Apa pula kos sepuluh ringgit ini, Kementerian Pertahanan?

Rancangan Malaysia Ke-10 (RMK10) ialah dokumen yang setebal 449 mukasurat dibentangkan baru-baru ini yang merangkumi pembangunan semua sektor negara, termasuk keselamatan. Akan tetapi apa yang menghairankan, ianya tidak langsung menyentuh perbelanjaan bagi pembangunan dan keupayaan pertahanan.

Berdasarkan maklumat am yang dikeluarkan, umum mengetahui bahawa sektor keselamatan diberikan 10% dari RM230 bilion peruntukan rancangan pembangunan lima tahun tersebut.

Aku mengambil masa yang agak panjang untuk meneliti ucapan Perdana Menteri Jun lalu demi mencari butiran daripada jumlah tersebut, berapakah peruntukan dalam bidang pertahanan dan juga pecahan peruntukan kepada polis, Agensi Penguatkuasa Maritim dan angkatan tentera?

Terkejut aku pada 22 Julai apabila Timbalan Menteri Pertahanan Abdul Latiff Ahmad memberitahu Dewan Negara bahawa perkara berkenaan masih dalam pertimbangan Unit Perancang Ekonomi. Adakah Kementerian Pertahanan mengambil masa bulan madu (sebut: ‘own sweet time’) mereka dalam merekodkan peruntukan bagi perbelanjaan lima tahun?

Banyak perkara yang meragukan berlaku di dalam pentadbiran Kementerian Pertahanan ini.

Sebagai seorang rakyat Malaysia dan pembayar cukai, aku berminat untuk mengetahui saluran mana yang digunakan wang aku dari aspek pertahanan, terutama mengenai senarai perolehan kelengkapan yang sedang dan siap dilaksanakan serta untuk lima tahun depan.

Kita bukannya menuntut diberitahu tentang spesifikasi atau atur gerak angkatan tentera tetapi bukankan rakyat Malaysia juga berhak untuk mengetahui latar belakang pembelian dan pembangunan kelengkapan?

Maklumat rahsia

Maklumat mengenai pembelian Vera-E Radar Pasif dan Omnipol, Republik Czech, misalnya, pernah dicatatkan dalam Laporan Tahunan Kementerian Pertahanan 2007 dan 2008. Laporan tersebut telah menyatakan projek timbal balas Vera-E sedang dipantau oleh kementerian.

Ya, memang benar perolehan daripada projek yang berjumlah €17.6 juta (RM70 juta) ini digunakan untuk memenuhi keperluan pengawasan ruang angkasa negara secara berlapis. Tetapi, apakah kesudahannya?

Pada Julai 2007, Timbalan Menteri Pertahanan sendiri mengumumkan pembelian cruise missile di Dewan Rakyat. Tetapi, sejak dari itu, ianya terus senyap dari sebarang pengumuman dalam mengemaskini. Apabila Timbalan Menteri sekarang diminta sekali lagi bagi menjelaskannya, ia telah menjadi maklumat rahsia.

Apakah yang berlaku? Ia sepatutnya tidak tertakluk kepada Akta Rahsia Rasmi 1972( OSA) sekiranya ianya pernah dimaklumkan, terutamanya apabila ia menjadi sebahagian daripada ucapan Kementerian di dalam Parlimen. Dan ia sekarang menjadi rahsia?

Kejadian yang sama juga berlaku apabila pada 31 Ogos 2007, sewaktu perarakan sambutan Hari Kemerdekaan, Kementerian Pertahanan telah – dengan bangganya – menayangkan peluru berpandu Taming Sari XK98 kepada khalayak ramai.

Namun, menurut Abdul Latiff, Projek Penyelidikan dan Pembangunan Peluru Berpandu telah sekarang ini diklasifikasikan di bawah OSA. Oleh yang demikian, segala maklumat berkenaan projek ini tidak boleh diumumkan. Jadi, mengapakah ianya dulu dibawa sebagai sebahagian daripada perarakan Hari Merdeka?

Pembelian ketenteraan adalah sebahagian daripada peruntukan awam dan perlu mendapat persetujuan Parlimen. Oleh itu, munasabah dan berpatutan untuk Ahli Parlimen membincangkan dan mengetahui latar belakang pembelian kelengkapan ketenteraan yang mahal ini.

Kos pertahanan negara perlulah dipantau bagi mengelakkan sebarang penyelewengan selaras dengan prinsip-prinsip urustadbir baik ataupun ‘good governance’ dan meningkatkan lagi ketelusan kerajaan.

Dibuat secara rawak

Kerajaan mengumumkan pada April 20 tatkala Defence Services Asia 2010 yang ia akan membelanjakan RM8 bilion merangkumi RM400 juta bagi membangunkan kemudahan DefTech di Pekan. Ianya berupa kos penyelidikan R&D, integrasi, dan ujian. Namun angka tersebut tidaklah munasabah dan terlalu tinggi, di mana ini adalah perolehan terbesar dalam sejarah Malaysia.

Jumlah tersebut dikatakan untuk memperoleh 250 buah kereta perisai dan pembawa anggota (‘armoured-wheeled vehicle’) AV8 dari syarikat DRB-Hicom Defense Technology Sdn Bhd (DefTech) dan FNSS supaya menggantikan semua kereta Condor dan Sibmas yang sudah usang.

Ini bermaksud secara amnya setiap AV8 berkos RM31 juta. Mengikut kajian purata kosnya ialah USD2 juta atau USD3 juta, atau dalam ringgit ialah RM10 juta lebih. Persoalannya, mengapakah kereta perisai AV8 kita ini mahal, hampir dua kali ganda dari kosnya kalau berbanding luar negeri?

Pihak kementerian juga tidak menjelaskan bagaimana RM8 bilion ini digunakan dalam pecahan kos R&D, ujian integrasi pembangunan infrastruktur, kos pembelian, harta intelek FNSS dan unit kos.

Mengapakah perolehan ini adalah melalui ‘direct negotiation’? Mengapa bukan secara tender terbuka memandangkan ia menelan belanja wang yang begitu tinggi, manakala anggaran perbelanjaan mengurus 2010 telah menunjukkan penurunan dalam bidang latihan, logistik, operasi dan pengurusan?

Benar sangkaan aku bahawa secara praktis, Malaysia memang tidak mengamalkan tender terbuka tetapi menyerahkannya kepada DefTech melalui surat niat (‘letter of intent’). Adakah cara ini benar-benar memberi kebebasan kepada sebuah pihak untuk meletakkan harga?

Satu lagi, yang aku ingin berkongsi maklumat dengan orangramai (selepas aku meneliti anggaran perbelanjaan pembangunan). Dicatatkan di dalam Bajet 2010 bahawa yuran RM10 dikenakan untuk tiga perkhidmatan. Aku mula terfikir-fikir apakah yang dibeli dengan peruntukan sepuluh ringgit di dalam sebuah kementerian yang begitu penting, yakni pertahanan negara.

Walaupun kurang masuk akal, apabila dikaji, RM10 ini sebenarnya adalah merupakan nilai untuk mewujud dan menandakan projek berkenaan. Akan tetapi, di dalam pelaksanaan projek tersebut, tambahan peruntukan boleh dilakukan dengan memindahkan peruntukan daripada peruntukan yang lain.

[Sumber]

No comments

Powered by Blogger.