Dengan menuduh PAS 'boneka' DAP, Umno sangka dapat takutkan pengundi Melayu

Program "Sesi Cakap-Cakap Bersama Presiden PAS" telah membedah beberapa isu. Tuan Guru Abdul Hadi Awang mengakui Melayu sebagai teras politik negara. Namun, tahaluf siasi yang dilangsung cukup memberi impak kepada PAS selama ini. Tahaluf membezakan antara kerjasama PAS dalam Pakatan Rakyat dan Umno bersama BN. Begitu juga isu-isu pemerkasaan PAS di kawasan Melayu turut disentuh malah, beliau menolak pelawaan Umno untuk bersatu. PAS bukan ego tetapi berpegang teguh dengan prinsip Islam


Dengan tegas beliau juga menolak DAP sebagai boneka PAS seperti didakyah Umno-BN. Isu Dewan Himpunan Penyokong PAS juga diperjelaskan. Ikuti interbiu eksklusif ini bersama TARMIZI MOHD JAM, ZULKIFLY SULONG dan enam wartawan Harakah dan Harakahdaily; INTAN ABDULLAH, ROY RASUL, NYZA AYOB, SALMIYAH HARUN, ANIS NAZRI dan NAZRI ABDULLAH di Pejabat Editorial Harakah, baru-baru ini
Kerajaan Umno-BN nampaknya sudah mula bertindak ganas terhadap rakyat. Baru-baru ini ramai yang ditahan secara kasar semasa kempen anti ISA dijalankan di Petaling Jaya 1 Ogos. Diikuti layanan buruk polis terhadap Himpunan Warga Felcra Kebangsaan di Seberang Perak. Reaksi awal Dato' Seri?

DATO' SERI ABDUL HADI AWANG: Sebuah kerajaan yang teguh dan kuat, mempunyai kehebatan serta sifat berani untuk berhadapan dengan rakyat yang mempunyai hak, dengan cara terbuka. Inilah yang diajar oleh Islam sebagaimana Allah menurunkan Al-Asr, satu surah yang pendek bermaksud; "Berpesan-pesan yang benar dan berpesan-pesan dengan kesabaran." Di antara konsep yang diamalkan ialah keteguhan pemerintah yang diucapkan oleh Nabi Rasulullah SAW dalam nasihat. Sahabat bertanya Rasulullah untuk siapa? Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: "Nasihat itu bagi Allah, bagi Rasul dan kitab-Nya berpegang kepada prinsip Islam dan bagi pemimpin-pemimpin dan bagi orang awam." Itu menunjukkan keterbukaan nasihat yang dianjur Nabi Muhammad SAW dan apabila Khalifah Abu Bakar bersama ulama dipilih menjadi pemimpin dalam ucapan sulungnya mengatakan; "Saya dipilih untuk menjadi pemimpin kamu dan saya bukan orang yang terbaik di kalangan kamu. Sekiranya saya orang baik dan benar yakni betul, tolong saya. Sekiranya saya berada dalam keadaan yang tidak betul, lemah, perbetulkan saya. Benar adalah amanah, bohong adalah khianat." Dan ucapan itu diakhiri dengan doa, "selagi saya taati Allah dan Rasul. Sekiranya saya tidak menghormati Allah dan Rasul jangan taati kepada saya."

Maknanya asas tegur-menegur sudah digaris oleh para ulama terdahulu...

Iya. Konsep ini ditulis oleh ulama-ulama dalam politik Islam, dalam kitab-kitab fekah dan apabila barat mengadakan hubungan dengan Islam sama ada secara perdagangan, secara ilmu melalui penyelidikan termasuk secara penjajahan, mereka tidak menjajah bumi sahaja bahkan mereka menjajah, mengumpulkan hasil-hasil maklumat, kitab-kitab Islam. Dan ilmu yang dikumpul masih tersimpan di negara barat dan ini mempengaruhi demokrasi moden dan kita melihat bagaimana demokrasi moden yang diamal pemimpin barat dijadikan satu sistem yang melahirkan sebuah kerajaan yang kuat segar. Malah memberi ruang kepada rakyat untuk mengkritik. Dengan sebab itu mereka membenarkan rakyat mengkritik semua pihak. Dan membenarkan demonstrasi, cuma mereka kawal demokrasi supaya jangan melampau sehingga merosakkan harta awam.

Demokrasi Barat yang sebenar menghormati hak-hak rakyat?

Mereka hormati hak rakyat. Mereka membenarkan orang berhimpun, uahkan perasaan, memberi pendapat, mengkritik. Sekiranya kerajaan benar, pihak yang mengkritik itu salah, maka kerajaan mengambil peluang untuk menjawab. Dan ini lebih memberi kepercayaan rakyat kepada kerajaan dan melemahkan orang yang mengkritik itu. Sekiranya kerajaan silap dan dasar yang dibuat itu salah maka kerajaan bertindak membetulkan kesilapan yang dia buat. Di sini kita melihat bagaimana dunia barat mengambil daripada sistem pemerintahan Islam dari konsep ini dan mereka berjaya melahirkan negara yang hebat dan ke hadapan daripada negara umat Islam sendiri.

