News Update :

Politik

Kenyataan

Agama

Dunia

Persoalan kuil Seksyen 19 dan tindakan Pewaris

August 30, 2009

OGOS 30 — (Artikel ini diterbitkan pertama kali pada Jan 10, 2009)

Kerajaan Barisan Nasional (BN) telah meninggalkan banyak perkara yang perlu diperbetulkan oleh kerajaan Pakatan Rakyat (PR) selepas kami mengambil alih. Selain dari penyelewengan dan salah guna kuasa yang menjadi bagaikan “signature” BN, terdapat juga persoalan projek-projek terbengkalai, projek-projek di lereng bukit yang tidak patut diluluskan tetapi diluluskan, penduduk rumah setinggan, kemiskinan bandar dan “lain-lain”. Di antara yang “lain-lain” itu adalah persoalan kuil-kuil yang bertaburan yang telah tidak diurus dengan baik apatah lagi bertanggung jawab oleh BN.

Kebanyakan dari kuil-kuil ini merupakan kuil yang telah dibina semasa tempat berkenaan merupakan estet getah pada tahun-tahun sebelum Malaya merdeka. Apabila estet itu diambil-alih untuk dijadikan kawasan perumahan, pada tahun-tahun selepas merdeka, pekerja-pekerja ladang dipindahkan tetapi kuil mereka dibiarkan di tempat asal. Ianya tidak dipindahkan bersama penduduknya. Akhirnya penduduk asal terus mengunjungi kuil tersebut sambil kawasan persekitaran dibangunkan. Kuil mereka juga terus dibangunkan mereka.

Kesudahannya adalah seperti apa yang terdapat di Seksyen 19, Shah Alam! Rumah-rumah yang didiami orang Melayu berhampiran dan berhadapan kuil. Keadaan ini lebih merumitkan apabila penduduk memberitahu bahawa semasa membeli rumah-rumah mereka, PKNS telah menjamin bahawa kuil berkenaan tidak akan lagi berada disitu apabila rumah mereka siap. Namun, di bawah BN, janji seperti biasa tinggal sebagai janji. Masalah ini telah wujud selama 20 tahun lebih dan apabila PR mengambil alih, kami terpaksa menyelesaikan masalah yang diwujudkan BN ini. BN hanya pandai menimbulkan masalah tetapi buntu untuk mencari penyelesaian.

Dasar kerajaan PR adalah mudah. Pertama, kuil-kuil yang lama ini perlu dipindahkan ke satu tempat yang lebih sesuai. Tempat perlu dikenal pasti oleh PBT dan semestinya dipersetujui oleh pengguna kuil berkenaan. PBT perlu mengambil kira segala permasalahan yang akan dihadapi oleh pengguna kuil hasil dari pemindahan tersebut. Sambil itu, pembinaan kuil baru, selain dari hasil perpindahan, juga dihentikan.

Pada Khamis 8hb Januari, sambil saya menghadiri mesyuarat berhubung penduduk Rimba Jaya yang telah dirobohkan rumah-rumah mereka oleh kerajaan BN (masalah yang diwarisi lagi!), saya mendapat maklumat dari seorang penduduk Melayu Seksyen 19 bahawa ada sekumpulan Melayu telah datang untuk menimbulkan ketegangan di kuil tersebut.

Selepas mesyuarat berkenaan saya bergegas ke sana dan mendapati sekumpulan orang, kebanyakan mereka orang luar, berkumpul berhampiran kuil tersebut. Mereka ingin membina “gelanggang silat” di tepi kuil dan akan mengadakan kenduri untuk merasmikan pembukaan gelanggang tersebut pada hari Sabtu 10hb ini. Untuk kenduri itu mereka akan tumbangkan 2 ekor lembu! Seterusnya mereka akan menjamu penduduk dan orang ramai di depan kuil berkenaan. Gelanggang mereka akan dibina tanpa membuat apa-apa permohonan kepada phak berkuasa kerana kata mereka, kuil tersebut juga tidak mendapat kebenaran!

Orang yang mengetuai kumpulan tersebut datangnya dari Melaka! Dia menyatakan dia “mewakili rakyat” dan tindakan ini terpaksa mereka ambil melalui persatuan NGO mereka yang bernama “Pewaris” kerana kerajaan PR masih berhoneymoon. Dia berkata penduduk sudah hilang kepercayaan kepada kerajaan dan oleh itu penduduk memanggil mereka turun. Amat jelas, soal gelanggang silat dan sebagainya hanya satu helah. Sebenarnya mereka mahu provoke pihak kuil berkenaan.

Saya menyatakan “wakil rakyat” di sini adalah saya, bukan dia (mungkin dia ingat dia masih di Melaka). Sekiranya dia ingin mewakili rakyat, dia patut turun bertanding dalam PRU yang akan datang. Saya juga memberitahunya bahawa yang “berhoneymoon” selama 50 tahun adalah BN!

Saya menjelaskan bahawa pihak kerajaan sedang menguruskan perkara ini dan kita harus diberi masa. Kalau BN tak dapat buat apa-apa dalam tempoh 20 tahun lebih, semenjak rumah-rumah mula didiami, takkanlah saya tidak boleh diberi tempoh setahun, kata saya lagi. Malahan, tambah saya, pada bulan 5 atau 6 tahun lepas, saya telah bertemu dengan penduduk di dewan Masjid Sek. 19 dan berbincang dengan mereka dan memohon tempoh setahun. Mereka telah bersetuju.

Orang Melaka ini terus menuduh bahawa PR mendiamkan diri bila orang India membina kuil-kuil baru di merata Shah Alam. Saya nyatakan tiada kuil baru dibina dan dia gelakkan saya. Saya beritahu dia, “tunjuk saya di mana kalau kamu bercakap benar!” Dia pun terus ke keretanya, minta saya ikut di belakang sambil dengan penuh keyakinan mengatakan, “mari, saya tunjuk awak”!

Maka saya mengekorinya; hai orang Melaka ini yang menganggap dirinya lebih tahu Shah Alam dari orang Shah Alam. Akhirnya dia bawa saya ke sebuah kuil di tepi landasan keretapi di Seksyen 15. Saya beritahu dia kuil itu telah ada di situ “sebelum kamu dilahirkan ke dunia ini”. Dia diam dan terus kembali ke kuil Seksyen 19.

Tidak puas hati lagi dia mencabar saya sebaik sahaja kita sampai di Seksyen 19, “awak orang Melayu, orang Islam, kenapa awak sibuk sangat nak membela kuil ini”? Saya jawab, “kerana Islam mengajar saya supaya bertindak adil terhadap semua manusia. Mereka, walaupun bukan Islam, ada hak dan Islam menuntut kita menghormati hak mereka”. Dia diam. Seterusnya dia berkata dia tak tahu sangat soal agama ini.Saya menambah lagi, “kita marah bila Israel mengasari ummat Islam di Gaza, jangan kita pula mengikut perangai Israel”.

Melihat dia mula teragak-agak saya pun menyatakan bahawa saya tahu Pewaris dan Pekida adalah NGO yang adik beradik. Penaung Pekida adalah PM maka semestinya begitu juga Pewaris. Kedua-dua NGO ini dikuasai oleh ahli UMNO. Saya tahu juga bahawa tindakan mereka ini, pada masa ini, ada hubung kait dengan PR kecil KT.

Mereka ingin menimbulkan ketegangan dan masalah kaum supaya dengan itu mereka boleh menjaja keseluruh negara bahawa PR telah gagal menyelesaikan masalah ini di Selangor; dan Selangor sekarang ada masalah perkauman. Dia diam dan selepas itu dia menegur saya kerana buruk sangka, tetapi dia tidak menafikannya.

Dengan itu saya berundur. Saya memberitahu pegawai Polis dan juga pihak penguatkuasa MBSA yang berada di sana bahawa ini tugas mereka. Mereka kena menjaga keselamatan dan keamanan. Saya difahamkan walaupun gelanggang tidak dibina, namun mereka ingin teruskan kenduri mereka. Mereka kata mereka akan menjemput saya sekali. Saya menjawab, ikut undang-undang. Kalau pembinaan gelanggang dapat kelulusan MBSA, saya datang.

Kalau tidak, program Aman Palestine di stadium Melawati pada 10hb jam 10 pagi adalah tempat yang lebih afdal bagi saya untuk hadir, begitu juga dia!

WalLahu ‘Alam. — khalidsamad.com

* Artikel ini diterbitkan pertama kali pada Jan 10, 2009.

Peta Lokasi Berhubung Kuil Seksyen 19

Memandangkan persoalan kuil Seksyen 19 yang ingin dipindahkan telah menjadi isu Nasional, saya sertakan di sini peta-peta yang menunjukkan kedudukan lokasi-lokasi yang relevan berhubung persoalan ini. Oleh yang demikian, tuan-tuan boleh menilai sendiri samada tapak cadangan di Seksyen 23 adalah wajar atau sebaliknya.

[PETA 1 - Seksyen 19,20,22 dan 23]

Peta pertama menunjukkan kedudukan Seksyen 19, 20, 22 dan 23 serta kedudukan kuil di Seksyen 19, tapak cadangankan asal oleh BN di Seksyen 22 dan tapak yang dicadangkan di Seksyen 23. Harap diberi perhatian bahawa Seksyen 22 merupakan kawasan Industri berat (berwarna gelap) tanpa adanya rumah berhampiran sepertimana peta yang kedua. Dakwaan Seksyen 22 adalah kawasan majoriti masyarakat India adalah dakwaan palsu.

[PETA 2 - Seksyen 22]

Peta ketiga menunjukkan ‘close-up’ Seksyen 19 dan bagaimana Kuil berkenaan dikelilingi rumah. Jarak di antara rumah terdekat dan Kuil adalah lebih kurang 20 kaki iaitu selebar jalan.

[PETA 3 - Seksyen 19]


View Larger Map
Peta keempat adalah ‘close-up’ lokasi di Seksyen 23. Harap diberi perhatian bahawa kedudukan yang dicadangkan adalah dipinggir kawasan Industri Seksyen 23. Jarak rumah terdekat ke Kuil adalah 200 meter atau 600 kaki iaitu 30 kali lebih jauh dari di Seksyen 19. Begitu juga dengan jarak dari tapak cadangan kuil ke surau. Di antara rumah dan kuil terdapat dewan orang ramai dan taman permainan kanak-kanak. Di antara Surau dan kuil adalah rumah pencawang TNB dan taman permainan kanak-kanak yang sama.

[PETA 4 - Seksyen 23]


View Larger Map
Mungkin bagi orang-orang tertentu tiada bezanya di antara Seksyen 19 dan 23. Kedua-duanya kawasan majoriti ummat Islam. Namun harap maklum, Kuil Seksyen 19 dipindahkan BUKAN kerana Seksyen 19 merupakan kawasan majoriti ummat Islam. Ia dipindahkan kerana Kuil tersebut berada di depan rumah orang (20 kaki). Kawasan itu juga tidak mempunyai tempat parkir kereta dan ini menyebabkan kesesakan berlaku apabila pihak Kuil mengadakan upacara mereka.

Terdapat juga segelintir golongan yang bagaikan tidak sanggup ‘melihat’ kuil dan tok kong. Walau jauh macam mana sekalipun, sekiranya mereka buka jendela rumah dan dapat melihat ‘bumbung kuil atau tok kong’, mereka menjadi bagaikan dirasuk. Adakah wajar sikap ‘ekstrimis’ yang seperti ini disebuah negara yang diwarnai dengan kepelbagaian kaum dan agama?

WaLlahu ‘Alam
KHALID SAMAD

Lompatlah Kalau Berani Berdepan SPRM

Siapa kata kepala Perdana Menteri tidak sakit. Siapa kata hati Perdana Menteri tidak risau. Ong Tee Keat jelajah Malaysia berikan penjelasan isu pemecatan timbalannya, Chua Soi Lek. Perdana Menteri mengulangi janji tidak campur urusan dalaman MCA, tetapi sejauh mana janji itu boleh dipegang, hanya beliau yang tahu. Perdana Menteri yang dulu-dulu pun berpendirian tidak mencampuri urusan dalaman parti komponen, tetapi realitinya cakap tidak serupa bikin.

Permintaan Perdana Menteri agar perkara ini “diselesaikan segera” supaya tidak menjejaskan Barisan Nasional seperti tidak difahami MCA. Maksud tersirat yang terkandung dalam permintaan Perdana Menteri ialah “tarik balik” pemecatan tersebut dan bersatu kembali seperti dahulu. Namun, Ong Tee Keat langsung tidak memahami mesej tersirat itu, atau berpura-pura tidak memahaminya, kita tidak pasti. Seandainya Ong berpura-pura tidak memahami mesej PM, maka jelaslah bahawa pemimpin MCA kini telah maju setapak kerana berani melawan PM.

Yang pasti Ong Tee Keat tetap dengan keputusannya. Prinsip Ong Tee Keat amat jelas iaitu musuh politik wajib disingkirkan. Bukankah prinsip ini dipraktikkan sekian lama oleh Barisan Nasonal. Kenapakah apabila sampai giliran Ong Tee Keat, ada YB BN dengan lantang melontar tohmahan kepada Presiden MCA?

Chua Soi Lek berharap beliau berumur panjang untuk meneruskan pertempuran. Ini menunjukkan bahawa beliau tidak akan “mengalah” sebagaimana yang dilakukannya pada awal tahun 2008 apabila mengaku “melakukan seks haram” dan meletakkan semua jawatan yang dipegang. Malah Chua disambut sebagai hero oleh penyokongnya kerana berani buat, berani mengaku. Akhirnya hero porno itu diangkat ke kerusi Timbalan Presiden MCA dalam pemilihan yang sengit. Apabila penyelewengan dalam PKFZ didedahkan oleh Ong Tee Keat, maka ada tangan ajaib menghulur harapan kepada Chua Soi Lek untuk dinobatkan sebagai Presiden MCA yang baru. Syaratnya, singkirkan Ong terlebih dahulu.

