SOALAN-SOALAN REFORMASI 2

Oleh: Amin Ahmad

Ketika saya mengatakan apa yang berlaku kepada jawatan politik Dato’ Seri Anwar oleh UMNO tidak penting, ia tidak bermaksud saya membelakangkan bakat serta pengalaman kepimpinan beliau.

Apa yang saya mahu maksudkan ialah persoalan apa itu lebih penting daripada persoalan siapa. Sebab itu dalam tulisan Soalan-Soalan Reformasi, saya tekankan bahawa bentuk boleh diubah, tapi nilai itu tidak. Kita mesti beriltizam dengan nilai kebebasan dan keadilan. Sebab itu saya pernah sampaikan kepada rakan-rakan yang aktif berpolitik bahawa misalnya dalam kes Fairus Khairuddin, mantan TKM Pulau Pinang, sekiranya beliau bersalah, jangan dibela. Namun, parti ada hak untuk mengatakan beliau tidak bersalah selagi belum dijatuhkan hukuman oleh mahkamah dalam kesnya.

Kenapa jangan dibela? Tidakkah itu akan memalukan parti?

Di sinilah titik beza perjuangan reformasi berterusan dan perjuangan reformasi dengan parti politik sebagai wadah.

Sambil hampir semua pejuang reformasi menerima parti sebagai wadah meneruskan perjuangan, kita juga tentu tidak berminat dengan sebuah parti yang 2×5 dengan parti yang dilawan.

Wujudnya parti politik ialah sebagai alternatif kepimpinan kerana kita mahu perubahan politik melalui kaedah demokratik – Pilihan Raya sebagai pilihan utama berbanding anarki. Penyertaan kita dalam Pilihan Raya bukan beerti pengakuan bahawa Pilihan Raya kita suci murni tetapi hanya sebagai komitmen bahawa kita akan berusaha untuk memastikan institusi demokrasi terpelihara bersama semangat yang membinanya.

Bagi menjawab persoalan kenapa jangan dibela, sebagaimana saya tegaskan bahawa “Ketuanan Rakyat ialah apabila agenda reformasi dirakyatkan dan darinya rakyat mempertahankan apa yang patut dipertahankan, bukan siapa yang patut dipertahankan”. Justeru, kita mesti berani mendahulukan persoalan apa, dan bukan siapa. Ya, selagi misalnya dia tidak dijatuhkan hukuman salah, kita wajib membela beliau atas semangat perundangan tersebut. Tapi misalnya dia telah terbukti bersalah, maka kita wajib menerima dengan lapang dada tanpa perlu membencinya.

Apa yang saya mahu maksudkan ialah sebagaimana kata Gandhi “hate the sin, not the sinner”. Kita perlu jelas bahawa apa yang kita mahu bela ialah sistem dan semangat yang mendirikannya. Ketegasan pejuang reformasi dalam hal ini akan membantu mengukuhkan parti secara tidak langsung: bahawa parti politik tidak harus berpusat pada persoalan kuasa semata-mata sebaliknya teguh dalam penentuan nilai apa yang melayakkannya berada di kerusi kekuasaan.

Tapi real-politik tidak semudah itu. Saya selalu tegaskan bahawa jika ada perkara baik yang boleh dipelajari daripada UMNO-BN ialah bagaimana mereka menyelesaikan masalah rumahtangga mereka dengan cara tertutup. Tapi saya juga mahu mengingatkan bahawa cara tertutup ini tidak sepenuhnya mewakili semangat reformasi.

Maka apa?

Pakatan Rakyat harus konsisten dengan garis prinsip dan manifesto yang ditawarkan. Untuk saya, saya jemu apabila melihat kritikan dan beza pendapat pimpinan PR terhadap UMNO-BN hanya sekadar untuk mengkritik dan berbeza pendapat.

Kita mesti berani bersetuju dengan UMNO-BN terhadap nilai-nilai yang membina persefahaman Pakatan Rakyat. Misalnya, jika UMNO melalui retorika politik mereka mahu menegakkan Kedaulatan Undang-Undang. Kita harus nyatakan sokongan tidak berbelah bagi sambil menegaskan di mana lompong yang kita rasa wajar dibetulkan dan juga membawa fakta kes, jika ada.

Kenapa? Kerana Kedaulatan Undang-Undang misalnya adalah nilai yang memang kita persetujui. Pada saya, kita harus mengambil peluang untuk menyokong nilai yang selari dengan apa yang kita perjuangkan sambil memberitahu rakyat “lihat, kami tidak bercakap kosong”. Dengan mengentam semata-mata, ia hanya akan mengukuhkan kempen UMNO-BN kepada rakyat bahawa “pembangkang hanya tahu membangkang semata-mata”.