Mengapa orang Melayu, Umno-BN yang sudah lebih 53 tahun berkuasa tidak menghayati demokrasi sebenar itu? Rakyatnya sukar diubah...

Ini kerana mereka tidak membaca seperti di Barat, supaya menjadi orang yang berilmu. Sebab ilmu dan kefahaman sangat penting dalam membuat perubahan. Kita mendapat sokongan Islam dan bukan Islam. Pada 1999, kita lihat Melayu menyokong, dan bukan Melayu kurang sokong. Tapi kemudiannya kita lihat, Melayu kurang sokong, bukan Melayu pula sokong. Sebenarnya perubahan itu memerlukan satu sokongan kepada semua rakyat. Kita perlu sedar, sebagai negara demokrasi, yang pertamanya perlu ada masyarakat bermaklumat dan berilmu. Hindarkan kemiskinan melampau dengan keniakan harga barang. Di Malaysia tidak sampai lagi ada yang mati kerana lapar. Kerajaan bagi subsidi sekadar bernafas, sengaja buat begitu.
Masyarakat bermaklumat di negara barat, amat peka. Apabila berlaku sebarang isu babitkan kerajaan, apa sahaja isu kelemahan akan menyebabkan atau berakhirnya jatuh kerajaan itu. Media adalah saksi dalam mahkamah, rakyat pula menjadi hakim.

Perubahan politik tersekat kerana media dikongkong atau rakyat tiada maklumat?

Di negara kita, rakyat tidak dapat maklumat menyeluruh secara adil, media terkongkong walaupun ada jugak kebebasan. Harakah dua kali seminggu untuk ahli PAS sahaja (senyum), tv terhad. Kawasan bandar dan pinggir bandar ada berubah, luar bandar yang ada RTM, ceramah diganggu polis, yang atas pagar pun tidak berani datang, mereka tidak dapat maklumat sebenar. Ini keadaan yang kita hadapi. Namun kita fikir masyarakat tidak boleh ditipu selamanya. Kerajaan Umno-BN tidak kekal, yang kekal hanya kerajaan Allah. Kita bersabar dan Allah membuktikan kita boleh menang walaupun dalam keadaan ini. Dengan syarat cawangan PAS banyak dan aktif. PAS menang pun, di negeri cawangan-cawangannya yang aktif. Bukan sahaja sebelum pilihan raya, tetapi sejak dari awal aktif, seperti di Kelantan, Terengganu dan Kedah.
Dan Umno bergerak bukan atas parti tetapi 'tongkat' jentera kerajaan. Umno-BN bukan kuat sangat, dia parti bertongkat dan berfungsi dengan adanya tentera upahan. Dan diakui orang Umno sendiri mereka bergerak atas wang.

Dato' Seri tekankan soal memperbanyakkan cawangan parti...

Iya lah. Kelemahan PAS selama ini, tidak mampu menambah cawangan. Kalau dalam Pilihan Raya Kecil Bukit Gantang, Kuala Terengganu, kita boleh tawan tapi kalau PAS hanya ada cawangan dua tiga kerat sahaja, sudah tentu PAS tak boleh menang. Orang PAS perlu banyakkan cawangan.

Muktahir ini, isu PAS mengganti Umno cukup realistik sehingga timbul lamaran Umno untuk penyatuan yang disifatkan sesetengah pihak sebagai strategi memecah-belahkan PAS dan Pakatan Rakyat. Bagaimana Dato' Seri melihat perkembangan ini?

PAS mempunyai konsep yang konsisten untuk meneguhkan parti kita dan kita parti yang terbuka, bukan tertutup. PAS setia dengan kawan kita, dan beradab dengan lawan seperti Umno-BN. Islam mengajar ummatnya untuk tolong- menolong dalam perkara kebaikan dan ketaqwaan, dan bukannya tolong menolong dalam perkara mungkar. Sekiranya perkara baik dan taqwa seperti isu-isu bersama kekejaman Israel di Palestin, Bosnia, Afghanistan dan isu-isu kemanusiaan lain, PAS tak ada masalah untuk bekerjasama. Bukan sahaja PAS boleh baca sajak bersama, bukan sahaja PAS ada sumbangan, Umno juga. Ini kita akui. Di sini kita tidak boleh bertelingkah. Dalam perkara kebajikan, kita bersedia untuk memerangi jenayah, menghapuskan gejala sosial, kita boleh bersama. Tetapi kerjasama untuk memikul beban dengan masalah mereka (Umno) dengan penyakit yang memarakkan rakyat seperti rasuah, dia (Umno) ajak kita (PAS) berkawan semata-mata untuk meringankan beban dia. Ini kita minta maaf. Kita bukan ego tapi kita pertahan prinsip yang dianjurkan Islam dalam bersatu dan bekerjasama.
Dato' Seri memberi signal, PAS menolak ajakan Umno untuk bersatu atau bekerjasama? Begitu?