Inilah keistimewaan Malaysia. Pemimpin yang tidak berakhlak – terlibat dengan seks haram atau zina masih diangkat jadi pemimpin. Bagaimana mereka boleh menjadi teladan kepada rakyat? Kata orang, kumpulan penyamun akan memilih penyamun juga menjadi ketua mereka. Maka mereka yang terlibat dengan zina akan memilih orang yang berzina juga sebagai kumpulan mereka.

Perbalahan dalam MCA ini rasanya akan menguntungkan Pakatan Rakyat kerana mungkin ada pemimpin tertentu yang akhirnya melompat parti secara beramai-ramai. Itupun kalau mereka berani berdepan dengan SPRM.

Selain isu MCA, Perdana Menteri juga sakit kepala kerana senario politik Terengganu yang tidak pernah tenteram. Pertembungan antara kem Menteri Besar dengan kem Bekas Menteri Besar Terengganu semakin sengit.

Menurut Chegubard dalam blognya, Keputusan Najib menghantar Hishamuddin Hussein untuk menyelesaikan isu tersebut dengan memangku Ketua Perhubungan Umno Terengganu nampaknya bukan bergerak ke arah penyelesaian tetapi lebih mengusutkan keadaan.

Sebuah laman portal berita internet menyiarkan kemungkinan ada ADUN Terengganu akan ‘bertukar’ parti. Serentak dengan itu Hishamuddin telah menghubungi kesemua ADUN yang disyaki dan setelah memujuk (megugut?) semuanya, maka wartawan diarahkan menghubungi kesemua mereka untuk membuat penafian.

Sebenarnya usaha rundingan memang wujud, bukan pancing tetapi beberapa ADUN tersebut yang mulakan rundingan kerana katanya apa guna berada dalam Umno yang tidak mahu mendengar ‘rintihan orang bawah’. Mereka mendesak tukar MB atau mereka akan keluar parti.

Apapun kemelut politik di Terengganu terus memangsakan rakyat. Perkembangan terbaru dalam sidang DUN Terengganu yang bermula 26 Ogos lepas membuktikan betapa ADUN Bn tidak serius dan kurang keberanian khususnya bila berdepan dengan isu ugut dan wang.

Menteri Besar sedia ada melalui usul oleh ADUN Seberang Takir, Ahmad Razif Abdul Rahman telah ‘memberikan’ budget tambahan sebanyak RM361, 267, 300.00

Ramai pemerhati politik menyifatkan ini usaha Menteri Besar sedia ada untuk mengikat semua ADUN – ADUN BN terus setia dibawahnya. Tentunya RM361 juta akan dicairkan melalui projek kroni BN akan menyebabkan ADUN – ADUN BN terliur.

Siapa yang tidak terliur dengan duit sejumlah itu. Politik, oh politik. Masuk parti, berebut jawatan dan sanggup memijak kepala kawan sendiri untuk naik semata-mata kerana mahu berkhidmat kepada rakyat? Bertanya kepada syaitan sekalipun, syaitan akan menggeleng kepala.

Lompat parti mesti ada keberanian yang luar biasa. Sekiranya berasa diri tidak berapa bersih, tidak usah melompat. SPRM tidak akan melepaskan mereka melompat dengan bebas. Maklumlah, YB yang melompat kebanyakannya YB yang ada masalah, kalau tidak kerana jawatan, pasti kerana masalah kewangan. Jadi, mereka wajib disiasat.

Kemelut politik dalam BN bukan setakat menyakitkan kepala PM. Kepala pemimpin lain yang ada kaitan (kalaulah ada kepala?) juga akan berdenyut-denyut sakit. Masakan tidaknya, kemelut yang tidak berkesudahan bakal membawa keruntuhan BN.
satu malaysia

Mesej Merdeka 2009 - Lim Guan Eng

Makna Merdeka yang sebenar dihayati adalah berdasarkan demokrasi dan bukanlah menggantikan penjajah dengan pemimpin tempatan yang tidak menghormati Prinsip 5K Kebebasan, Keadilan, Kebenaran, Kebajikan Kepada Rakyat Dan Ketakwaan Kepada Tuhan

Selamat Hari Merdeka kepada semua rakyat Malaysia sempena ulang tahun ke-52 negara kita mencapai kemerdekaan. Saya ingin mengucapkan takziah kepada keluarga mangsa-mangsa virus A(H1N1) dan berharap mereka yang sedang dirawat terus bersemangat tinggi. Saya harap pihak kerajaan dapat berusaha dengan lebih gigih untuk mengatasi wabak ini yang sudah menelan banyak nyawa yang tidak berdosa.

Lebih separuh abad kita Merdeka, masih ada golongan yang bermain dengan api perkauman. Media arus perdana milik parti pemerintah terutamanya Utusan Malaysia, Berita Harian, New Straits Times and TV3 juga memainkan peranan dalam usaha menghasut rakyat untuk membenci atas dasar kaum dan agama. Tindakan mengheret kepala binatang untuk menghina kaum tertentu amat tidak bertanggungjawab, tidak bertamadun dan berlawanan dengan semangat perpaduan serta makna merdeka. Perbuatan keji ini harus dihentikan serta-merta dengan digantikan suatu sikap hormat-menghormati, saling percaya dan persahabatan yang jujur dapat mengatasi masalah perkauman.

Keyakinan rakyat kepada kerajaan juga semakin rapuh berikutan banyak tindakan berat sebelah dan pilih kasih yang telah dilakukan oleh agensi-agensi kerajaan yang sepatutnya bersikap adil dan saksama. Sikap tidak profesional Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM atau MACC) yang hanya bertindak terhadap pemimpin dan wakil rakyat dari Pakatan Rakyat, khususnya DAP, telah dengan jelas menunjukkan kepincangan dalam sistem pentadbiran kerajaan. Malah pengendalian kes kematian Teoh Beng Hock mengenai siasatan membabitkan RM 2,400 adalah satu lagi bukti di mana SPRM/MACC tidak profesional dalam menjalankan tugas. Sebaliknya, siasatan terhadap skandal Zon Bebas Pelabuhan Klang (PKFZ) yang melibatkan RM12.5 bilion serta pembabitan pemimpin-pemimpin tertinggi BN adalah bukti kes ini tidak disiasat dengan serius.

Malah, setelah 52 tahun Merdeka, kerajaan masih lagi mengabaikan kebajikan rakyat Malaysia. Bukan sahaja mereka yang miskin di Semenanjung dipinggirkan, malah ramai lagi sahabat kita di Sabah dan Sarawak terus ketinggalan dari arus pembangunan negara. Di pedalaman Sarawak, rakyat Malaysia khususnya Penans di Lusung Laku, Long Avit, Long Kajang, Long Tanyit, Long Malim, Long Ladem, Long Bangga dan Lusung Laku kini menghadapi masalah tidak cukup makanan dan hidup dalam keadaan yang amat tertekan. Apakah ini erti pembangunan dan nikmat kemajuan yang dilaung-laungkan oleh kerajaan BN di mana rakyat sendiri hampir kebuluran?

Makna Merdeka yang sebenar dihayati adalah berdasarkan demokrasi dan bukanlah menggantikan penjajah dengan pemimpin tempatan yang tidak menghormati Prinsip 5K Kebebasan, Keadilan, Kebenaran, Kebajikan Kepada Rakyat Dan Ketakwaan Kepada Tuhan. Hanya dengan menegakkan prinsip 5K, barulah rakyat dapat menikmati hasil ekonomi, berkongsikan kekayaan negara dan sekaligus mengatasi masalah ekonomi yang menghantui kita. Hanya dengan memberikan balik kuasa kepada rakyat Perak memilihkan kerajaan pilihan mereka semula, barulah demokrasi dan makna merdeka yang sebenarnya boleh hidup lagi di Malaysia.

Kepala Lembu PAS?

Saya diberitahu ada pihak yang menyatakan bahawa Ibrahim dan Mahyudin, dua watak utama demo kepala lembu tempohari telah mengaku diri mereka sebagai ahli/penyokong PAS. Oleh itu ada yang bertanya kepada saya samada ianya benar.

Maka saya pun menjawab, “biasalah, pada masa ini siapa sanggup mengaku dirinya ahli UMNO?”

Saya berikan contoh seperti penyokong Manchester United. Kalau datang ke Malaysia dan dibelasah teruk hingga 7 – 0, semua penyokong MU Malaysia tidak akan mengaku menyokong (kecualilah MU tok tok) dan akan mengaku dirinya penyokong setia pasukan bola sepak Malaysia! Betul tak?

Maaf ya penyokong MU, sekadar contoh sahaja... Tapi dengar-dengar khabar mereka menang semalam.

Maka jika kita kembali kepada kisah mereka berdua ini, jika benar mereka ini ahli PAS, maka wajar mereka ini disingkirkan atas sebab tindakan mereka yang BERCANGGAH dengan ajaran Islam. Tindakan mereka menjatuhkan imej Islam yang tidak selari dengan prinsip parti Islam.

Tetapi saya yakin mereka BUKAN ahli PAS. Ini kerana sudah lebih 10 tahun saya menjadi YDP PAS Shah Alam dan tidak pernah saya lihat muka kedua-dua penganjur demo ini. Lagipun tiada ahli PAS yang akan sanggup menukarkan kalimah ‘Takbir’ kepada ‘Take Beer’ seperti yang dilaugkan oleh golongan ini.

Mereka mengecam pimpinan PR tanpa menyentuh sedikit pun pimpinan UMNO. Walhal rata-rata semua tahu bahawa perkara ini berpunca dari kelemahan pentadbiran kerajan Negeri warisan UMNO/BN yang terdahulu. Mereka juga dilaporkan telah bertemu dengan Noh Omar...!

Hmmmmmm.......begitulah perangai UMNO dulu kini dan selamanya. Baling batu, sorok tangan.




khalid samad

Paling tidak ... Hormati Ramadhan

Oleh Ustaz Nasrudin Hassan Tantawi

1. Islam tidak datang untuk mengharamkan hiburan , justeru itu tidaklah pula DPPP mengharamkan hiburan . Cuma Islam datang membawa risalah pemulihan dan penyempurnaan . Maka DPPP mengambil langkah yang telah ditetapkan oleh syara' dalam membentuk sikap terhadap hiburan .


2. Hiburan yang mendamaikan hati malah menyuburkannya tanpa sebarang elemen yang leka dan lagha sehingga mengabaikan tanggungjawab sebagai seorang muslim dan mencetus suasana yang tidak islamik adalah hiburan yang dibenarkan .

3. Sementara hiburan yang diiringi dengan muzik yang hingar bingar , pula mengarah kepada pergaulan bebas lelaki dan perempuan dengan penampilan yang menjolok mata adalah hiburan yang jelas diharamkan oleh agama .

4. Hiburan yang mematikan jiwa dengan memuja nafsu dan mengeksploitasi suara manja penyanyi wanita , ditambah pula dengan pakaian dan lenggok tari yang menggiurkan juga merupakan hiburan yang diharamkan oleh agama .

5. Apabila Islam mengharamkan perkara ini , bukan bermakna Islam hanya tahu menghukum tetapi disebalik hukum tersebut tersimpan sejuta hikmah untuk membentuk jiwa dan peribadi yang hebat dan tidak hanyut dibuai fantasi

6. Berhibur pula ada batas . Contoh mudah dalam bulan Ramadhan . Ramadhan adalah bulan mulia . Bulan ibadah dan bulan taqwa . Tentu sahaja hiburan yang keterlaluan amat tidak sesuai. Sebagai contoh program hiburan Sehati Berdansa adalah sangat bercanggah dengan amalan murni Islam . Tambah pula diulang tayang dalam bulan Ramadhan .

7. Hiburan yang menampilkan tarian dan pakaian seperti itu sebenarnya di bulan apa pun tetap salah dari sisi agama . Cuma maksud saya , paling tidak hormatilah Ramadhan . Jangan rosakkan mood Ramadhan untuk ummatnya beribadah dengan hiburan sedemikian .

8. Puasa tak sampai seminggu , TV sudah riuh rendah dengan hiburan kononnya persiapan nak sambut Aidil Fitri . Penuh dan sarat dengan nyayian dan tarian yang diselang seli dengan tazkirah dan tilawah al Quran . Saya lihat seperti ianya sedang mempersenda agama Islam .

9. Manalah pergi pengarah JAKIM dan Pengerusi IKIM . Menteri yang jaga agama buat apa ? Justeru itu saya desak supaya kerajaan tidak membenarkan sebarang aktiviti hiburan melampau khasnya di bulan Ramadhan . Begitu juga sambutan 31 ogos kelak yang kebetulannya jatuh di bulan Ramadhan , jangan anjurkan konsert dan pesta hiburan . Hormatilah kemuliaan Ramadhan .

10. Ingatlah syurga neraka dan dosa pahala . Jangan hanya kerana mahu berhibur kita lalaikan hati dari mengingati Allah swt. Jika di bulan Ramadhan pula ummah dalam keadaan lalai dan alpa saya tidak nampak dibulan lain keadaan menjadi lebih baik .

Kepala lembu: Penerusan agenda Utusan Malaysia

Setelah sekian lama Utusan Malaysia mengasak isu perkauman, akhirnya lahirlah apa yang berlaku di Shah Alam selepas sembahyang Jumaat semalam, apabila sekumpulan umat Melayu membawa kepala lembu ke pejabat SUK Selangor.

Anggota Parlimen Kuala Selangor, Dr Dzulkifli Ahmad menyifatkan apa yang berlaku itu adalah penerusan dari siri-siri laporan dan tulisan dari akhbar berkenaan yang bersifat berkauman.


Bagi beliau, apa yang berlaku juga akibat dari pengaruh akhbar Umno itu terhadap pembaca mereka khasnya di kalangan ahli Umno yang memiliki akhbar berkenaan.

Dr Dzul mengulas tindakan sekumpulan yang memperkenalkan diri mereka sebagai penduduk Seksyen 23 Shah Alam yang membantah keputusan kerajaan negeri memindahkan sebuah kuil Hindu di Seksyen 19 ke Seksyen 23, kawasan kejiranan mereka.

