Nama Ketua UMNO Kapar Disebut Dalam Kes PKFZ

Nama Ketua Umno bahagian Kapar, Datuk Abdul Rahman Palil disebut didalm dakwaan penyelewengan laporan audit Zon Bebas Pelabuhan Klang (PKFZ) yang didedahkan kepada umum pada hari semalam.

Nama beliau turut disebut dalam laporan audit PKFZ oleh PriceWaterhouse Coppers (PwC) berkaitan tanah milik Kuala Dimensi Sdn Bhd (KDSB) yang didakwa boleh menimbulkan kemungkinan konflik kepentingan.

Laporan itu menyebut Abdul Rahman merupakan ahli lembaga pengarah PKA dari 1997 hingga 2003.

Dalam satu mesyuarat lembaga pengarah tersebut, kata laporan itu, beliau telah mengisytiharkan dirinya sebagai pengerusi Koperasi Pembangunan Pulau Lumut Berhad (KPPLB) dan bertanya mengenai cadangan pengambilan balik wajib tanah melalui pembelian terus.

KPPLB merupakan pemilik asal sebahagian daripada tanah tersebut.

Mengikut laporan itu, memandangkan pengambilan balik wajib tersebut akan menguntungkan PKA, maka rasional Abdul Rahman menimbulkan perkara itu adalah tidak jelas.

PKFZ merupakan zon bebas komersial dan perindustrian bersepadu seluas 1,000 ekar yang menawarkan kemudahan untuk pengedaran kargo antarabangsa dan sebagai pusat penyatuan setempat.

Ia terletak bersebelahan Pelabuhan Barat di Pulau Indah, dan boleh diakses melalui Lebuhraya Kesas.

Laporan audit PKFZ menunjukkan bahawa kos projek tersebut boleh melonjak kepada RM12 bilion berbanding RM1.96 bilion ketika ia dilancarkan pada 2001.

Turut disebut dalam laporan tersebut - yang membabitkan kemungkinan berlaku konflik kepentingan - ialah Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Chor Chee Heung dan Pengerusi Kelab Penyokong Kerajaan (BBC) yang juga ahli Parlimen Bintulu Datuk Tiong King Sing.

Sementara itu Pengerusi Lembaga Pelabuhan Klang Datuk Lee Hwa Beng hari ini menyerahkan laporan audit mengenai Zon Bebas Pelabuhan Klang (PKFZ) kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Sambil menjelaskan bahawa beliau diarah oleh Menteri Pengangkutan Datuk Seri Ong Tee Keat mengemukakan salinan laporan itu kepada SPRM, Lee berkata LPK akan memberi kerjasama penuh jika SPRM menjalankan siasatan.

Katanya, laporan audit itu juga akan diserahkan kepada Jawatankuasa Kira-kira Negara.

Mengenai tindakan terhadap mereka yang dinamakan dalam laporan itu, Lee berkata ia bergantung kepada siasatan SPRM.

.

.

No comments

Powered by Blogger.