Menteri Besar arah kerja merobohkan bangunan dihentikan segera

29 Mei (Hrkh) -Kerajaan Negeri Selangor mengarahkan semua kerja merobohkan bangunan Jaya Supermarket dihentikan serta merta bagi membolehkan siasatan dijalankan untuk mencari punca berlakunya tragedi runtuh sehingga mengorbankan nyawa.
Iklan




Dato' Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim berkata, hanya kerja-kerja mencari dan menyelamat lima pekerja Indonesia yang masih hilang saja dibenarkan.

Menurut beliau, keputusan itu sudah dibuat setelah unit kejuruteraan Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ), Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerja (DOSH) dan Institut Kerja Raya Malaysia (IKRAM) memberi taklimat dalam mesyuarat Majlis Tindakan Ekonomi Selangor (MTES) pagi tadi.

Katanya, MBPJ juga sudah diarahkan supaya memastikan jentera-jentera yang digunakan dalam kerja merobohkan bangunan tersebut tidak dibenarkan dibawa keluar.

Pihak IKRAM sudah diberi masa selama satu minggu untuk melaporkan siasatan dalam mesyuarat MTES.

Kerajaan Negeri juga sudah mengarahkan supaya pihak MBPJ dapat memastikan semua jenazah-jenazah mangsa diuruskan dengan baik mengikut adat serta agama masing-masing, tegas beliau.

Beliau berkata, MBPJ juga mungkin berurusan dengan semua kedutaan yang terlibat bagi memastikan semua sanak-saudara mangsa mengetahui status kejadian di samping mengeluarkan kenyataan memohon maaf serta ucapan takziah kepada semua mangsa.

Kawalan keselamatan sudah dilakukan di seluruh kawasan kejadian bangunan runtuh bagi memastikan keselamatan penduduk setempat, tegas beliau.

Dalam pada itu tambah beliau, risalah-risalah berhubung kejadian serta kaunter informasi mungkin diwujudkan di kawasan kejadian bertujuan memberi maklumat kepada orang ramai serta keluarga mangsa yang terlibat berhubung kejadian.

Melalui taklimat mengenai kejadian runtuhan bangunan Jaya Supermarket hari ini, Kerajaan Negeri mendapati terdapat kelemahan garis panduan yang serius dalam kerja-kerja merobohkan bangunan tersebut, katanya.

Beliau menegaskan kelemahan itu harus diperbetulkan secepat mungkin supaya tragedi tersebut tidak berulang dan rancangan pembangunan di Negeri Selangor tidak terganggu.

No comments

Powered by Blogger.