Syarat Sah Sembahyang

(Fasal) ini suatu fasal dan setengah daripada syarat sembahyang menghadapkan qiblat iaitu ka'abah Allah dengan dada dan bagi orang yang kuasa dengan dilihat jika hampir dengan khabar yang melihat akan dia atau dengan zan daripada ijtihad jika kesukaran melihat dan mengambil khabar daripada orang yang mengetahui akan dia (dan) dimaafkan meninggalkan qiblat bagi orang yang takut dikala berada tapak dua perang yang harus (dan demikian lagi) orang yang sembahyang sunat di dalam musafir jika hampir sekalipun maka hendaklah dihadapkan pihak seterunya dan pada jalan yang ia hendak pergi kepadanya maka jika ada ia yang musafir itu berkenderaan ia isyarat pada rukuk dan sujudnya tetapi isyarat pada sujud terlebih rendah daripada rukuknya dan jika ia berjalan kaki maka hendaklah ia hadapkan kepada qiblat yang lainnya daripada qiamnya dan tahiyatnya (Dan setengahnya) syarat sah sembahyang itu mengetahui ia akan masuk waktunya dengan zan pada orang yang ijtihad (dan setengahnya) Islam dan tamyiz dan mengetahui ia akan kifayah sembahyang seperti bezakan fardhunya daripada sunatnya atau i'tiqad segala yang perbuatan itu sekaliannya fardhu dan jangan dii'tiqadkan yang fardhu itu sunat (dan setengahnya) menutup aurat dengan pakaian yang suci dan menutup pihak atas dan kelilingnya dan aurat laki2 dan sehanya sahaya perempuan antara pusat dan lutut dan aurat perempuan yang merdeka sekalian tubuhnya melainkan muka dan tapak tangannya (dan demikian lagi) wajib menutup auratnya dihadapan orang yang hilat dan harus membuka auratnya jika pada tempat yang sunyi dikala kepanasan dan kerana menyapu sampah dan dikala mandi jika tiada seorang yang hilat yang melihat akan dia
Sulmu Al-Mubtadi (M/S 8-9)
28 April dan 12 Mei 09
Surau Kg Jawa

Syarat sah sembahyang seperti yang diterangkan dalam kitab ini:
1. Menghadap qiblat
Qiblat yang dimaksudkan ialah kaabah dengan cara dada mesti menghadap ke arahnya. Bagi yang dapat melihat Kaabah maka perlu melihatnya. Sekiranya berada jauh mengikut arah yang diberitahu dan diyakini arah kaabah tersebut dan sekiranya tidak mengetahui maka dibolehkan menggunakan keyakinan sendiri sekiranya sukar untuk mengesan arah qiblat. Syaratnya perlu yakin ketika solat tanpa sedikit was-was. Jika ada was-was maka terbatal solatnya.

Pengecualian menghadap qiblat apabila berada di tengah-tengah medan pertempuran atau peperangan. Selain itu dibolehkan juga tidak menghadap qiblat untuk solat sunat bagi mereka yang sedang menaiki kenderaan tidak kira jauh atau dekat destinasi yang dituju. Qiblat ketika ini mengikut arah kenderaan tersebut dan perlu diisyaratkan rukuk dan sujud dengan tunduk yang dapat membezakan kedua-duanya. Bagi yang berjalan kaki, solat sunat yang dilakukan perlu menghadap qiblat ketika qiam dan tahiyyat selain mengisyaratkan rukuk dan sujud seprti dalam kenderaan sebentar tadi.

2. Yakin telah masuk waktu

3. Islam dan tamyiz
Seminima syarat untuk golongan tamyiz ialah mereka dapat membezakan kiri dan kanan. Di dalam solat mereka perlu mengetahui dan membezakan yang mana wajib dan yang mana sunat.

4. Menutup aurat
Menutup aurat perlu dengan pakaian yang bersih dan suci. Syarat menutup aurat juga perlulah tidak nampak warna kulit badan. Bagi golongan lelaki dan hamba sahaya (perempuan) auratnya antara atas pusat (sekelilingnya) dan lutut. Bagi mereka yang memakai kain pelekat harus berwaspada sekiranya kainnya berada di bawah pusat kerana apabila rukuk, ruangan baju pada leher yang terbuka boleh membatalkan solat. Batasan aurat ini hanya ketika solat. Ketika bertemu dengan perempuan ajnabi, aurat lelaki adalah antara bahu hingga ke lutut kecuali lengan. Ibu mertua tiri juga adalah tergolong dalam golongan wanita ajnabi.

Bagi golongan perempuan yang merdeka pula auratnya adalah seluruh badan kecuali muka dan tapak tangan. Sekiranya tiada telekong masih boleh sembahyang sekiranya boleh menutup kesemua anggota badan terutama pada pergelangan tangan. Aurat ini juga wajib ditutup ketika berhadapan dengan golongan mahram. Aurat diharuskan buka di tempat yang sunyi, ketika panas, sapu sampah dan ketika mandi (makruh mandi bogel bagi lelaki dan perempuan) selagi mana tidak dilihat oleh golongan mahramnya.

No comments

Powered by Blogger.