Mereka telah membuat demostrasi dengan membawa kepala lembu yang masih berdarah dan diletak di depan pintu pagar pejabat Sultan Salahudin yang menempatkan pejabat SUK dan MB Selangor.

Tindakan mereka ini dikira satu penghinaan kepada orang Hindu yang menjadikan lembu sebagai tuhan mereka.

Seorang pembaca The Malaysian Insider menyifatkan langkah ini bertentangan dengan Islam kerana Islam melarang mana-mana umatnya menghina tuhan-tuhan orang lain kerana dibimbangi mereka akan membalasnya dengan menghina tuhan orang Islam iaitu Allah.

Bagi Dr Dzul yang juga AJK PAS Pusat, mereka hanya menyambung apa yang telah disiar dan ditulis dalam akhbar mereka sahaja.

Sejak kebelakangan ini, akhbar berkenaan banyak menyiarkan tulisan yang disifatkan sebagai bersifat perkauman dan dilihat cuba membangkitkan semangat Melayu.

Antaranya tulisan bertajuk "Sedarlahh wahai Melayu" dan sebagainya. Penulis akhbar itu membayangkan seolah-olah Melayu dalam tertekan. Padahal, bagi kebanyakan pemimpin Pakatan, bukan Melayu yang tertekan tetapi Umno.

Atas sebab itulah pelbagai usaha dibuat untuk menarik PAS bersama mereka atas kepentingan Melayu dan Islam. Namun, ianya ditolak oleh PAS.

Sebahagian penyokong dan ahli PAS juga dikatakan ada yang terpengaruh dengan pendekatan perkauman dan agama sempit di Seksyen 23 Shah Alam ini. Atas dasar itulah juga dikatakan ada yang mengaku ahli PAS menyokong tindakan itu.

Sebelum ini, anggota Parlimen Shah Alam, Khalid Samad memaklumkan, pihaknya akan membuat dialog dengan penduduk Seksyen 23 tentang rancangan kerajaan negeri Selangor itu.

Menurutnya, apa yang berlaku adalah, Kuil Mariaman di Seksyen 19 itu dibina di atas tanah PKNS berhampiran dengan rumah penduduk di situ. Ia menyebabkan sering berlaku kesesakan di situ dan menyusahkan banyak pihak.

"Mereka telah 25 tahun membuat bantahan," kata Khalid.

Atas dasar itu, kerajaan negeri dengan persetujuan JK Kuil telah bersetuju memindahkan kuil itu ke seksyen 23 untuk kegunaan penganut Hindu di situ serta Seksyen 19 dan 20.

Tanah tapak industri milik PKNS di Seksyen 23 Shah Alam telah dipilih oleh kerajaan sebagai tapak baru kuil itu. Majlis Bandaraya Shah Alam juga telah bersetuju mengenainya.

"Selepas semua pihak setuju, barulah kita akan bincang dan terangkan kepada penduduk," kata Khalid yang juga YDP PAS Shah Alam.

Petikan .themalaysianinsider.com

Belajar Berfikir Sendiri

Apa yang kita dengar itu belum tentu benar. Apa yang kita anggap benar itu belum tentu benar juga bagi orang lain.

Banyak orang bercakap tentang isu perarakan kepala lembu oleh penduduk Seksyen 23 Shah Alam sebagai membantah pembinaan kuil Hindu di kawasan tersebut. Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Penduduk pula tidak tahu akan kehadiran kepala lembu. Jadi, kepala lembu misterilah gamaknya.

Banyak juga yang bercakap tentang isu pemecatan Timbalan Presiden MCA, Chua Soi Lek kerana terlibat dengan skandal seks dua tahun lepas. Perdana Menteri berkata UMNO tidak akan bercampur tangan dalam masalah dalaman MCA. Namun, kenyataan beberapa pemimpin BN seolah-olah “menyalahkan” Ong Tee Keat. Mereka tidak bercampur tangan, tetapi bercampur mulut.

Dan tidak kurang juga yang bercakap tentang kes Kartika yang dijatuhkan hukuman sebat, tetapi penyebatnya tidak ada. Entah sedih atau lucu mendengar kenyataan Menteri Dalam Negeri itu. Jatuh hukum dahulu baru melatih penyebat. Perdana Menteri pula minta Kartika membuat rayuan, tetapi panel rayuan belum dilantik. Sekarang tempoh rayuan sudah tamat. Yang pasti wartawan satu dunia sedang menanti sebatan terhadap Kartika dilakukan supaya mereka dapat menulis berita “memalukan” Malaysia.

Bukan semua yang dicakapkan itu benar. Kita mesti menggunakan ketajaman akal menilai, menghalusi sebelum membuat justifikasi. Malangnya, kita malas berfikir. Kita diajar agar malas menggunakan fikiran. Kita lebih selesa menerima buah mulut orang lain. Memang kita dididik untuk menerima buah mulut orang lain. Tidak salah menerima buah mulut orang lain sekiranya buah mulut itu benar. Yang salahnya apabila kita menerima bulat-bulat buah mulut orang lain tanpa menilainya terlebih dahulu betul salahnya, baik buruknya.

Oleh itu, tidak adil kita selaku pendengar pasif “menjatuhkan hukum” siapa salah dan siapa betul tanpa usul periksa terlebih dahulu.

Pihak polis telah memohon maaf kerana tidak bertindak pantas terhadap mereka yang berarak kepala lembu. Alasannya ialah pegawai yang ditugaskan di tempat kejadian adalah seorang pegawai junior. Bolehkah kita mempercayainya?

Dalam perhimpunan membantah ISA dan PPSMI pantas pula polis bertindak. Polis datang mendahului peserta perhimpunan.

Polis memberi jaminan bahawa tindakan akan diambil segera terhadap mereka yang bertanggungjawab menganjurkan protes dan perarakan tersebut. Adakah kita patut mempercayainya bulat-bulat tanpa berfikir? Kita selalu mendengar kenyataan begini. Lazimnya, lenyap begitu sahaja.

Banyak laporan polis telah dibuat berhubung kejadian tersebut, antaranya oleh NGO, ahli majlis, Pemuda PAS, Pemuda PKR dan beberapa individu. Biasanya laporan polis yang dibuat oleh PKR, PAS atau DAP tidak cukup kuat untuk “menggerakkan” anggota polis.

Pengerusi jawatankuasa bertindak penduduk Seksyen 23 Shah Alam, Mahyuddin Manaf berkata kehadiran kepala lembu sewaktu protes membantah pembinaan kuil di kawasan tersebut semalam, masih merupakan satu misteri.

Mereka melakukan siasatan tetapi tidak dapat mengesan orang yang membawanya. Anda tentu tidak percaya bahawa lembu itu datang sendiri dan menggugurkan kepalanya di depan pintu bangunan Setiausaha Kerajaan Selangor.

Hari ini ada penduduk membantah pembinaan kuil Hindu di kawasan majoriti Islam. Mungkin hari esok ada pula penduduk memprotes pembinaan masjid atau surau di kawasan majoriti Hindu. Lusa ada penduduk menolak pembinaan tokong Cina di kawasan majoriti Melayu atau India. Tulat, semua kaum di Malaysia menolak pembinaan pusat ibadat, selain pusat ibadat mereka, di kawasan majoriti kaum mereka. Apa akan terjadi pada hari-hari berikutnya?

Sudah sampai masanya rakyat Malaysia tidak bergantung pada fikiran orang lain bagi menentukan salah atau betul, baik atau buruk sesuatu perkara. Lihatlah sesuatu perkara dengan mata hati sendiri.
satu malaysia

Isu kuil: MBSA diarah jumpa penduduk 5 Sept

Kerajaan Selangor telah mengarahkan Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) supaya mengadakan perbincangan terbuka pada 5 September depan antara penduduk sebenar Seksyen 23, Shah Alam, pegawai MBSA dan Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS).

“Perbincangan itu nanti bukan sahaja mendengar luahan pendapat masyarakat setempat tetapi juga memberikan peluang kepada kerajaan negeri menjelaskan fakta sebenar dan alasan yang menyebabkan keputusan menempatkan semula kuil Hindu di Seksyen 19 ke Seksyen 23,” kata Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim.

Sementara menunggu tarikh perjumpaan tersebut, katanya, kerajaan negeri menggesa penduduk berkenaan supaya bertenang dan tidak dipengaruhi fakta-fakta yang tidak benar “yang sengaja diapi-apikan oleh kumpulan yang memang berniat jahat terhadap keharmonian rakyat dan kestabilan politik kerajaan Selangor”.

“Sekali lagi, marilah kita sama-sama memelihara sikap bertimbang rasa, rasional dan saling hormat menghormati kerana inilah cara terbaik bagi menyelesaikan hal ini,” tegasnya dalam satu kenyataan.

Kerajaan negeri, katanya, kesal dengan tindakan menghina, menghasut dan menimbulkan kemarahan di kalangan penganut agama lain yang diapi-apikan oleh segelintir kumpulan pembantah yang berarak membawa kepala lembu sebagai tindakan membantah pembinaan kuil Hindu di Seksyen 23, Shah Alam.

Abdul Khalid berkata, ketika rakyat sedang bersiap sedia untuk menyambut Kemerdekaan negara, sikap tidak bertolak ansur terhadap agama lain yang masih wujud di kalangan segelintir rakyat Malaysia itu, sangatlah dikesali.

“Kejadian dan tindakan menghina agama orang lain itu menyebabkan seluruh negara ini dilihat undur kebelakang dalam usaha mewujudkan rasa hormat terhadap kepelbagaian agama dan adat resam dalam kalangan penduduk pelbagai keturunan.

“Walhal usaha tersebut, sebenarnya sudah dilakukan sejak kemerdekaan tahun 1957 lagi, demi pembinaan satu negara bangsa yang memperlihatkan persamaan visi dan identiti,” tegasnya.

Sehubungan itu, katanya, kerajaan negeri berharap semua rakyat bersikap matang dan tidak mudah terpengaruh dengan sikap tidak bertanggungjawab segelintir pembantah tersebut kerana ia dikhuatiri boleh mewujudkan ketegangan antara kaum.

“Dalam hal ini, walaupun kita wajar mengecam tindakan mereka yang tidak bertanggungjawab tersebut, namun kita lebih baik menyerahkan kepada pihak berwajib untuk mengambil tindakan,” tegasnya.

Katanya, kerajaan negeri meminta polis segera mengambil tindakan secara adil dan melakukan penyiasatan termasuk mengambil tindakan terhadap pihak-pihak yang mengugut para pemimpin kerajaan negeri.

Polis mohon maaf, janji bertindak pantas

Pihak polis telah memohon maaf kerana tidak mengambil tindakan pantas sewaktu berlakunya protes dan perarakan kepala lembu sebagai membantah cadangan pindahan kuil Hindu di Shah Alam semalam, kata exco kerajaan Selangor, Dr Xavier Jeyakumar.

Katanya, Ketua Polis Daerah Shah Alam Noor Azam Jamaluddin menyuarakan perkara itu kepada beberapa pemimpin Pakatan Rakyat dalam satu pertemuan pagi ini.

Menurutnya, Noor Azam menjelaskan bahawa pegawai yang ditugaskan di tempat kejadian adalah seorang pegawai junior.

"Jadi Noor Azam telah memberi jaminan bahawa tindakan akan diambil segera terhadap mereka yang bertanggungjawab (menganjurkan protes dan perarakan tersebut)," kata Jeyakumar yang bertanggungjawab menjaga halewhal bukan Islam di Selangor.

Menurut Dr Xavier, banyak laporan polis telah dibuat berhubung kejadian semalam.

"Banyak (laporan) dibuat oleh NGO, ahli majlis, Pemuda PAS, Pemuda PKR dan beberapa individu," katanya.

Pertemuan selama setengah jam itu diadakan di ibupejabat polis Shah Alam dan dihadiri oleh ahli parlimen DAP, Charles Santiago dan juga exco kerajaan Selangor, Ronnie Liu.

Semalam, kira-kira 50 penduduk yang membantah cadangan pemindahan kuil Hindu ke Seksyen 23 Shah Alam, telah berarak membawa kepala lembu ke bangunan pejabat kerajaan Selangor petang semalam.

Pelakon Amatur Gagalkan Demo Kepala Lembu

Sejak DS Najib Tun Razak menjadi PM, kita menyaksikan pelbagai drama yang ‘diterbitkan’ oleh beliau hasil lakonan Mahkamah Tinggi dan Mahkamah Rayuan dalam kes DS Nizar Jamaludin, SPRM dan surat misterinya yang melibatkan Khir Toyo dalam kes Teoh Bend Hock, Polis dalam terlalu banyak kes menyerang rakyat yang menunjuk rasa di jalanan, SPR dalam kes dakwaan 2000 pengundi hantu oleh Khairy Jamaluddin di Permatang Pasir pada 23 Ogos lalu, dan terkini ialah lakonan beberapa orang pencacai UMNO (melayu) yang mendapat upah beberapa puluh atau ratusan ringgit dengan mengarak kepala lembu ke Pejabat MB Selangor.

Bacalah sedutan berita di bawah ini dan manusia yang waras akan dapat menyimpulkan bahawa ia adalah skrip mudah yang digubah oleh UMNO untuk mencari glamour mereka yang sudah hilang.


“Sekumpulan penduduk Seksyen 23 Shah Alam dengan beberapa NGO Melayu mengarakkan kepala lembu ke bangunan Setiausaha Kerajaan Selangor sebagai membantah cadangan pemindahan kuil Hindu ke kawasan mereka. Kira-kira 50 orang yang membentuk jawatankuasa bertindak penduduk seksyen itu berkumpul di masjid negeri, beberapa ratus meter dari bangunan tersebut di Shah Alam, selepas solat Jumaat tadi. Mereka juga mensasarkan kemarahan mereka kepada ahli parlimen Shah Alam, Khalid Samad. Kira-kira 10 anggota polis hanya memerhati dan mengawal keadaan sekitar kawasan tersebut.” (28/08/09 - Malaysiakini)





“I challenge YB Khalid, YB Rodziah and Xavier Jeyakumar to go on with the temple construction. I guarantee bloodshed and racial tension will happen if this goes on, and the state will be held responsible,” shouted Ibrahim Haji Sabri amid strong chants of “Allahu Akbar!” (Malaysian Insider)




Pemuda Umno, BN kutuk perarakan kepala lembu

"Pemuda Umno dan BN mengutuk sekeras-kerasnya perarakan kepala lembu ke bangunan Setiausaha Kerajaan Selangor, dalam demonstrasi membantah cadangan pembinaan kuil Hindu dekat Seksyen 23, Shah Alam, petang tadi."



