul dan menyusun Hadith mengikut urutan asalnya.

Imam Al-Bukhari mengambil masa 40 tahun untuk mengumpul Hadith dan hanya menulisnya setelah meneliti perawi semua hadith terbabit bagi menjamin kesahihannya.

Setelah urusan ini selesai, beliau kembali ke Bukhara untuk mengajar di madrasah.

"Imam Al-Bukhari diperintahkan meninggalkan Bukhara oleh keluarga diraja ketika itu apabila beliau enggan datang ke istana bagi mengajar anak mereka kerana berpegang teguh pada prinsip bahawa bukan guru yang pergi mencari murid, tapi muridlah yang perlu datang kepada guru untuk menuntut ilmu," kata Abdul Ghani.

Ulama Hadith ini kemudian membawa diri ke perkampungan Khartang dan menghembuskan nafas terakhir di sana pada tahun 256Hijrah, bersamaan 870 Masehi.

"Kata mereka (penduduk kampung berkenaan) selepas beliau dimasukkan ke liang lahad di Khartang, seluruh kampung itu harum dengan bau kasturi untuk beberapa lama dan pada awaktu malam, sekitar kawasan kubur beliau diterangi cahaya," kata Abdul Ghani.

-- BERNAMA

No comments

Powered by Blogger.