Umrah: Antara ibadah, trend dan bisnes

Oleh SHARIFFUL HAKIM SUMAN

SABAN tahun, berpuluh-puluh ribu umat Islam di Malaysia akan merebut peluang menunaikan ibadah haji dan umrah. Kedua-duanya adalah ibadah yang mempunyai nilai-nilai mulia secara tersendiri. Sejarah ibadat ini telah bermula dari zaman Jahiliah lagi di mana mereka mengerjakan ibadat haji dengan cara yang salah dan sesat.

Pada masa ini dapat dilihat bahawa semakin hari semakin ramai umat Islam yang ingin menunaikan haji dan umrah. Bagaimanapun, sejak akhir-akhir ini, ibadah umrah menjadi seperti satu trend untuk melancong secara bersuka ria.


Perkara ini berlaku kerana sebahagian daripada mereka tidak mengetahui dan tidak mempelajarinya dengan mendalam sehingga melanggar perkara-perkara asas dalam ibadah tersebut seperti larangan semasa berihram dan pelaksanaan mengikut tertib rukun yang betul.

Ia juga boleh disebabkan oleh penyampaian maklumat yang salah dan tidak tepat daripada pihak-pihak tertentu yang menawarkan perkhidmatan umrah kerana adanya unsur-unsur berkepentingan.

Faktor perniagaan ke atas perkhidmatan ini juga secara tidak langsung turut mempengaruhi perjalanan ibadah itu sendiri.

Agensi-agensi yang bertanggungjawab menguruskan perkhidmatan ini seharusnya melaksanakan amanah yang dipikulnya dengan penuh integriti. Bukan hanya untuk meraih keuntungan semata-mata tanpa memikirkan tanggungjawab yang perlu dilaksanakan secara serius.

Ibadat umrah

Melaksanakan umrah adalah merupakan fardu ain bagi setiap orang Muslim lelaki dan perempuan yang mempunyai keupayaan baik dari segi kewangan mahupun kesihatan fizikal.

Berbeza dengan ibadah haji, ibadah umrah boleh dilaksanakan sepanjang tahun manakala ibadah haji hanya boleh dilakukan pada bulan haji sahaja iaitu pada bulan Zulhijjah.

Di dalam Islam, ibadah umrah adalah bertujuan memperhambakan diri kepada Allah SWT dengan mengingati kebesarannya serta kekuasaannya. Selain kemanfaatan untuk akhirat, umrah juga mampu memberi faedah dan kebaikan dari segi pembentukan rohani, moral, kemasyarakatan, ekonomi, politik dan lain-lain.

Manakala amalan ziarah yang diamalkan oleh agama-agama lain pula hanyalah bertujuan melawat kubur orang-orang suci dan peninggalan nenek moyang mereka sahaja.

Dalam ibadah haji dan umrah, setiap perkara yang dilakukan bukanlah hanya perbuatan semata-mata. Setiap perbuatan itu mempunyai sejarah, nilai dan hikmahnya yang tersendiri.

Secara tidak langsung ia mampu melatih umat Islam untuk bersatu padu, kenal mengenal antara satu sama lain serta menanam semangat perjuangan dalam berusaha untuk menghadapi cabaran dan dugaan hidup. Di sinilah buktinya kekuasaan dan kebijaksanaan Allah SWT dalam mentadbir urusan alam.

Trend umrah masa kini

Sepanjang tahun, ramai di kalangan rakyat Malaysia berkunjung ke Tanah Suci Mekah untuk melaksanakan ibadah umrah. Ini merupakan satu amalan yang baik bagi umat Islam dalam membentuk kerohanian yang lebih utuh serta meningkatkan syiar Islam di persada dunia dengan mengabdikan diri kepada Allah SWT dengan sebenar-benar pengabdian. Bagaimanapun, terdapat segelintir daripada golongan ini yang menunaikan umrah dengan niat untuk melancong dan bersiar-siar.

Demi mengejar untuk melaksanakan ibadah ini, ramai di kalangan jemaah telah membelakangkan segala perkara-perkara asas dalam ibadah tersebut yang melibatkan perkara-perkara seperti larangan ketika berihram dan pelaksanaan rukunnya yang betul.

Perkara ini berlaku kerana sikap jemaah itu sendiri yang tidak mengambil berat mengenai kepentingan di sebalik ibadah tersebut lalu tidak mengendahkan hukum-hukum serta amalan yang perlu dititik beratkan dalam beribadat.

Sebahagian puncanya lagi adalah ilmu yang tidak tepat dan berlaku salah faham kerana kepentingan peribadi atau pihak-pihak tertentu.

Oleh demikian, secara tidak langsung, hampir sebahagian jemaah umrah Malaysia berisiko tinggi untuk tersasar dari ibadah umrah yang sebenar dan menjadikan amalannya itu membazir dan sia-sia sahaja.

Bukan setakat itu sahaja, malah terdapat ramai di kalangan para jemaah yang pulang dari melaksanakan umrah membawa cerita-cerita yang karut dan khurafat. Cerita ini sengaja direka-reka dengan tujuan untuk menunjukkan bahawa mereka sahajalah yang benar dan hebat.