Apa yang ganjilnya dalam laporan ini? Kenapa kita boleh agak UMNO adalah dalang yang menaja semua kerja kotor ini? Sebab dan rasionalnya mudah sahaja. Jika kita lihat dalam gambar, kita dapat menyatakan bahawa:

1. UMNO lupa untuk mengarahkan pelakonnya supaya tidak memakai songkok, mencukur misai dan menyimpan janggut (atau pakai janggut palsu).

2. Polis sebagaimana biasa menjadi penonton sahaja malah mungkin bertindak bagi memastikan perarakan itu tidak diganggu dan berjalan lancar. Jika ia dilakukan oleh PAS, sudah pasti polis akan menyepak atau menginjak-injak para demonstran tersebut.

3. Contengan kata-kata kesat ke atas Khalid Samad (MP Shah Alam) amat jelas menunjukkan perkataan-perkataan kesat UMNO yang tipikal kepada PAS.

4. Polis buat tak tahu sahaja kepada kata-kata provokasi yang boleh menjerumuskan seseorang ditahan di bawah ISA atau Akta Hasutan seperti yang dilaungkan oleh makhluk yang bernama Ibrahim Hj Sabri yang mengugut untuk melakukan suatu peristiwa pertumpahan darah????...

5. Sepertimana biasa juga, Khairy Jamaluddin terus mengeluarkan kenyataan sepantas kilat mengutuk perarakan tersebut. Sungguh cepat beliau tahu perkara itu. Macamana beliau boleh tahu begitu pantas ya??!!...

6. Kenapa UMNO sibuk membela dan memperjuangkan masjid? Bukankah mereka yang pakar dalam merobohkan masjid dan membataskan aktiviti masjid seperti aktiviti gereja Kristian?

Sepatutnya UMNO perlu meminta nasihat dari pengarah-pengarah drama yang veteran seperti Yusuf Haslam, Prof Madya Maidin atau dari Steven Spielberg sendiri. Kalau tidak, lakonan drama mereka akan kaku, tidak realistic, canggung, banyak kelemahan dan cacat. Cuma penonton yang kolot minda, terencat akal, dungu dan baru keluar dari hutan sahaja yang akan percaya dan terpengaruh kepada drama pandir arahan UMNO Selangor ini. -umnopenipu

Pemecatan Chua jana Reformasi masyarakat Cina?

Oleh Lim Hong Siang

Pemecatan orang nombor dua UMNO pada tahun 1998 telah mencetuskan ledakan gerakan Reformasi dalam masyarakat Malaysia secara umumnya, dan masyarakat Melayu secara khususnya. Baru ini, orang nombor dua dalam MCA telah dipecat, atas tuduhan mencalar imej parti kerana terlibat dalam skandal seks, yang didedahkan akhir tahun 2007.


"Memperlekahkan demokrasi! Mencantas akar umbi Chua! Kemusnahan MCA berpunca dari Ong!" Demikianlah antara slogan yang tertulis pada banner, oleh penyokong Chua Soi Lek yang menuntut agar Mesyuarat Agung Luar Biasa (EGM) diadakan, berusulkan pembuangan undi tidak percaya kepada Presiden Ong Tee Keat, dan mengekalkan keahlian serta jawatan Timbalan Presiden Chua Soi Lek.

Perbalahan antara dua pemimpin tertinggi dari parti komponen Barisan Nasional kedua terbesar ini telah diberi liputan yang luas dalam ruangan media bahasa Cina. Persoalannya, apakah pertembungan antara dua elit politik ini bakal menjana gerakan Reformasi dalam masyarakat Cina?

Tidak menyentuh agenda besar

Pertembungan antara Mahathir Mohamad dengan Anwar Ibrahim, walaupun cuba digunakan "skandal seks" sebagai isu, berakhir dengan perdebatan agenda besar seperti rasuah, kronisme, nepotisme, hak asasi manusia, keadilan, kepincangan sistem kehakiman dan sebagainya. Malah, masyarakat Melayu digegarkan dengan laungan "Reformasi", menyaksikan puluhan ribu manusia turun ke jalan raya menuntut perubahan.

Sebaliknya, pergelutan antara Ong Tee Keat dengan Chua Soi Lek, langsung tidak kesampaian untuk menyentuh isu-isu sebesar itu. Chua Soi Lek dihukum untuk kali kedua dengan dvd skandal seks yang sama, yang diibaratkan penyokong Chua sebagai "menyebat mayat".

Namun demikian, mengimbas sejarah pergelutan kuasa MCA, hampir tiada pertembungan yang berlandaskan ideologi, bahkan berpaksikan pendirian dalam isu-isu tertentu. Perselisihan antara Ling Liong Sik dengan timbalannya, Lim Ah Lek juga berpunca daripada pembahagian kuasa, di mana masing-masing mahukan anak buah mereka mewarisi tampuk pimpinan MCA.

Perbalahan ini bersinambungan sejak tahun 2000, sehingga isu pembelian Nanyang Holdings tercetus pada tahun 2001, membuka gelanggang agar kedua-dua puak ini bersilat. Isu "kebebasan media" diketengahkan, Team A yang dipimpin Ling Liong Sik menyokong untuk membeli syarikat media tersebut, sementara Team B yang diketuai Lim Ah Lek membantah pembelian tersebut.

Secara ringkasnya, isu "kebebasan media" hanyalah peluru kepada Team B untuk menyerang Team A. Isu ini dilenyapkan begitu sahaja apabila Chan Kong Choy dari Team B memperolehi jawatan Menteri Pengangkutan merangkap Timbalan Presiden MCA, setelah Mahathir Mohamad bercampur tangan mendamaikan kemelut MCA.

Campur tangan UMNO

Maka, isu pemecatan Chua Soi Lek kini diolah dengan hujah "sama ada ahli mahu MCA yang diperkudakan UMNO, atau MCA yang bermaruah untuk menentukan pucuk pimpinan dirinya".

Jelas, Ong Tee Keat memperjudikan nasibnya apabila melepaskan khabar bahawa seluruh pucuk pimpinan akan meletak jawatan, seandainya EGM diadakan untuk membatalkan keputusan Majlis Presiden kelmarin.

Malah, Pengerusi BN Najib Abdul Razak kini berada dalam kedudukan serba salah, sama ada untuk bercampur tangan dalam kemelut MCA atau tidak. Dalam perkiraan Ong, Chua perlu bergantung kepada "kuasa luar", iaitu Najib untuk bertarung dengan dirinya. Tetapi, seandainya tangan Najib dimasukkan ke dalam celah retakan MCA, maka Ong akan menyatukan sokongan akar umbi untuk melawan "musuh" dari luar.

Jauhi pengaruh UMNO?

Penampilan imej Ong sebagai "penentang UMNO" mungkin disambut baik ahli MCA, malah masyarakat Cina secara umumnya. Persoalannya, gerak-geri Ong Tee Keat ini tidak bermakna, sekiranya MCA gagal menjauhkan dirinya dari UMNO ketika penyelewengan, ketidakadilan dan penindasan berlaku.

Tsunami politik 8 Mac 2008 hampir mengaramkan MCA, pada ambang parti itu menyambut ulangtahun ke-60. Pemimpin MCA yang ditampar oleh pengundi, bertekad untuk "berubah sebelum diubah". Tetapi, sejak Ong Tee Keat mengambil alih pucuk pimpinan, apakah perubahan yang terlaksana?

Penganalisa politik, kolumnis di media internet mula mempertikaikan peranan yang dimainkan oleh Timbalan Ketua Pemuda MCA, Mah Han Soon yang menyumbangkan "warna kulitnya" untuk merampas kuasa kerajaan negeri Perak bersama UMNO.

Pemuda MCA yang diketuai Wee Ka Siong, kononnya akan bersuara lantang untuk memperjuangkan hak dan kepentingan rakyat, bagaimanapun berpeluk tubuh untuk memberi laluan kepada FRU membelasah peserta perhimpunan Mansuhkan ISA. Malah, kenyataan media daripada Setiausaha Agung Pemuda MCA, Chai Kim Sen yang cuba duduk di atas pagar dan mengkritik kedua-dua pihak polis dan peserta demonstrasi, dibidas sehabis-habisnya.

Masa depan MCA

Kegagalan MCA untuk memenangi sokongan pengundi Cina terbukti dalam semua pilihan raya kecil yang diadakan selepas PRU ke-12. Malah, apabila calon PAS daripada Pakatan Rakyat, Mohd. Nizar Jamaluddin memperolehi hampir 85% undi Cina di Bukit Gantang, mengharungi segala tuduhan "Negara Islam" yang dilemparkan, MCA diaibkan sebogel-bogelnya.

Jelas, MCA semakin hilang relevannya kepada masyarakat Malaysia secara umumnya, dan masyarakat Cina secara khususnya. Slogan "Tiga Lawan" yang dilaungkan Ong, "Lawan untuk ekonomi! Lawan untuk politik! Lawan untuk keharmonian kaum!" tiada kandungan yang konkrit, malah tiada kayu ukur untuk menilai sejauh manakah matlamat ini tercapai.

Berbalik kepada tajuk, apakah pergelutan antara Ong dan Chua bakal menjana gerakan reformasi dalam masyarakat Cina? Jawapannya mungkin. Sekiranya perebutan kuasa Ong dan Chua ini berjaya membawa kepada kemusnahan MCA, maka politik masyarakat Cina akan mengucapkan "selamat tinggal" kepada MCA buat selama-lamanya.

Dengan itu, reformasi mula terjana secara senyap dalam masyarakat Cina, selepas satu dekad "Reformasi" bergema di Dataran Merdeka.

Apa Yang Mereka Perjuangkan Itu?

oleh: Dr. Mohd Asri bin Zainul Abidin

Pilihanraya Permatang Pasir telah pun selesai. Saya pulang ke Malaysia betul-betul pada hari penamaan calon. Pusat penamaan calon iaitu IKBN, Mengkuang Bukit Mertajam pula betul-betul berhampiran rumah saya, sekalipun kawasan saya tidak termasuk dalam DUN berkenaan.

Ramai yang tidak tahu bahawa saya mempunyai dewan pengajian untuk orang awam iaitu Dewan Pengajian al-Imam Ibn Qayyim al-Jauziyyah yang bersebelahan rumah saya. Dewan ini sering menganjurkan berbagai aktiviti ilmiah yang bersifat ‘terbuka’ dari sudut pemikiran fekah dan ‘kepartian’.

Para jamaahnya cuba diserasikan dengan prinsip-prinsip ilmu yang merentasi sebarang sempadan kepartian dan mazhab fekah. Oleh kerana kawasan bangunan dewan ini luas, ramai yang datang dari luar Pulau Pinang yang tidak tahu tentang dewan ini melintasi di hadapannya atau cuba menggunakan kemudahannya.

Sebahagian yang tahu saya sudah pun berada di Malaysia datang dan mengunjungi saya di rumah. Maka, sepanjang tempoh berkempen ramailah juga tetamu saya yang terdiri dari kalangan tokoh kedua-dua parti yang bertanding.

Seperti biasa, saya memberikan pandangan saya yang tersendiri mengenai cara politik kedua-dua parti tersebut. Ada juga di kalangan tokoh-tokoh yang datang itu menegaskan tentang keperluan untuk saya menjadi aktivis parti mereka. Mereka mengemukakan alasan dan hujah, saya berdiam sahaja. Saya belum berfikir sehingga ke situ. Namun beberapa kesimpulan pemikiran politik dapat saya rumuskan.

Tanda Aras

Dalam Islam kita diajar agar mencontohi yang baik, bahkan yang terbaik. Jika kita ingin mencapai sesuatu kualiti yang baik, maka kita mestilah mengambil bench-mark atau penanda aras yang terpilih. Justeru itu kita disuruh mencontohi para nabi dan pengikut mereka yang terbukti benar-benar berjaya mempertahankan prinsip kebenaran.

Ini seperti firman Allah: (maksudnya)

“Sesungguhnya adalah bagi kamu pada (Nabi) Ibrahim (a.s) dan pengikut-pengikutnya - contoh ikutan yang baik..”(Surah Mumtahanah, ayat 4).

Firman Allah juga: (maksudnya)

Demi sesungguhnya adalah bagi kamu pada Rasulullah itu contoh ikutan yang baik bagi sesiapa yang sentiasa mengharapkan (keredhaan) Allah dan (balasan baik) Hari Akhirat, serta dia pula mengingati Allah banyak-banyak” (Surah al-Ahzab, ayat 21).

Nabi Muhammad itu sendiri pun diperintah oleh Allah s.w.t agar menuruti langkah dan teladan para nabi sebelum baginda. Firman Allah:

“Mereka (nabi-nabi) tersebut adalah orang-orang yang telah diberi petunjuk oleh Allah, maka turutlah olehmu (Wahai Muhammad) akan petunjuk mereka..” (Surah al-An’am, ayat 90).

Demikianlah banyak ayat-ayat al-Quran yang Allah arahkan agar kita mencontohi teladan yang baik sebagai penanda aras dalam perjalanan hidup kita. Malang sekali, ‘orang parti’ apabila kita mengkritik tindakan parti mereka, mereka akan menjawab ‘parti lawan lebih teruk’, atau ‘parti lawan buat tak apa, kenapa kami tak boleh?!’, ‘kenapa bantah kami, parti lawan pun buat perkara yang sama?!’ atau apa sahaja jawapan yang menunjukkan penanda aras tindakan mereka adalah diukur dengan parti lawan mereka.

