Budaya Fitnah Dalam Umno Sampai Tahap Maksima

Oleh Rusnizam Mahat

SHAH ALAM 17 Ogos - Budaya fitnah yang menjadi senjata politik dalam Umno telah sampai ke tahap paling maksima yang menyaksikan parti itu akan menggunakan apa sahaja cara untuk memastikan mereka terus kekal berkuasa.

Pengerusi Biro Pemahaman dan Pemantapan Agama KEADILAN, Dr Muhammad Nur Manuty berkata, beliau menyifatkan budaya politik dalam Umno menggunapakai prinsip politik Machiaveli meskipun terpaksa menggunakan pendekatan tidak beretika dan bermoral.

"Umno memang sebagai sebuah parti yang tak menghayati prinsip syariah dan akhlak. Mereka betul-betul mewakili prinsip Machiaveli. Itu memang merupakan permainan mereka dan telah sebati dalam perjuangan Umno.

"Itulah sebabnya kita sendiri merasa terkejut, setelah rakyat dengan tegas menolak pusingan pertama dalam tuduhan terhadap Datuk Seri Anwar Ibrahim, sekarang pusingan kedua pula dibuat.

"Ini menunjukkan Umno itu adalah Machiaveli, mereka tidak sama sekali memperhitungkan persoalan moral yang bukan sahaja dalam Islam tetapi disebut agama-agama yang lain yang memperjuangkan demokrasi," komen beliau kepada Suara Keadilan.

Menurut Dr Muhammad Nur, selepas tsunami politik pada Mac 2008 yang menyaksikan beberapa buah negeri di Semenanjung jatuh ke tangan Pakatan Rakyat, Umno kini semakin tertekan.

Berikutan itu, katanya, Umno-BN terpaksa menggunakan apa sahaja taktik termasuk memperalatkan agensi kerajaan bagi menjatuhkan kerajaan Pakatan Rakyat bagi mengelakkan fenomena 'tsunami 8 Mac' menular ke negeri-negeri lain pada pilihan raya umum akan datang.

"Ini amat merunsingkan pimpinan Umno-BN pada saat ini. Strategi pembantaian, untuk 'discredit' apa sahaja yang dilakukan kerajaan negeri, walaupun agensi kerajaan yang dinaungi oleh Umno seperti SPRM sudah menarik balik tuduhan (rasuah) terhadap Tan Sri Khalid Ibrahim.

"Jelas, ini membuktikan bahawa mereka akan pergi kepada maksimum untuk menggugat kepercayaan rakyat kepada kerajaan negeri Selangor dari segi pengurusan, termasuklah dalam isu pasir sedangkan isu pasir telah lama berlaku sejak Menteri Besar yang lalu," ujar beliau.

Ditanya mengenai tindakan Senator Ezam Mohd Nor yang cuba mengulangi tuduhan jahat memburukkan imej Ketua Umum KEADILAN, Datuk Seri Anwar Ibrahim serta Presiden KEADILAN, Datuk Seri Dr Wan Azizah Ismail, beliau berkata umum mengenali watak sebenar Ezam yang meninggalkan perjuangan kerana soal peribadi dan kini cuba menimbulkan keraguan dengan dakwaan yang tidak berasas.

"Sudah lama kita dengar percakapan untuk menggugat integriti Datuk Seri Anwar. Watak Ezam itu, orang tertentu memang mengenali sangatlah watak ini, dia (hanya) cuba untuk timbulkan keraguan (bagi memburukkan KEADILAN)," kata Dr Muhammad Nur.

Beliau yang mengenali Anwar sejak 1968 yakin dengan keperibadian Ketua Pembangkang dan menganggap tuduhan bekas Ketua Angkatan Muda KEADILAN itu hanya merupakan persepsi liar semata-mata.

"Saya yakin keutuhan moraliti Datuk Seri Anwar dan juga isterinya Datuk SeriDr Wan Azizah," tegas bekas Presiden Angkatan Belia Islam Malaysia (Abim) itu.

No comments

Powered by Blogger.