Dengan menyokong percubaan-percubaan reformasi melalui UMNO-BN bukan beerti kita menyokong UMNO-BN, malah mungkin tidak kepada PR. Tetapi ada beberapa kelebihan antaranya:

1) Kita memaksa UMNO-BN dan PR kepada politik dasar. Dalam kata lain, kita menyemai jenis politik tinggi dan moga-moga persaingan dasar dan perlaksanaan dasar yang baik adalah apa yang kita semai. Dengan itu juga, kita memaksa kedua-dua medan kuasa ini lebih serius dalam hal meletakkan calon mereka dan retorika perjuangan politik mereka.

2) Kita menonjolkan politik matang kepada rakyat bahawa kita boleh bersetuju dengan sebahagian perkara, dan tidak kepada sebahagian yang lain. Dengan ramainya masyarakat demokratik seperti ini, kita juga mengajak rakyat seluruhnya terlibat dalam proses demokrasi.

3) Kita dapat melepaskan diri daripada keperluan membela tindakan politik parti yang tidak demokratik malah buruk.

Sebenarnya apa yang saya gariskan di atas ialah penyertaan demokrasi oleh rakyat sebagai masyarakat madani (masyarakat sivil). Kekuatan masyarakat sivil bergantung kepada apa yang dituntut. Dengan ramainya masyarakat sivil berbanding aktivis parti, usaha reformasi akan lebih rancak. Aktivis parti tidak banyak pilihan melainkan terpaksa membela parti yang mereka dokong kerana mereka bertemu masyarakat dengan membawa baju politik. Ini hanyalah kelangsungan sikap “kami lebih tahu” dan “top down approach” yang sering jadi amalan kerajaan.

Tapi masyarakat sivil akan lebih giat membawa “bottom up approach” di mana rakyat yang memaksa parti politik untuk lebih serius dengan agenda yang mahu mereka tawarkan.

Jika boleh, saya mencadangkan pembaca sekalian menonton filem “Swing Vote” untuk menjiwai apa itu kuasa pengundi untuk sebuah ketinggian kepimpinan.

Saya juga mahu menyatakan bahawa sebagai masyarakat sivil, parti politik bukanlah musuh kita. Masyarakat sivil juga boleh menjadi aktivis parti dan bergelut dengan kehendak memenangkan apa berbanding siapa.

Sebenarnya agenda masyarakat sivil ini banyak diburukkan parti politik kerana sikap masyarakat sivil yang lebih neutral terhadap parti dan bersikap terhadap isu sering tersangkut kerana kita dihadapkan dengan pilihan yang buruk: memilih sama ada parti politik yang bersifat perkauman dan tidak komited dengan agenda membina masyarakat demokratik dan parti politik yang rentas kaum tetapi sering sibuk dengan politik remeh misalnya siapa layak memerintah sama ada ulama’ atau professional, siapa yang patut dapat jawatan bila dah perintah negeri sama ada mereka yang komited dengan demonstrasi atau mereka yang ada kelulusan atau berapa peratus kaum tertentu patut ada dalam kelompok memerintah.

Secara real-politik kita tidak menolak bahawa contoh isu-isu di atas punya hardcore penyokong masing-masing. Tapi pernahkah kita berasa malu bahawa selama berpuluh tahun kita mendakwa parti kita telah digagaskan, atau berpuluh tahun tokoh politik kita bergelut dalam persoalan politik, akulah yang belajar dalam bidang ini sampai peringkat pakar di Mesir, England, Amerika dan sebagainya serta pelbagai lagi dakwaan yang bersifat ‘aku dan partiku hebat’: isu-isu di atas tak pernah-pernah selesai? Selama ini apa yang dibincang dan dibuat?

Agenda reformasi tidak akan menang jika kita tidak mendokong kemuliaan insan (karamah insan) dan usaha memartabatkan keilmuan melalui tindakan-tindakan demokratik.

Agenda reformasi juga tidak harus banyak bergantung dengan kelemahan UMNO-BN untuk menang kerana kita harus lebih fokus dengan nilai dan bentuk yang mahu kita bawa. Kita harus sedar bahawa dalam arus reformasi yang seakan tidak dapat disekat ini, UMNO-BN sedang menanti kesilapan demi kesilapan PR untuk melanjutkan segala bentuk pemerintahan yang saya sifatkan sebagai anti-reformasi. Dan kita rakyat terbanyak, kenapa membiarkan agenda reformasi berterusan ini diperbudak oleh kesilapan PR yang menjadi simbol perjuangan reformasi dalam bentuk politik?

Agenda reformasi tidak harus bermula dari rasa takut, tetapi berani: membincang perkara yang taboo, berprinsip menyatakan sikap dan meningkatkan kualiti hujah keperluan reformasi. Perjuangan ialah tentang masa depan, bukan masa lalu.

No comments

Powered by Blogger.