Pada masa yang sama mereka kata parti lawan mereka buruk dan mendakwa mereka lebih baik dari parti musuh mereka, tapi pengukur tindakan mereka tidak lebih dari parti yang mereka tentang. Mereka sebenarnya bukan mencari yang terbaik, tetapi mereka ingin menjustifikasikan tindakan politik mereka.

Jika itulah tahap pemikiran orang politik kita, sehingga bila pun kita tidak akan dapat membuat perubahan yang terbaik dalam masyarakat kita. Barangkali jika kita mengkritik mereka mengambil rasuah, mereka akan jawab: “pemimpin parti lawan kami ambil lagi banyak, pasal apa kritik kami?!”.

Mereka menghalalkan tindakan mereka kerana parti lain pun buat. Jika begitu, kita tidak perlu buat pilihanraya untuk sebarang pemilihan kerena tahap ukuran atau penanda aras mereka itu sama!

Mungkin ada yang berkata; kita guna kaedah ‘memilih mudarat yang paling ringan’ seperti yang diajar dalam qawa ‘id fiqhiyyah (kaedah-kaedah fekah). Kaedah ini mengajar bahawa apabila bertentangan antara dua mudarat atau bahaya, seseorang muslim diperintahkan agar memilih yang paling kurang bahaya atau mudarat antara keduanya.

Kaedah ini digunakan apabila tiada lagi di hadapan seseorang pilihan yang lain. Namun jika di sana ada jalan keluar dari bahaya atau mudarat tersebut, maka kita hendaklah mendapatkannya. Pihak yang layak untuk melaksanakan kaedah ini ialah para pengundi apabila mereka mendapati kesemua parti-parti ini adalah bahaya dan mudarat, mereka terpaksa memilih yang paling ringan mudaratnya.

Soalannya, apakah parti-parti ini hanya mampu menjadi ‘yang paling ringan mudarat’, bukan yang mampu membawa sesuatu yang baik atau terbaik?! Juga, apakah parti-parti politik ini kesemuanya merupakan bahaya dan mudarat yang kita tiada pilihan, atau mampu mencari jalan keluar?! Atau, apakah sekadar itu sahaja tahap kualiti dan pemikiran kita..

Kualiti Perjuangan

Saya suka apabila ada pihak yang membezakan kualiti pengikut atau penyokong. Saya bukan tokoh politik, tetapi sering berjumpa berbagai pihak dan individu samada di tempat awam, tertutup atau melalui surat dan email yang menyebut: “saudara, saya penyokong anda”, atau “saya peminat anda”, atau “saya berikan sokongan penuh perjuangan anda”.

Jika saya sempat bersembang dengan mereka saya pasti akan bertanya: “apa yang anda sokong?”, “apa yang anda minat?”. Alhamdulillah, ramai yang menjawab: “saya pembaca setia tulisan anda”, atau “saya selalu mengikuti ucapan anda dalam berbagai media”, atau “saya sering menghadiri kuliah anda”.

Namun jika ada yang menjawab “saja, seronok-seronok” atau “kawan saya sokong anda, saya pun join kelab mereka”, atau “sekadar trend terkini” tentulah sesuatu yang mendukacitakan dan tidak memberi apa-apa makna kepada segala usaha dan penat lelah.

Saya dapati ramai orang politik cuai hakikat ini. Sesetengah parti politik, para pengikut mereka benar-benar tiada kualiti. Mereka tidak mendokong cita-cita perjuangan, atau tiada faham apa yang diperjuangkan, tetapi sekadar berseronok suka dengan ‘keramaian’ dan ‘faedah sampingan’ yang diperolehi.

Mereka tidak tahu idealisme perjuangan, atau jika tahu pun mereka tidak menghayatinya atau terasa sebahagian dari perjuangan mereka. Inilah yang kita lihat pada ramai anak-anak muda, bahkan yang tua juga yang bersorak-sorai dalam musim pilihanraya.

Ada parti yang benar-benar lesu cita-cita perjuangannya. Hilang arah dan matlamat perjuangan. Hidup atas isu atau sekadar hendak mempertahankan kerusi atau kuasa yang ada. Para pengikut bawahan mereka, hanya sekadar untuk mendapatkan upah menggantung poster, atau wang poket, atau ‘makan percuma’.


- Gambar Hiasan

Politik sekadar untuk bersosial, bukan kerana ada perjuangan yang hendak digalas, maka hancurlah politik kita dan masa depan negara. Hal ini berlaku disebabkan banyak perkara, antaranya; perjuangan parti itu sendiri hilang arah, atau cita-cita perjuangannya tidak berpijak di alam nyata, atau perjuangannya tidak dapat diterima pengikut atau contoh teladan buruk kepimpinan parti yang menyebabkan segala idealismanya ditelan isu-isu peribadi.

Menetapkan halatuju perjuangan yang jelas dalam diri individu atau organisasi merupakan rukun utama dalam meneruskan perjalanan hidup. Sebab itulah, sebahagian sarjana ada yang menyatakan Islam itu adalah jawapan yang tepat kepada tiga soalan utama yang sentiasa muncul dalam akal pemikiran manusia sepanjang zaman; iaitu dari mana manusia wujud? Kenapa manusia diwujudkan? Ke mana akhirnya kesudahan kewujudan manusia?.

Islam menjawab persoalan-persoalan ini secara tepat. Jika sesiapa dapat memahami atau memberikan jawapan yang tepat kepada persoalan-persoalan ini, bererti dia memahami hakikat Islam. Dengan memahami hakikat ini, maka umat Islam dahulu yang gemilang berjuang. Kejelasan matlamat dan halatuju hidup terbentang di hadapan mata mereka.

Maka jika hal ini dikiaskan kepada perjuangan apa sahaja, jika perjuangan itu dapat memberikan jawapan serta memahamkan pengikut mereka ‘bagaimanakah perjuangan mereka itu boleh muncul? Untuk apa mereka berjuang? Dan ke manakah kesudahannya perjuangan tersebut?, maka kita akan dapati kelangsungan perjuangan berkenaan.

Jika tidak, ia adalah slogan khayalan yang tiada hakikat baginya. Sekalipun, jika ia kelihatan gah dan besar, ia hanyalah singa atau raksasa kertas yang boleh dimusnahkan oleh sebatang mancis api. Jika jawapan itu benar-benar wujud sekalipun kecil ia mampu bergerak dan membawa dirinya sendiri.

Kisah Dajjal dalam Hadith

August 29, 2009

Persoalan tentang al-ghaibiyyah, iaitu persoalan alam ghaib yang hanya didengar melalui dalil-dalil. Namun, hakikatnya hanya Allah sahaja yang mengetahuinya. Antara perkara berbentuk al-ghaibiyyah ialah kapal nabi Nuh, tongkat Nabi Musa, syurga, neraka dan lain - lain. Kita tidak digalakkan untuk memperincikan bagaimana bentuknya, bila berlaku, adakah berjasad atau tidak serta seumpamanya. Begitu juga dajjal yang termasuk dalam persoalan al-ghaibiyyah.

Dari Abi Umamah Al-Bahiliy, beliau berkata: “Rasululah s.a.w telah berkhutbah di hadapan kami. Dalam khutbahnya itu Baginda banyak menyentuh masalah Dajjal. Baginda telah bersabda:

“Sesungguhnya tidak ada fitnah (kerosakan) di muka bumi yang paling hebat selain daripada fitnah yang dibawa oleh Dajjal. Setiap Nabi yang diutus oleh Allah SWT ada mengingatkan kaumnya tentang Dajjal. Aku adalah nabi yang terakhir sedangkan kamu adalah umat yang terakhir. Dajjal itu tidak mustahil datang pada generasi (angkatan) kamu. Seandainya dia datang sedangkan aku masih ada di tengah-tengah kamu, maka aku adalah sebagai pembela bagi setiap mukmin. Kalau dia datang sesudah kematianku, maka setiap orang menjaga dirinya. Dan sebenarnya Allah SWT akan menjaga orang-orang mukmin."

“Dajjal itu akan datang nanti dari satu tempat antara Syam dan Iraq. Dan mempengaruhi manusia dengan begitu cepat sekali. Wahai hamba Allah, wahai manusia, tetaplah kamu. Di sini akan aku terangkan kepada kamu ciri-ciri Dajjal, yang belum diterangkan oleh nabi-nabi sebelumku kepada umatnya."

“Pada mulanya nanti Dajjal itu mengaku dirinya sebagai nabi. Ingatlah, tidak ada lagi nabi sesudah aku. Setelah itu nanti dia mengaku sebagai Tuhan. Ingatlah bahawa Tuhan yang benar tidak mungkin kamu lihat sebelum kamu mati. Dajjal itu cacat matanya sedangkan Allah SWT tidak cacat, bahkan tidak sama dengan baharu. Dan juga di antara dua mata Dajjal itu tertulis ‘kafir’, yang dapat dibaca oleh setiap mukmin yang pandai membaca atau buta huruf."

“Di antara fitnah Dajjal itu juga dia membawa syurga dan neraka. Nerakanya itu sebenarnya syurganya sedangkan syurganya itu neraka, iaitu panas. Sesiapa di antara kamu yang disiksanya dengan nerakanya, hendaklah dia meminta pertolongan kepada Allah dan hendaklah dia membaca pangkal surah Al-Kahfi, maka nerakanya itu akan sejuk sebagaimana api yang membakar Nabi Ibrahim itu menjadi sejuk."

“Di antara tipu dayanya itu juga dia berkata kepada orang Arab: “Seandainya aku sanggup menghidupkan ayah atau ibumu yang sudah lama meninggal dunia itu, apakah engkau mengaku aku sebagai Tuhanmu?” Orang Arab itu akan berkata: “Tentu.” Maka syaitan pun datang menyamar seperti ayah atau ibunya. Rupanya sama, sifat-sifatnya sama dan suaranya juga sama. Ibu bapanya berkata kepadanya: “ Wahai anakku, ikutilah dia, sesungguhnya dialah Tuhanmu.”

“Di antara tipu dayanya juga dia tipu seseorang, iaitu dia bunuh dan dia belah dua. Setelah itu dia katakan kepada orang ramai: “Lihatlah apa yang akan kulakukan terhadap hambaku ini, sekarang akan kuhidupkan dia semula". Dengan izin Allah orang mati tadi hidup semula. Kemudian Laknatullah Alaih itu bertanya: “Siapa Tuhanmu?” Orang yang dia bunuh itu, yang kebetulan orang beriman, menjawab: “Tuhanku adalah Allah, sedangkan engkau adalah musuh Allah.” Orang itu bererti lulus dalam ujian Allah dan dia termasuk orang yang paling tinggi darjatnya di syurga.”


Kata Rasulullah s.a.w lagi: “Di antara tipu dayanya juga dia suruh langit supaya menurunkan hujan tiba-tiba hujan pun turun. Dia suruh bumi supaya mengeluarkan tumbuh-tumbuhannya tiba-tiba tumbuh. Dan termasuk ujian yang paling berat bagi manusia, Dajjal itu datang ke perkampungan orang-orang baik dan mereka tidak mengakunya sebagai Tuhan, maka disebabkan yang demikian itu tanam-tanaman dan ternakan mereka tidak menjadi. Dajjal itu datang ke tempat orang-orang yang percaya kepadanya dan penduduk kampung itu mengakunya sebagai Tuhan. Disebabkan yang demikian hujan turun di tempat mereka dan tanam-tanaman mereka pun menjadi." “Tidak ada kampung atau daerah di dunia ini yang tidak didatangi Dajjal, kecuali Makkah dan Madinah. Kedua-dua kota itu tidak dapat ditembusi oleh Dajjal kerana dikawal oleh Malaikat. Dia hanya berani menginjak pinggiran Makkah dan Madinah. Namun demikian ketika Dajjal datang ke pergunungan di luar kota Madinah, kota Madinah bergoncang seperti gempa bumi. Ketika itu orang-orang munafik kepanasan seperti cacing dan tidak tahan lagi tinggal di Madinah. Mereka keluar dan pergi bergabung dengan orang-orang yang sudah menjadi pengikut Dajjal. Inilah yang dikatakan hari pembersihan kota Madinah.”

Dalam hadis yang lain, “di antara fitnah atau tipu daya yang dibawanya itu, Dajjal itu lalu di satu tempat kemudian mereka mendustakannya (tidak beriman kepadanya), maka disebabkan yang demikian itu tanam-tanaman mereka tidak menjadi dan hujan pun tidak turun di daerah mereka. Kemudian dia lalu di satu tempat mengajak mereka supaya beriman kepadanya. Mereka pun beriman kepadanya. Maka disebabkan yang demikian itu Dajjal menyuruh langit supaya menurunkan hujannya dan menyuruh bumi supaya menumbuhkan tumbuh-tumbuhannya. Maka mereka mudah mendapatkan air dan tanam-tanaman mereka subur.”

Dari Anas bin Malik, katanya Rasulullah s.a.w bersabda: “Menjelang turunnya Dajjal ada tahun-tahun tipu daya, iaitu tahun orang-orang pendusta dipercayai orang dan orang jujur tidak dipercayai. Orang yang tidak amanah dipercayai dan orang amanah tidak dipercayai.”

Dari Jabir bin Abdullah, katanya Rasulullah s.a.w ada bersabda: “Bumi yang paling baik adalah Madinah. Pada waktu datangnya Dajjal nanti ia dikawal oleh malaikat. Dajjal tidak sanggup memasuki Madinah. Pada waktu datangnya Dajjal (di luar Madinah), kota Madinah bergegar tiga kali. Orang-orang munafik yang ada di Madinah (lelaki atau perempuan) bagaikan cacing kepanasan kemudian mereka keluar meninggalkan Madinah. Kaum wanita adalah yang paling banyak lari ketika itu. Itulah yang dikatakan hari pembersihan. Madinah membersihkan kotorannya seperti tukang besi membersihkan karat-karat besi.”

