Kota Siputeh : Pengajaran kepada ADUN agar lebih bertanggungjawab

Oleh : Syazwan Bin Ahmad*

Isu Adun Kota Siputeh yang didakwa tidak menghadiri sidang DUN dua kali berturut-turut sedikit menggamat suasana politik di Kedah apatah lagi beberapa hari selepas itu Adun Lunas pula mengisytiharkan diri keluar dari PKR.

Speaker DUN Kedah, Datuk Dr. Abdul Isa Ismail telah menghantar surat kepada SPR berhubung kedudukan ADUN Kota Siputeh,Datuk Abu Hasan Sarif yang didakwa hilang keanggotaannya setelah dua kali gagal menghadiri sidang DUN pada 19 April dan 9 Ogos lalu.

Menurut perkara 51 Undang-Undang Tubuh Kerajaan Kedah mana-mana anggota DUN yang tidak hadir sidang dewan dua kali berturut-turut hilang keanggotaannya dan hendaklah mengosongkan kerusi yang disandang.

Namun keputusan SPR beberapa hari yang lalu mengekalkan Abu Hasan Sarif sebagai ADUN mendapat bantahan banyak pihak wakaupun SPR beralasan tidak menghadiri dua mesyuarat dua kali berturut-turut dalam dua penggal yang berbeza bukan dua mesyuarat dua kali di dalam satu penggal yang sama dan juga menerima surat cuti sakit walaupun surat tersebut tidak sampai kepada Speaker.

Namun walauapapun alasan yang dikemukakan maka isu ini harus dijadikan pengajaran kepada setiap ADUN agar lebih bertanggungjawab.Hal ini kerana mereka telah diberikan mandat dan amanah untuk berkhidmat kepada rakyat.

Ketidakhadiran ke mesyuarat tanpa kebenaran hendaklah dielakkan supaya tugas kepada masyarakat dijalankan dengan baik.

Tindakan tegas harus diambil oleh pihak yang bertanggungjawab kepada mereka yang cuai dan bersikap lepas tangan terhadap tugas mereka tanpa mengira parti politik.Jika pemimpin tidak amanah dengan tugasnya,kelak rakyat tidak akan percaya lagi kepadanya dan tunggulah saat kejatuhannya.

Oleh itu jangan kita main-main dengan amanah dan tanggungjawab kelak kita akan dipersoalkan.Isu ini perlu dijadikan pengajaran kepada setiap ADUN di Malaysia dan juga Ahli Parlimen.

——-

*Penulis merupakan Presiden Persatuan Mahasiswa Darul Aman (PERSADA), NGO yang menghimpunkan mahasiswa Kedah seluruh IPT di dalam dan luar Negara.

No comments

Powered by Blogger.