Pilihanraya (Kecil atau Umum) Bukan Satu Pembaziran

Selepas majlis penamaan calon pilihanraya kecil Penanti selesai, saya terus ke sebuah kedai nasi kandar yang terletak di Seberang Prai. Di sana, saya sempat berbual dengan beberapa orang aktivis Pas dari Kelantan dan Selangor. Tanpa diduga, salah seorang daripada mereka mengistiharkan saya sebagai Melayu Terbilang. Saya fikir ada besar kemungkinan dia hanya bergurau.
Barangkali itu cara dia memberi penghormatan atau pujian. Cara dia berucap itu menampakkan keikhlasan namun gelaran itu membuat saya tidak senang duduk dan rasa serba salah. Tiada ada apa yang gemilang lagi terbilang tentang diri saya ini.

Menurut UMNO, gelaran itu telahpun diberikan kepada Tan Sri Syed Mokhtar Al-Bukhary pada bulan lepas. Sebelum Tan Sri Syed Mokhtar, kita rasa kagum dengan para Melayu lain yang juga terbilang seperti Tun Daim zainuddin, Tan Sri Tajuddin Ramli, Tan Sri Halim saad, Allahyarham Tan Sri SM Nasimuddin, Tan Sri Abu Sahid (tuan punya Maju Holdings) dan termasuk beberapa orang lain yang dikenali sebagai Raja-Raja AP. Apa yang menyerlah tentang personaliti dan watak mereka yang terbilang ini ialah sifat mereka yang terlalu ‘low key’. Tidak banyak yang diketahui tentang sejarah hidup mereka. Malahan, berita mengenati bisnes mereka juga tidak banyak mendapat liputan kecuali apabila keadaan memaksa. Mereka ini seolah-olah malu untuk diketahui umum. Memang benar, terdapat juga jutawan dari negara-negara barat yang bersifat ‘recluse’ kerana tidak mahu kehidupan serta cerita kejayaan mereka diketahui umum, namun golongan ini tidaklah ramai. Di sana mereka lebih suka bercerita tentang kejayaan rakyat agar dapat dicontohi semua. Bill Gates, Richard Branson atau Warren Buffet adalah ikon mereka. Malah, saya begitu gemar membaca buku-buku yang ditulis oleh Richard Branson, yang menceritakan kejayaan beliau menjadi jutawaan terkemuka walaupun datang daripada sebuah keluarga miskin serta tidak mempunyai ijazah universiti. Alangkah baiknya jika terdapat buku-buku yang ditulis mengenai cerita kejayaan orang-orang Melayu terbilang? Analisis dibuat tentang bagaimana mereka berjaya dalam bisnes agar anak-anak Melayu dapat mempelajari teknik-teknik mencapai sukses dalam hidup.

Di Penanti juga saya agak kecewa bila bertemu dengan mereka-mereka yang masih lagi berpendirian bahawa pilihanraya kecil ini tidak perlu diadakan kerana membawa pembaziran. Saya berasa hairan bagaimana satu amalan demokrasi dianggap membazir. Wakil Rakyat Penanti sebelum ini, Fairuz telah membuat keputusan untuk meletakkan jawatan. Apapun sebab atau alasan yang diberi, hakikatnya dia telah meletakkan jawatan. Kita mungkin rasa marah kepadanya atau kepada partinya (PKR). Terpulang. Walaubagaimanapun, bila ada kekosongan kerusi, rakyat Penanti berhak mendapat seorang wakil rakyat yang baru. Rakyat Penanti menjadi perkiraan utama. Kerajaan pernah menyatakan bahawa ia tidak mahu mengadakan pilihanraya kecil apabila seseorang wakil rakyat meletak jawatan dengan alasan mahu menjimatkan wang. Jika itu keputusannya, maka gubal undang-undang baru agar kekosongan itu diisi oleh wakil parti yang memenangi kerusi tersebut sebelum ini tanpa melalui proses pilihanraya kecil. Dia perlu berkhidmat sehingga tarikh pilihanraya umum yang akan datang. Ini sebenarnya telah diamalkan oleh sesetengah Negara. Saya rasa kita perlulah bersikap realistik. Kadang-kala ada wakil rakyat yang terpaksa meletakkan jawatan. Jika dia sudah tidak mahu lagi menjadi wakil rakyat (walaupun telah puas dipujuk). Maka, dia tidak lagi berupaya menjaga kepentingan rakyat di kawasannya. Yang rugi adalah rakyat. Oleh itu pilihanraya kecil wajar bagi mencari pengganti wakil rakyat seperti ini. Jika kita anggap pilihanraya kecil membawa pembaziran, saya pasti tidak lama lagi kita akan diberitahu bahawa pilihanraya umum itu juga membawa pembaziran.

12 tahun dahulu, kita telah melakukan satu perkara luar biasa dengan membuat pindaan Perlembagaan. Wakil Rakyat yang membuat keputusan meletak jawatan akan hilang kelayakan untuk bertanding selama 5 tahun. Ini sebenarnya adalah cukup untuk menjadi penghalang atau ‘deterrent’ kepada mereka yang mahu meletakkan jawatan tanpa sebab yang munasabah. Tidak ada siapapun yang siuman mahu melepaskan jawatan dengan mudah selepas bersusah payah bertanding pilihanraya dan memenanginya.Kita harus lebih bersimpati kapada Fairuz dan orang-orang sepertinya. Dia memang berhasrat mahu menjadi Wakil Rakyat tetapi keadaan adalah sukar dan tanggungjawab terlalu berat untuk dipikul. Mungkin juga terdapat tekanan lain yang dihadapinya. Jika BN tidak mahu bertanding di Penanti, katakan sahaja. Tidak perlu mereka cerita karut seperti perlu ada undang-undang menyekat atau denda mereka yang meletakkan jawatan sebagai wakil rakyat.

Pada pendapat saya, jika Kerajaan mahu mengelak pembaziran, mereka lebih perlu membelanjakan wang rakyat secara berhemah. Mereka boleh mulakan proses ini dengan mengambil kira pandangan pegawai-pegawai JKR yang bertauliah lagi professional tentang kos atau harga kontrak projek yang sebenar.Bukanlah harga yang ditentukan oleh pihak-pihak yang berkepentingan. Lagipun menurut blogger ‘ez42get’, negara telah mengalami kerugian lebih 100 billion ringgit sejak tahun 1980 kerana skandal dan pembaziran yang lain. Ini adalah lebih baik daripada menyalahkan seorang Wakil Rakyat yang terpaksa meletakkan jawatan dan membolehkan satu pilihanraya kecil diadakan.

http://myzaidibrahim.wordpress.com/2009/05/25/pilihanraya-kecil-atau-umum-bukan-satu-pembaziran/

No comments

Powered by Blogger.