Diriwayatkan oleh Ahmad, hadis yang diterima dari Aisyah r.a. mengatakan: “Pernah satu hari Rasulullah s.a.w masuk ke rumahku ketika aku sedang menangis. Melihat aku menangis beliau bertanya: “Mengapa menangis?” Aku menjawab: “Ya Rasulullah, engkau telah menceritakan Dajjal, maka aku takut mendengarnya.” Rasulullah s.a.w berkata: “Seandainya Dajjal datang pada waktu aku masih hidup, maka aku akan menjaga kamu dari gangguannya. Kalau dia datang setelah kematianku, maka Tuhan kamu tidak buta dan cacat.”

Dari Jabir bin Abdullah, katanya Rasulullah s.a.w bersabda: “Dajjal muncul pada waktu orang tidak berpegang kepada agama dan jahil tentang agama. Pada zaman Dajjal ada empat puluh hari, yang mana satu hari terasa bagaikan setahun, ada satu hari yang terasa bagaikan sebulan, ada satu hari yang terasa satu minggu, kemudian hari-hari berikutnya seperti hari biasa.” Ada yang bertanya: “Ya Rasulullah, tentang hari yang terasa satu tahun itu, apakah boleh kami solat lima waktu juga?” Rasulullah s.a.w menjawab: “Ukurlah berapa jarak solat yang lima waktu itu.” Menurut riwayat Dajjal itu nanti akan berkata: “Akulah Tuhan sekalian alam, dan matahari ini berjalan dengan izinku. Apakah kamu bermaksud menahannya?” Katanya sambil ditahannya matahari itu, sehingga satu hari lamanya menjadi satu minggu atau satu bulan. Setelah dia tunjukkan kehebatannya menahan matahari itu, dia berkata kepada manusia: “Sekarang apakah kamu ingin supaya matahari itu berjalan?” Mereka semua menjawab: “Ya, kami ingin.” Maka dia tunjukkan lagi kehebatannya dengan menjadikan satu hari begitu cepat berjalan.

Menurut riwayat Muslim, Rasulullah s.a.w bersabda: “Akan keluarlah Dajjal kepada umatku dan dia akan hidup di tengah-tengah mereka selama empat puluh. Saya sendiri pun tidak pasti apakah empat puluh hari, empat puluh bulan atau empat puluh tahun. Kemudian Allah mengutus Isa bin Maryam yang rupanya seolah-olah Urwah bin Mas’ud dan kemudian membunuh Dajjal itu.”

BEREBUT TIDAK MAHU JAWATAN

Di kala Khalifah Sulaiman bin Abdul Malik dalam kegeringan untuk menghadapi kematian, beliau terbaring di katil istana. Keliling baginda Khalifah, dipenuhi dengan pembesar-pembesar kerajaan, termasuk yang hadir adalah Omar bin Abdul Aziz.

Omar ketika itu amat bimbang namanya dicalonkan sebagai khalifah sebagai pengganti Khalifah Sulaiman. Lantaran itu, beliau memerhatikan Roja’ bin Haywah yang merupakan penasihat utama Khalifah, sebagai isyarat agar mereka berdua boleh berbicara sebentar.

Ketika mereka berdua beredar dari berada di keliling Khalifah Sulaiman, Omar Abdul Aziz berkata, “wahai Roja’, Demi Allah, aku berpesan kepadamu atas nama Allah dan Islam, bahawa jangan sekali-kali kamu mencalonkan namaku sebagai pengganti Khalifah” Omar bin Abdul Aziz memberi pesanan.

“jawatan ini amat berat, aku tidak mampu untuk memikulnya, terutama ketika mengadap Allah SWT di akhirat nanti” sambung Omar lagi.

Roja’ memahami kebimbangan Omar itu. Dengan nada yang bersungguh, Roja’ berkata, ”Aku tidak melihat orang yang lebih layak untuk jawatan ini melainkan kamu. Apakah kamu mahu menempa dosa dengan melihat kemudharatan berlaku jika kamu tidak menerima jawatan ini?” soal Roja’ sambil mukanya merenung wajah Omar yang dilihat berpeluh didahinya.

Omar tidak mampu berkata apa-apa pun, melainkan jantungnya berdegup kuat kerana bimbang namanya dicalonkan sebagai pengganti Sulaiman bin Abdul Malik bagi jawatan Khalifah.

Kemudian Roja’ kembali semula kepada Khalifah Sulaiman yang sedang kegeringan.

”siapakah yang kamu nampak lebih layak menggantikan aku untuk jawatan Khalifah ini, Wahai Roja’?” soal Khalifah Sulaiman kepada penasihat utamanya.

”tuanku tidak perlu khawatir dan bimbang. Bertaqwalah kepada Allah. Insya Allah, Allah akan memberikan jalan yang terbaik dalam urusan ini” jawab Roja’ dengan nada yang tegas.

Dengan bibir yang kering, wajah yang pucat, Khalifah Sulaiman bertanya, ”siapakah gerangan yang kamu nampak layak wahai Roja’?”

”omar bin Abdul Aziz wahai tuanku” Roja’ melemparkan cadangan.

Dalam wajah kepucatan itu, Khalifah Sulaiman tersenyum seraya berkata, ”demi Allah, Omar terlalu layak untuk jawatan ini. pilihan itu amat tepat sekali. Pun begitu, aku berwasiat agar selepas Omar, orang yang mengambil tampuk pemerintahan ini adalah Yazid bin Abdul Malik”

”sengaja aku tidak memilih Yazid sebagai khalifah sebagai ganti aku, kerana aku bimbang keluarga Abdul Malik akan mewujudkan fitnah dalam rebutan kekuasaan ini” sambung Khalifah Sulaiman.

Wasiat ini didengari oleh ramai pembesar-pembesar kerajaan, dan ia disokong ramai tanpa sebarang bangkangan pun.

JAWATAN SATU BEBAN

Jawatan merupakan bebanan. Ia bukan kemuliaan, seperti anggapan sesetengah ahli politik yang tamak. Di zaman kini, jawatan menjadi satu rebutan. Semuanya bersebab, apabila dengan jawatan, mereka dapat mencapai kehendak nafsunya dengan jalan yang mudah.

Golongan salaf terdahulu, mereka akan menolak sebarang jawatan yang berbentuk amanah ini. pada mereka, itu semuanya merupakan kesangsaraan hidup mereka di akhirat; iaitu dikala mengadap Allah SWT.

Diceritakan bahawa ada seorang qadhi sedang menghadapi nazak kematian. Qadhi tersebut beranggapan bahawa selepas kematiannya, pasti anak lelakinya akan dilantik jawatan itu.

Qadhi itu memanggil anak lelakinya, lalu meminta agar anak lelakinya itu mencium kedua-dua belah telinganya. Apabila anaknya itu mencium, didapati telinga sebelah kanannnya berbau wangi, dan telinga sebelah kirinya berbau busuk.

Anak lelakinya itu kepelikkan, seraya bertanya, ”mengapa telinga bapa berbau wangi pada yang kanannya, dan berbau busuk pada kirinya?”

Qadhi itu menjawab, ”wahai anakku, bapa pernah melakukan satu kesilapan yang besar. Bapa pernah berhukum dalam satu kes, yang bapa hanya mendengar sebelah pihak sahaja. Ekoran itulah, telinga bapa berbau busuk sebelahnya”

”wahai anakku, bapa beranggapan, bahawa selepas kamatianku, pasti kamu akan dilantik untuk jawatan yang sedang bapa pegang ini” sambungnya, ” Wahai anakku, apakah kamu mahu menerimanya?” soal Qadhi itu kepada anak lelakinya.

Anaknya itu berfikir sejenak. Dahinya berkerut. Tangannya diletakkan di dagu seakan-akan sedang berfikir dengan rasional untuk jawatan yang akan dibebankan itu.

”wahai bapaku, aku tidak sanggup menanggung bebanan yang berat ini” jawab anak lelaki itu dengan tegas.

Mendengar jawapan anaknya, Qadhi tersebut mengangguk kepalanya menandakan bersetuju.

Setelah kematian Qadhi, anak lelakinya itu kebingungan. Dia berfikir apakah cara yang paling baik untuk dia mengelakkan dirinya daripada dilantik oleh Khalifah sebagai Qadhi.

Akhirnya, anak lelaki itu telah bertindak seperti orang gila. Dia mengambil pelepah tamar, dan ditunggang pelepah itu seperti dia menunggang kuda, sambil mulutnya membunyikan suara seperti hentakan tapak kaki kuda.

Khalifah melihat keadaan anak lelaki Qadhi yang hendak digantikan bapanya. Melihat keadaan itu, Khalifah telah bertindak melantik orang lain bagi jawatan tersebut. Setelah jawatan itu dilantik kepada orang lain, barulah anak lelaki tersebut beransur-ansur mengubah daripada seperti orang gila kepada orang waras.

Kisah ini amat jelas, bagaimana golongan salaf terdahulu amat tidak meminati sebarang jawatan yang ditawarkan. Mereka tidak mahu jawatan itu, kerana mereka tahu, sebarang kesilapan dan kelalaian dalam menunaikan amanah menyebabkan mereka terbeban ketika mengadap Allah SWT nanti.

Apakah wujud lagi keadaan ini di zaman sekarang???

Hukuman Rotan – Malaysia Bukan Negara Islam

Nah! sekarang ini terserlah dan ternyata benarlah, Malaysia bukan sebuah Negara Islam sebagaimana yang dilaung-laungkan oleh pemimpin Melayu di dalam BN.

Daripada atas hingga ke bawah, pemimpin dan ahli Umno perlu mengakui bahawa apa yang mereka perkatakan dahulu adalah karut dan palsu semata-mata.

Kes dan hukuman yang telah dijatuhkan ke atas Kartika Sari Dewi Shukarnor yang didapati bersalah meminum arak telah mendedahkan segala-galanya.

Selama ini mungkin rakyat menggambarkan bahawa benarlah apa yang dijerit pekik oleh pemimpin BN yang melayu itu bahawa Malaysia adalah sebuah Negara Islam. Rupa-rupanya “boooh oong” sama sekali.

Sudahlah hukuman itu sendiri tidak menepati sebagaimana hukuman yang terdapat di dalam Islam dan ianya juga sudah menjadi sejarah dan bacaan disemua peringkat, akan tetapi yang paling memalukan ialah tiadanya “penyebat” yang mahir sebagaimana yang dikehendaki oleh Islam.

Apakah itu bukan suatu perkara yang memalukan “manusia-manusia” yang mendakwa Malaysia sebuah Negara Islam?

Kalaulah tukang sebatpun tidak ada lagi, bagaimana boleh mereka mendakwa negara ini negara Islam? Bagaimana mahu menjalankan perundangan Islam yang ada dalam sebuah Negara Islam? Hairan dan memalukan sekali!

Walau bagaimanapun selagi namanya Umno, maka selagi itulah mereka tidak akan berubah untuk menerima Islam sepenuhnya. Islam mereka adalah Islam liberal. Hanya sesuainya Islam apabila sesuai dengan mereka.

Persoalannya sekarang di mana suara MUFTI DAN PARA ULAMA KERAJAAN? Mereka inilah yang sepatutnya berada di saf depan untuk menjelaskan segala-galanya.

KENAPA KAMU DIAM?

Ujian Itu Rahsia Allah S.W.T.

Zalikha
editOr:mawaryangtinggi




Bismillahirahmaniraheem..

Setiap manusia yang Allah cipta sentiasa akan diberi musibah,ujian atau masalah hidup didunia yang sementara ini.Tipu jika seseorang itu berkata yang dia tidak pernah ditimpa musibah. Setiap orang ada masalahnya tersendiri,Allah uji dengan berbagai-bagai ujian tetapi sebabnya adalah sama. Allah menguji seseorang itu kerana Allah swt mempunyai rahsianya tersendiri,sama ada Allah hendak tambah iman kita atau hendak uji sejauh mana keimanan kita. Dan kerana sesuatu ujian itulah yang membuka mata hati kita,yang mendidik kita supaya jangan mudah putus asa dalam kehidupan yang bagaikan bahtera dilautan yang penuh dengan onak duri,ujian juga dapat mematangkan kita.

Kadang-kadang kita tertanya-tanya, mempersoalkan kepada Allah swt kenapa kita diberi ujian yang berat sebegitu sekali sehingga kita terlupa pada siapa yang perlu kita mengadu segala masalah kita, pada siapa kita harus minta kembali kekuatan kita. Astagfirullah, lemahnya dan rendahnya iman kita. Tidak redha dalam menghadapi ujian yang Allah beri terhadap kita. Jika kita anggap diri kita ditimpa musibah yang besar kita hendaklah ingat bukan kita sahaja yang mengalaminya,mungkin ada sahabat-sahabat kita @ saudara seakidah kita yang lain menghadapi musibah yang sama bahkan lebih teruk atau lebih besar dari kita.

Bukankah,Allah telah berkata dengan jelas di dalam Al-Quran yang Allah tidak akan sekali-kali menguji hambaNya diluar kemampuan hambaNya. Allah tahu kita kuat dalam menghadapi ujianNya jadi Allah berikan ujian itu ke atas diri kita. Di sini kita dapat lihat betapa sayang dan kasihnya Allah kepada kita sebagai hambaNya.



Allah menguji seseorang bukan kerana Allah benci kepada kita tetapi percayalah yang Allah sangat kasih kepada kita. Cuma kita sebagai hambaNya tidak pernah hendak bersabar dalam menghadapi ujianNya. Pasti Allah telah aturkan yang terbaik buat kita kerana setiap yang berlaku ada hikmahnya.

Alihkan pandangan matamu ke arah LAUT, airnya cantik membiru dan penuh dengan ketenangan. Tetapi hanya Allah sahaja yang mengetahui rahsia di dalamnya. Begitu juga dengan kehidupan manusia, riang dan ketawa tetapi hanya Allah yang mengetahui rahsia kehidupannya. Jika rasa kecewa, alihkan pandanganmu ke arah SUNGAI, airnya tetap mengalir biarpun berjuta batu yang menghalangnya. Dan jika rasa sedih,alihkan pandanganmu ke arah LANGIT, sedarlah dan sentiasa ingatlah bahawa Allah sentiasa bersamamu.