Umrah dari perspektif bisnes masa kini

Pada setiap tahun umat Islam di Malaysia dianggarkan sehingga seramai 70,000 orang jemaah akan berkunjung ke Tanah Suci, Mekah untuk melaksanakan ibadah umrah. Berbeza dengan ibadah haji, setiap tahun ia hanya dilaksanakan sekali sahaja dengan kuota jemaah yang dianggarkan berjumlah seramai 26,000 orang.

Justeru itu, wujud pelbagai jenis agensi-agensi pengelola umrah yang tumbuh seperti cendawan menceburkan diri dalam peluang ini.

Malangnya, sehingga hari ini, hampir sejumlah besar daripada agensi-agensi tersebut tidak mampu melaksanakan tanggungjawab sepenuhnya dalam perkhidmatan umrah yang ditawarkan.

Keuntungan tinggi

Kerana ingin merebut keuntungan yang tinggi, agensi-agensi pengelola umrah ini memperniagakan ibadat umrah dengan sewenang-wenangnya tanpa memikirkan keperluan perkhidmatan yang wajib diberi kepada para jemaah.

Kebanyakan agensi ini tidak mengambil berat tentang penyampaian maklumat yang jelas dan juga mengabaikan tuntutan untuk memberikan bimbingan umrah yang sewajarnya kepada para jemaah yang menggunakan perkhidmatan mereka.

Berdasarkan pada penemuan Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman bermula pada tahun 2006, taktik tawaran pakej haji dan umrah adalah antara 12 bentuk penipuan yang paling popular berlaku di Malaysia.

Di antara modus operandi yang sering digunakan oleh agensi-agensi tersebut adalah menawarkan pakej haji atau umrah pada harga yang murah dengan pengurusan yang mudah. Namun, apabila mangsa telah membuat bayaran, pakej yang ditawarkan tersebut tidak wujud sama sekali.

Selain itu, turut timbul masalah di mana agensi yang menawarkan perkhidmatan umrah ini tidak melaksanakan pengurusan dengan baik dan teratur menyebabkan para jemaah tidak dapat melaksanakan ibadah umrah dengan sempurna.

Kes-kes seperti jemaah terkandas ketika melaksanakan ibadah umrah di Tanah Suci, penipuan pasport dan visa umrah serta tawaran pakej palsu bukan sahaja menganiayai para jemaah, malah turut membawa masalah dan impak negatif kepada negara.

Setiap agensi pengelola umrah seharusnya beroperasi dan melaksanakan perkhidmatan yang ditawarkan dengan ikhlas dan bertanggungjawab sepenuhnya.

Ini supaya perkhidmatan yang dilaksanakan mampu berjalan dengan lancar dan berkualiti. Agensi pengelola umrah sepatutnya memahami, mengkaji dan menilai hasrat yang diharapkan oleh para jemaah terhadap perkhidmatan umrah yang disediakan.

Pengurusan yang sistematik dan terancang mampu memberikan perkhidmatan yang berkualiti dan memuaskan para jemaah di mana jemaah dapat melakukan umrah dengan lancar tanpa sebarang masalah.

Pihak agensi pengelola umrah pula mendapat keuntungan yang bersih dan bebas daripada masalah-masalah yang membebankan diri sendiri.

Penutup

Dalam menyusuri era globalisasi yang semakin berkembang maju, keinginan manusia untuk memperoleh sesuatu yang sempurna juga semakin bertambah.

Hari demi hari masyarakat sering menuntut perkhidmatan yang efisien dan berkualiti. Pihak kerajaan dan swasta adalah penjana pertumbuhan ekonomi dan pembangunan negara.

Dari dahulu sehingga kini, Lembaga Tabung Haji (LTH) memainkan peranan yang penting bagi membolehkan jemaah Malaysia menunaikan ibadah haji di Tanah Suci Mekah. Bagi meningkatkan mutu perkhidmatan dan kemudahan kepada para jemaah, pelbagai usaha telah dilaksanakan bagi tujuan tersebut.

Kini, LTH telah menjadi contoh terbaik dunia dalam menguruskan hal ehwal berkaitan haji bagi negara Malaysia.

Bagaimana pun, ia berbeza dengan hal ehwal umrah yang masih belum mendapat perhatian khusus dari mana-mana pihak. Seringkali kita lihat di ruangan akhbar mahupun di kaca televisyen, masalah umrah sering berlaku dan tiada tindakan khas untuk menanganinya yang dilakukan secara berterusan.

Bertitik tolak dari permasalahan ini, kerajaan mengambil inisiatif menjadikan Jabatan Wakaf, Zakat dan Haji (Jawhar) sebagai agensi pemantau kepada perkhidmatan ini.

Secara dasarnya, pemantauan yang akan dilaksanakan ini adalah bertujuan untuk memperbaiki sistem perkhidmatan umrah supaya menjadi satu sistem bersepadu yang teratur dan berkualiti tinggi.

Perkara ini perlu diperhatikan secara serius kerana jika ia tidak dipantau dengan bijaksana dan efektif, ia boleh menatijahkan imej yang negatif kepada Malaysia dan juga menganiayai jemaah Malaysia sendiri.

Oleh itu, adalah wajar pengurusan berkaitan hal ehwal umrah ini dapat diuruskan secara teratur dan terancang. Ini supaya dapat menjamin kesempurnaan para jemaah dalam menunaikan ibadah ini dan meningkatkan kualiti perkhidmatannya ke tahap bertaraf dunia.

No comments

Powered by Blogger.