Denggi Menurun, Chikungunya Meningkat

KUALA LUMPUR, 28 Mei (Bernama)-- Walaupun jumlah kes denggi berkurangan 14 peratus sepanjang minggu lepas iaitu dari 17 hingga 23 Mei, namun kes Chikungunya meningkat sebanyak 72 peratus.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Mohd Ismail Merican berkata kes Chikungunya meningkat kepada 475 kes atau 72 peratus berbanding 276 kes pada minggu sebelumnya.

"Peningkatan kes disebabkan berlaku wabak di Kedah sehingga menyumbang kepada 88 peratus daripada jumlah kes yang dilaporkan," katanya dalam satu kenyataan Khamis.

Beliau berkata jumlah kes Chikungunya tahun ini sehingga 23 Mei adalah sebanyak 2,419 kes dengan tiada kematian dilaporkan.

Bagi penyakit denggi, Dr Mohd Ismail berkata 787 kes dengan satu kematian dilaporkan sepanjang minggu lepas berbanding 912 kes dengan empat kematian pada minggu sebelumnya.

Lima negeri menunjukkan peningkatan kes minggu ini iaitu Perlis (50 peratus), Melaka (19 peratus), Perak dan Terengganu (5 peratus) dan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Putrajaya (1 peratus).

Beliau berkata peningkatan jumlah kematian denggi yang berlaku tahun ini amat membimbangkan Kementerian Kesihatan.

"Kematian boleh dicegah sekiranya masyarakat mendapatkan rawatan segera apabila mereka mengalami tanda-tanda seperti demam, sakit badan dan otot, sakit kepala dan ruam.

"Pengamal perubatan juga diminta supaya segera merujuk pesakit ke hospital sekiranya terdapat tanda-tanda bahaya penyakit itu," katanya.

Maklumat lanjut mengenai chikungunya dan denggi boleh didapati daripada kemudahan kesihatan berhampiran atau melalui laman web kementerian di http://www.moh.gov.my.



-- BERNAMA

No comments

Powered by Blogger.