Jadi seharusnya apa yang perlu kita lakukan? berdoalah kepada Allah, Allah lah tempat kembali segala masalah yang sering membelenggu diri kita. Jangan malu untuk merayu-rayu, meminta-minta, memohon-mohon kepada Allah swt.Selalu diingatkan yang Allah tidak pernah jemu mendengar rintihan hambaNya, Allah itu Maha Mendengar.

Dekatkanlah diri kita dengan pencipta kita yang menguasai seluruh alam, yang memegang hati-hati kita. Disamping berdoa perlulah kita berusaha menyelesaikan masalah yang dihadapi. Mungkin ada yang rasa diri mereka tidak kuat hendak hadapinya tetapi cubalah bangun! Usah tewas dengan hasutan syaitan, cari kembali kekuatan kita kerana kekuatan itu ada dalam diri kita masing-masing. Yakin dengan diri, kuatkan azam dan cita-cita. Usah tonjolkan kelemahan kita pada syaitan kerana syaitan tidak pernah berhenti menghasut agar kita lemah-selemahnya.

Jika rasa tidak kuat, carilah sahabat-sahabat yang sentiasa memberi kata-kata semangat kepada kita dan bukan sahabat yang menjatuhkan kita. Itulah pentingnya sahabat kerana kita tidak mungkin bisa hidup berseorangan.

Kita perlu tahu selepas ujian itu selesai, satu lagi ujian akan datang, maka bersedialah dalam menghadapi ujian yang seterusnya. Untung bagi mereka yang selalu diberi ujian tanda Allah swt sayang padanya. Semoga kita sentiasa menjadi hambaNya yang sentiasa redha atas ujian dan ketentuan Allah swt. Apa yang ditetapkan untuk kita itulah yang terbaik!

Hati Adalah Radar Yang Ajaib

mindataqwa*
Editor: lailatulema

Pernahkah anda rasa berdebar-debar, gelisah, tidak tenteram, tidak sedap hati dan sebagainya?
Semua fenomena itu sebenarnya adalah isyarat yang dipancarkan oleh hati seseorang bahawa ada sesuatu yang menjadi ancaman kepada diri manusia dan ianya dapat dikesan oleh hati.

Sabda Rasullulah s.a.w: 'Sesungguhnya di dalam diri manusia itu ada seketul daging. Jika daging itu baik, maka baiklah seluruh anggota badannya. Tetapi seandainya daging itu rosak dan kotor, maka kotor dan rosaklah seluruh anggota badannya. Dan daging yang dimaksudkan adalah hati.'

Hati adalah ibarat raja bagi tubuh badan manusia. Di sinilah tersimpan tenaga yang hebat seperti pemikiran dan tenaga emosi. Jika hati seseorang itu diisi dengan sifat mahmudah(baik) maka hebatlah seluruh anggota badannya dan akan melahirkan seseorang yang berakhlak mulia. Jika hati telah dikotori dengan sifat mazmumah(keji) maka rosaklah peribadi dan akhlak seseorang itu.

Hati adalah radar yang hebat untuk mengesan perbuatan manusia, sama ada mengesan perkara yang baik atau buruk. Apabila kita melakukan perbuatan yang berdosa, kita akan mudah untuk rasa berdebar-debar dan cemas.Seterusnya ia akan menyebabkan kita rasa gelisah dan tertekan.

Isyarat ini sebenarnya bertujuan untuk menyuruh supaya seseorang untuk kembali pada Allah. Apabila kita memohon keampunan dan bertaubat maka hati kita akan kembali tenang.Hati yang berpenyakit dari segi batin perlu dirawat seberapa segera kerana ianya bukan sahaja memberikan kemudaratan pada ketenteraman jiwa malah boleh menyebabkan penyakit pada anggota badan.

Bagaimana hati mendapat tenaga dan kekuatan?

Makanan hati adalah taqwa kepada Allah.Zikir, membaca Al-Quran, menuntut ilmu agama, memberi zakat, bersedekah dan berbaik sangka adalah makanan hati yang enak dan lazat. Jika hati tidak diberi makan, maka seseorang itu akan menghidap penyakit batin dan zahir.Dengan cara memberikan makanan pada hati,barulah seseorang berhak untuk memperolehi kebahagiaan.

Apakah cara untuk merawat hati yang berpenyakit dan menghidupkan hati yang mati?

Caranya ialah dengan bertaubat.Meminta keampunan, mengingati kematian dan sentiasa melakukan amal kebajikan.Ini akan memulihkan dan menghidupkan semula hati.

Hanya dengan mengingati Allah seperti dalam firman Allah;

'(yaitu) orang-orang yang beriman dan hati mereka menjadi tenteram dengan mengingat Allah. Ingatlah, hanya dengan mengingati Allah-lah hati menjadi tenteram.' (Ar-Ra'd :28)

Apabila hati kita mendustakan ayat-ayat Allah maka termasuklah kita dalam kategori hati yang berpenyakit sepertimana firmanNya;

'Dalam hati mereka ada penyakit, lalu ditambah Allah penyakitnya; dan bagi mereka siksa yang pedih, disebabkan mereka berdusta.' (Al-Baqarah:10)

Oleh itu,apabila hati kita mengesan sesuatu yang tidak menyenangkan maka marilah kita segera kembali kepada Allah sebelum hati kita menjadi keras.Ingatlah pesananNya yang bermaksud:

'Belumkah datang waktunya bagi orang-orang yang beriman, untuk tunduk hati mereka mengingat Allah dan kepada kebenaran yang telah turun (kepada mereka), dan janganlah mereka seperti orang-orang yang sebelumnya telah diturunkan Al Kitab kepadanya, kemudian berlalulah masa yang panjang atas mereka lalu hati mereka menjadi keras. Dan kebanyakan di antara mereka adalah orang-orang yang fasik.'(Al-Hadid:16)

Arak berleluasa di Kedah, pimpinan negeri digesa prihatin

Saya merupakan penyokong Umno yang mengundi PAS pada pilihan raya umum 2008 atas sebab yang satu - kecewa dengan masalah sosial di kalangan masyarakat Islam yang majoritinya berbangsa Melayu.

Dengan mengundi PAS, saya harapkan masalah sosial seperti meminum arak, berjudi, penzinaan dan sebagainya akan dapat dibanteras di Negeri Kedah.

Walaupun tidak berjaya 100% cukuplah sekadar 80%. Itu dikira cukup baik berbanding semasa era pemerintahan Umno yang seolah memandang sepi masalah ini.

Harapan kepada parti Islam ini cukup besar.Walau bagaimanapun, kekecewaan diri masih sama seperti dulu. Arak masih dijual secara terbuka terutama di premis-premis 24 jam.

Keadaan di pulau peranginan Langkawi bertambah kritikal dengan muda-mudi Melayu Islam di bawah umur pun ada yang sudah meminum arak. Kesan akibat meminum arak ini pasti telah semua maklum.

Saya mencabar para barisan pimpinan PAS negeri Kedah supaya menyamar dan memasuki kelab-kelab malam, dangdut, dan disko yang terdapat di Langkawi. Sila saksikan sendiri apa yang anak-anak Melayu Islam ini lakukan.

Jika pemimpin Umno dulu tidak melakukan perkara seperti ini, sila pemimpin PAS membuka jalan untuk memulakannya.

Jangan pula nanti para pemimpin ini memberi alasan yang negeri lain pun mempunyai masalah yang sama. Mungkin masalah ini sama tapi pendekatan penguatkuasaannya pasti berbeza.

Saya percaya negeri Kedah yang diperintah oleh PAS pasti lebih agresif dalam isu 'amal makruf nahi mungkar'.

Harapan saya adalah supaya para pemimpin parti Islam ini tidak abaikan amanah para pengundi yang mengundi PAS pada pilihan raya umum yang lalu.

Muhasabah diri dalam kepimpinan

Oleh DR. SAODAH ABD. RAHMAN

KEPIMPINAN dan pentadbiran adalah amanah Allah yang paling berat untuk dipikul. Setiap tindakan para pemimpin dan pentadbir akan dipersoalkan di hari akhirat kelak.Kejayaan kepimpinan mereka akan memberi kesan paling baik dalam struktur sosial, ekonomi dan politik.

Kegagalan pula boleh menyebabkan umat Islam menghadapi krisis kemiskinan, pergolakan politik dan kekacauan dalam negara. Tetapi inilah fenomena yang wujud dalam dunia Islam masa kini.


Berdasarkan suasana ini, para pemimpin dan pentadbir di negara-negara Islam amat perlu bermuhasabah dan memikirkan kelemahan serta kesilapan mereka dalam urusan pentadbiran dan kepimpinan.

Faktor-faktor yang menyebabkan kepincangan dan rasa tidak puas hati rakyat terhadap kepimpinan dan pentadbiran negara perlu dianalisis secara teliti dan ikhlas supaya kesilapan yang sama tidak berulang. Antaranya ialah:

Pertama, sesetengah pemimpin utama kurang teliti sewaktu melantik barisan orang kanan untuk membantunya memimpin negara.

Pelantikan sebegini boleh melemahkan sistem pemerintahan. Keadaan itu jika berterusan akan menimbulkan kemarahan rakyat dan menyebabkan kerajaan goyang dan akhirnya runtuh.

Kedua, sikap pucuk pimpinan yang mempertahankan orang-orang di sekelilingnya walaupun mereka ternyata telah melakukan kesalahan.

Sikap ini bukan sahaja bertentangan dengan perspektif Islam tetapi bakal menjurus kepada kehancuran kerajaan.

Dalam sistem kepimpinan Islam, keadilan dan kejujuran merupakan asas utama bagi pelantikan pemimpin dan pentadbir. Negara bukan milik individu atau kelompok tertentu yang boleh bebas bertindak sesuka hati tetapi hak keseluruhan rakyat.

Rasulullah SAW dan para sahabat Baginda tidak pernah menunjukkan sikap tolak ansur terhadap mana-mana pemimpin dan pentadbir di bawah mereka yang tidak amanah melaksanakan tugas.

Para pemimpin, baik di peringkat mana pun, perlu sedar mereka sentiasa menjadi perhatian rakyat. Mereka akan diadili di dunia dan begitu juga ketika menghadap Allah di akhirat kelak.

Faktor ketiga yang menyebabkan banyak negara Islam ketika ini menjadi lemah dan tidak stabil ialah sikap pucuk pimpinan yang mengenepikan kepentingan rakyat. Pemimpin sebegini biasanya tidak telus dan tidak ikhlas melaksanakan dasar dan perancangan untuk pembangunan negara.

Faktor keempat yang menyebabkan kemarahan rakyat ialah pemimpin yang enggan menerima kritikan. Sikap angkuh dan bongkak itu akhirnya akan memakan diri.

Apabila kebencian terhadap pemimpin tersebut tidak dapat dibendong maka masyarakat menunding jari kepada pucuk pimpinan negara dan menunjukkan sikap penentangan terhadapnya. Suasana begini merupakan lumrah dalam dunia Islam masa kini.

Berdasarkan kepada faktor-faktor tersebut, para pemimpin seharusnya sentiasa bermuhasabah. Mereka perlu sentiasa memandang ke belakang dan menilai semula kepimpinan mereka.

PENULIS ialah Pensyarah Kanan, Jabatan Usuluddin dan Perbandingan Agama,

Universiti Islam Antarabangsa Malaysia

Ayoyo... Samy Baru Tau Ker UMNO Memang Hina Agama? Agama ISLAM Pun UMNO Hina Jugak!










Presiden MIC, Datuk Seri S Samy Vellu mengecam tindakan sekumpulan penduduk Seksyen 23 Shah Alam dengan beberapa NGO Melayu mengarak kepala lembu ke bangunan Setiausaha Kerajaan Selangor sebagai membantah idea membina kuil baru Hindu.

Katanya, lembu merupakan binatang suci kepada penganut Hindu, dan tindakan kumpulan tersebut tidak boleh diterima dan dianggap mencabar kebebasan beragama yang dijamin dalam Perlembagaan Persekutuan.

"Ia menjadi hak rakyat pelbagai agama, termasuk penganut Hindu untuk membina kuil dan tempat-tempat ibadat.

"Saya amat sedih kerana kumpulan ini telah mengarak kepala lembu ke bangunan Setiausaha Kerajaan Negeri (Selangor)," katanya dalam satu kenyataan.

Menurutnya, tiada sesiapa pun yang harus dibenarkan untuk mencabar atau mempersendakan sebarang agama di negara ini.

Beliau bimbang tindakan tersebut boleh mengundang tindak balas dari masyarakat Hindu.

"Bagaimanapun, saya menggesa penganut Hindu khususnya supaya bertenang dan menyerahkan kepada pihak berkuasa untuk mengambil tindakan," tambahnya.

Samy Vellu berkata, MIC mahu kerajaan dan pihak polis mengambil tindakan terhadap penganjur protes tersebut.

Katanya, mereka mesti dikenakan tindakan mengikut undang-undang kerana membahayakan keharmonian kaum di negara ini./Malaysiakini


mesti mamat samy ni menyesal! kahkahkahkahkahkah.. nak dok dalam BN lagi ker TAmby?

Sajak Aminah Qutb Buat Bakal Suami

Sekiranya
kita cinta kepada manusia
tidak semestinya manusia cinta kepada kita
Tetapi sekiranya
kita cinta kepada Allah
nescaya cinta Allah tiada penghujungnya
Sekiranya
kita cinta kepada manusia
kita akan cemburu kepada orang yang
mencintai orang yang kita cintai
Tetapi sekiranya
kita cinta kepada Allah
kita akan turut mencintai orang yang
melabuhkan cintanya kepada Allah juga
Ya Allah
andainya dia adalah jodoh
yang ditetapkan oleh-Mu kepadaku
Maka
campakkanlah ke dalam hatiku
cinta kepadanya adalah kerana-Mu
dan campakkanlah ke dalam hatinya
cinta kepadaku adalah kerana-Mu jua
Namun
andainya dia bukanlah jodoh yang
ditetapkan olehMu kepadaku
berikanlah aku kekuatan
agar pasrah
dalam mengharungi ujian
yang Dikau berikan kepadaku..

~ dari buku ‘Pemilik Cintaku Setelah Allah dan Rasul’ – Fatimah Syarha

GENERASI JIWA MERDEKA



Mukadimah

“Belia Peneraju Kemerdekaan Gemilang” merupakan tema bagi Sambutan Hari Belia Peringkat Kebangsaan 2007. Sempena kemerdekaan Malaysia ke-50, tema ini dipilih bersesuaian dengan manifesto bagi memartabatkan peranan generasi muda dalam menghayati makna kemerdekaan yang sebenar dan hakiki. Sebagai golongan pelapis, mereka sewajarnya menjadi sandaran untuk mempertahankan kemerdekaan negara kita yang sudah berusia setengah abad ini agar Malaysia terus kekal gemilang dengan sistem pemerintahan bercorak demokrasi berparlimen dan mengamalkan prinsip-prinsip Islam. Martabat dan maruah bangsa perlu terus dipelihara dan dipertahankan demi kedaulatan agama, bangsa, dan negara. Generasi muda merupakan pewaris yang bakal membawa risalah kebenaran dan keadilan untuk kesejahteraan ummah bersama. Generasi ini harus memahami makna kemerdekaan sebenar agar mereka dapat memperkukuh dan memperkembangkan potensi diri supaya menjadi generasi unggul yang dapat memanfaatkan segala kurniaan Tuhan seterusnya mencapai kebahagiaan di dunia mahupun di akhirat. Makna kemerdekaan dan kebebasan yang hakiki dapat dizahirkan apabila seseorang itu mampu membebaskan dirinya daripada segala perkara yang membawa kepada keburukan seterusnya berpotensi mengancam kehidupannya. Maka generasi yang berjiwa merdeka ini seharusnya tidak mudah dipujuk rayu, termakan akan janji palsu, dan tidak mudah untuk menggadaikan jiwa semata-mata untuk dimamah oleh hawa nafsu mereka yang berupaya membawa kepada kemudaratan.

Analisis Isu

Ancaman globalisasi memaksa kita agar lebih berdaya saing dan kompeten dalam menghadapi kemelut dunia yang penuh dengan dugaan dan cabarannya tersendiri. Jika kita tenggelam dalam arus globalisasi ini, tidak mustahil kita akan terus hanyut dengan suasana yang “comfortable” dan “convenience” sehingga meletakkan kita dalam zon selesa dan menjadikan kita bersikap manja atau “spoon feeder”, seolah-olah sesuatu itu akan diperoleh tanpa usaha untuk mendapatkannya. Dewasa ini, sikap pelajar yang malas dan terlalu mengharapkan pertolongan daripada guru mereka sudah begitu sinonim dalam proses pembelajaran. Mereka mengharapkan guru untuk menjadi penggerak utama untuk membantu mereka mencari jawapan bagi sesuatu persoalan padahal mereka seharusnya melakukannya sendiri. Status pelajar itu sendiri sudah memperlihatkan keperluan untuk mempelajari dan menyelidiki sesuatu dengan hasil usaha mereka tanpa paksaan daripada mana-mana pihak kecuali diri mereka sendiri. Situasi ini bakal mengundang kelahiran generasi yang tidak mahu berfikir dan malas untuk berusaha. Generasi sebegini bakal mengkhianati jiwa mereka sendiri kerana mereka hanya mahu mendapatkan sesuatu dengan cara yang mudah dan singkat. Budaya mengambil remeh soal jiwa dalam kehidupan menjadikan seseorang itu tidak dapat menghayati makna sebenar kehidupan. Akibatnya, seseorang itu menjadi tidak terurus, malas berusaha, tidak berupaya berfikir secara kritis, dan tidak membudayakan ilmu yang dipelajari dalam kehidupan. Imperialisme dan kolonialisme yang berlaku telah menghasilkan generasi yang bersifat “Inferiority Complex” yang terlalu merendah diri dan sanggup menjadi hamba kepada orang lain lalu akhirnya memberi kesan negatif kepada jiwa dan intelektualiti. Ancaman hedonisme yang merupakan komponen dalam globalisasi telah membenarkan berlakunya pertukaran budaya secara meluas tanpa sekatan dan perkara ini sedikit sebanyak memberi kesan negatif jika tiadanya kawalan dan pemantauan. Budaya mencari keseronokan dan memuaskan hati dengan perkara-perkara yang tidak berfaedah seakan sudah menjadi ikutan masa kini yang berupaya membunuh jiwa dan intelektualiti generasi muda lalu menjadikan generasi ini lesu untuk menongkah arus globalisasi. Persediaan dari segi intelektual, rohani, dan jasmani yang teratur lagi sistematik mampu memberi kelebihan untuk menjana minda generasi berjiwa merdeka.


Generasi Jiwa Merdeka Menurut Pandangan Alam Islam

Dalam Kamus Dewan Edisi Ketiga, makna merdeka boleh didefinisikan sebagai satu pembebasan daripada penjajahan, kurungan, naungan dan lain-lain, lepas dari tuntutan dan tebusan dan boleh berdikari (berdiri sendiri). Makna kemerdekaan ini merangkumi kebebasan secara fizikal yang mendorong seseorang untuk bebas daripada sebarang ancaman yang boleh mengugat ketenteraman yang dikecapi. Berbeza dengan definisi dan pandangan Dr. Muhammad ‘Imarah dalam bukunya al-`ata` al-hadhari li`l Islam (Anugerah Islam Untuk Ketamadunan) yang menterjemahkan kemerdekaan atau kebebasan sebagai penentangan terhadap wujudnya perhambaan dan hamba sahaya. Belia juga mentafsirkan kebebasan sebagai peluang yang telah disediakan untuk diisikan dan dimanfaatkan ataupun cuma dibiarkan saja peluang itu berlalu.
Beliau juga mendefinisikan kebebasan sebagai bebas dari cengkaman kebendaan dan undang-undang yang mengongkong serta bebas daripada kongkongan sifat-sifat keji dan hawa nafsu yang tidak terkawal yang dapat menyebarkan penyakit syahwat dunia. Rasulullah S.A.W telah bersabda: “Binasalah hamba yang menyembah dirham dan binasalah hamba yang menyembah dinar”. (Hadis diriwayatkan oleh al-Bukhari dan Ibn Majah). Seorang penyair arab turut mengatakan: “Tuan yang empunya ketamakan adalah hamba selama-lamanya”.Dr. Muhammad ‘Imarah juga mengatakan bahawa risalah Islam membawa makna kebebasan dengan mengembangkan, meningkatkan dan memperkukuhkan potensi diri untuk menjadi ummat yang terbaik dan tidak membiarkan dirinya menjadi hamba kepada segala taghut dan dilaksanakan dengan penuh keikhlasan kepada Allah S.W.T dan mengharapkan redha Ilahi. Firman Allah S.W.T: “Kamu (Wahai umat Muhammad) adalah sebaik-baik umat yang dilahirkan bagi (faedah) umat manusia, (kerana) kamu menyeru kepada berbuat segala perkara yang maaruf (baik) dan melarang daripada segala perkara yang mungkar (salah, buruk dan keji), serta kamu pula beriman kepada Allah (dengan sebenar-benar iman)” (Surah ‘Ali-Imran:110).

Tauhid iaitu kepercayaan dan ilmu tentang Tuhan adalah punca utama lahirnya jiwa merdeka yang merangkumi kepercayaannya terhadap kewujudan TuhanNya lalu dia beriman kepadaNya dan meninggalkan segala laranganNya dan melakukan segala suruhanNya serta menolak pengabdian kepada sesiapa selain Allah. Begitu penjelasan Dato’ Dr. Siddiq Fadhil dalam bukunya Minda Melayu Baru yang membawa idea pembangunan jiwa merdeka dengan pengukuhan indokrinasi tauhid yang bakal menghasilkan generasi berkualiti unggul yang dapat memberi manfaat kepada persekitarannya. Generasi yang berkualiti ini diumpamakan sebagai buih yang tidak akan luput dimamah arus lautan yang mampu bertahan merentasi badai lautan dan taufan. Firman Allah S.W.T: “Adapun buih itu, akan hilang sebagai suatu yang tidak ada harganya; adapun yang memberi manfaat kepada manusia, maka ia tetap di bumi. Maka demikianlah Allah membuat perumpamaan-perumpamaan” (Surah Ar-Ra’d:17).

Generasi yang berjiwa merdeka adalah generasi yang sensitif dengan maruah dan martabatnya dan mereka sanggup berkorban demi menjaga maruah dan martabat mereka. Mereka menyedari dan memahami betapa bernilai dan berharganya maruah dan martabat mereka dan mereka tidak sanggup melihat generasinya dihina, dipijak, dijajah, diremehkan dan diperlekehkan. Inilah yang dikatakan dengan generasi jiwa merdeka yang menjaga dan mempertahankan maruah dan martabat mereka. Generasi ini juga kaya dengan daya usaha dan berjiwa besar dalam mencapai matlamat yang telah dicita-citakan demi menjaga maruah dan martabat mereka.

Bagi Imam Al-Ghazali pula dalam karyanya Kimia Kebahagiaan, seorang yang berjiwa merdeka adalah mereka yang mengetahui dirinya, Tuhannya, dunianya dan tahu tentang hari akhirat. Apabila seseorang itu mengetahui tentang dirinya sendiri, maka secara sedar atau tidak sedar dia telah pun mengenal Tuhannya yang Maha Menciptakan. Maka bila dia sudah mengenali dirinya dan Tuhanya, dia sedar akan tujuannya hidup di muka bumi dan dia tahu apa yang harus dicapainya untuk mendapatkan kebahagiaan di dunia mahupun di akhirat. Inilah yang dikatakan jiwa merdeka apabila dia mengetahui matlamat hidupnya sebagai hamba Allah dan sebagai Khalifah di muka bumi Allah ini. Firman Allah S.W.T: “Dan (ingatlah) Aku tidak menciptakan jin dan manusia melainkan untuk mereka menyembah dan beribadat kepadaKu” (Surah Az-Dzaariyaat:56). Maka jelas bahawa tugas manusia di bumi Allah ini adalah untuk memakmurkan bumi dan menjalankan segala muamalat dan urusan dunia dengan pengharapan untuk mendapat keredaan Ilahi. Bila semua unsur ini (pengetahuan tentang diri, Tuhan, dunia dan Akhirat) berpadu, ia akan menghasilkan satu kebahagiaan yang tidak ternilai harganya yang menjadikan jiwa seseorang itu merdeka dan bebas dari unsur kejahatan yang cuba menguasai diri demi mencapai kenikmatan duniawi semata-mata tanpa memikirkan kenikmatan ukhrawi.

Konklusi Dan Agenda Pengisian Jiwa Merdeka

Generasi kini harus lebih berdaya saing dan berfikiran jauh dalam menghadapi cabaran dunia yang dengan kemelut. Generasi ini haruslah berjihad (berusaha dengan bersungguh-sungguh) dalam mencapai satu matlamat dan bukannya melakukan sesuatu sekadar melepaskan batuk di tangga. Mereka ini bakal mengundang hasil yang produktif dalam diri mereka sekaligus menyumbang kepada pembangunan negara. Generasi ini juga mempunyai semangat juang yang tinggi yang tidak mudah putus asa dan sentiasa berfikiran positif dalam melaksanakan sesuatu tugas kerana niat mereka adalah untuk mencari keredhaan Ilahi dan ikhlas kepada Allah S.W.T. Generasi yang berjiwa merdeka harus ini bebas berfikir berlandaskan syariat, Al-Quran dan As-Sunnah dalam melontarkan pandangan demi kebaikan bersama. Budaya tegur menegur dan nasihat menasihati menjadi pokok asas membincangkan masalah bersama yang secara tidak langsung dapat mengeratkan ukhuwwah fillah diantara masyarakat dan membina perpaduan dan toleransi yang dapat memerdekakan jiwa daripada persengketaan. Budaya ilmu juga seharusnya menjadi tunjang dalam kehidupan generasi berjiwa merdeka yang mengangkat dan memartabatkan ilmu pengetahuan bagi membangunkan intelektualiti dan pemikiran generasi agar menjadi masyarakat yang bertamadun tinggi. Nilai-nilai keagamaan dan moral harus diterapkan dalam sistem pendidikan agar generasi yang bakal mewarisi kepimpinan negara dapat menghayati makna kehidupan sebenar yang berlandaskan kepada agama yang dapat membina intelektualiti dan spiritual mereka. Generasi berjiwa merdeka juga dapat mengawal nafsu mereka daripada dikuasai oleh nafsu mereka sendiri yang didorong oleh syaitan dan mereka juga memelihara kesucian hati (qalb) mereka daripada melakukan perkara yang boleh mengongkong dan membunuh jiwa nurani mereka. Generasi ini juga membawa risalah kebenaran dengan menyeru kepada perkara maaruf yang mendatangkan manfaat kepada umat dan mencegah perkara mungkar yang boleh merosakkan jiwa ruhaniyyah mereka. Mereka juga mengukuhkan ruhaniyyah mereka dengan melakukan segala suruhanNya dengan penuh tulus ikhlas kepada Allah S.W.T dan mereka ini sentiasa mengisi jiwa mereka dengan tadabbur, ta’aqul dan takaffur menghayati kebesaran sifat Allah dan mereka ini menghayati makna sebenar kehidupan di dunia bahkan di akhirat yang memerdekakan jiwa mereka daripada dorongan nafsu duniawi yang hanya cuma bersifat sementara. Inilah budaya yang harus diisi oleh generasi kini untuk menjadi generasi yang berjiwa merdeka. Apabila seseorang itu sentiasa menuruti nafsu syahwatnya demi mencapai kehendaknya semata-mata, maka seseorang itu masih belum dikatakan merdeka kerana dirinya sentiasa terbelenggu dengan dosa-dosa dan menjadi hamba kepada nafsunya sendiri dan dia memperhambakan dan memperdagangkan dirinya kepada syaitan.

Semasa

Hiburan

Sukan

 

© Copyright Kerabu Bersuara 2007 -2013 | Design by Kerabu Bersuara | Published by Kerabu Bersuara Group | Powered by Blogger.com.