DATO' SERI TUAN GURU ABDUL HADI AWANG: Islam mengajar ada perkara yang wajib bersatu, dan ada perkara haram untuk kita bersatu. Wajib PAS tolong mencegah masalah, tetapi haram kalau menyokong ke arah kemungkaran. Waktu PAS hendak melaksanakan hukum hudud di Kelantan, kita diberikan surat amaran, jika buat Kerajaan Pusat akan bertindak. Jika begitu bagaimana hendak kerjasama dengan parti macam ini? PAS juga mengambil kira tanda keikhlasan. Kita pernah memerintah dua buah kerajan negeri sebelum ini, iaitu Kelantan dan Terengganu. Apa yang Umno-BN tak buat pada PAS? Boleh disenaraikan. Apa yang Umno buat pada Kerajaan Sabah sewaktu PBS menang? Pemimpin Umno perlu muhasabah balik. Anak-anak kita di universiti dinafikan biasiswa, pensyarah pula ada yang ditukar, 'dibuang daerah'. Saya guna istilah 'buang daerah' kerana Umno memang begitu. Hal ini amat menyentuh ahli biasa PAS.

Timbul tuduhan liar Dato' Seri. Jika disingkap laman-laman media baru seperti blog, twitter, facebook dan lain-lain, mereka persoalkan kerjasama PAS dalam Pakatan Rakyat. Dulu, PAS juga yang dakwa bekerjasama (Umno) dalam BN sebagai 'kafir'. Apa yang membezakan kerjasama ini?

Sebenarnya, kita perlu mempelajari feqah politik Islam sebagaimana solat, puasa, haji... semuanya ada feqah. Maka politik pun ada feqahnya seperti yang diajar dalam Al-Quran dan oleh Nabi Muhammad SAW. Islam mengharamkan kita membuang akidah perjuangan kita (PAS) dan Islam melarang kita memaksa orang lain supaya menganut agama kita (Islam). Ini kerana orang Islam mesti beriman kepada Allah SWT, dan iman tidak boleh dipaksa. Mesti dengan rela hati. Dalam masalah akidah ini, PAS tidak boleh bertolak ansur, tetapi dalam masalah muamalah ini, ada batas-batas yang ditunjukkan oleh Islam. Contoh secara praktikal apabila Nabi Muhammad SAW hendak berhijrah dari Mekah ke Madinah. Di sana, ada orang-orang musyrikin yang hendak membunuh Nabi dan sahabat-sahabatnya, dan di sana ada orang-orang musyrikin yang bukan Islam amat benci kepada kezaliman. Dan Nabi mengambil khidmat daripada seorang dari mereka yang bukan Islam untuk menunjukkan jalan pintas berhijrah menuju ke Madinah. Di sini menunjukan, hijrah yang dilakukan Nabi SAW itu, melibatkan orang bukan Islam (kafir) yang benci kepada kezaliman. Apabila Nabi SAW mendirikan negara Islam di Madinah, Nabi mendahulukan perpaduan orang Islam. Ini kerana dalam Islam ada dua perpaduan iaitu perpaduan Islam dan perpaduan kemanusiaan. Nabi SAW mengambil fasa yang pertama iaitu perpaduan Islam di kalangan Muhajirin dan Ansar yang berhijrah ke Madinah dengan penduduk Madinah sendiri disatukan dalam satu kumpulan yang beriman dan berakidah kepada Islam. Yang kedua, Nabi SAW mengajak kumpulan-kumpulan bukan Islam yang mempunyai titik persamaan dengan kemanusiaan di antaranya mahu keadilan dan menentang kezaliman. Benci kepada kejahatan.

Dato' Seri sebut tadi, bekerjasama atas titik persamaan. Ini yang dilakukan oleh PAS dengan parti-parti KeADILan dan DAP yang disebut sebagai tahaluf siasi...

Iya.... PAS mengajak kumpulan ini supaya bekerjasama dengan kita. Yang disebut feqah politik ialah tahaluf siasi iaitu persamaan dengan pihak lain yang mempunyai titik persamaan dengan kita (PAS). Di zaman Nabi SAW, lahirlah Piagam Madinah yang cukup terkenal. Piagam Madinah ini melibatkan orang Islam dan bukan Islam. Orang bukan Islam merupakan majoriti pada awalnya tetapi orang Islam bersatu, orang bukan Islam tidak bersatu. Yahudi dan Kristian sesama mereka tidak bersatu. Mereka tidak senang dengan kepimpinan mereka (Yahudi/Kristian) yang zalim ketika itu, tidak senang dengan jenayah dan gejala membunuh anak hidup-hidup. Di sini Nabi SAW mengambil pendekatan dan menangani sifat 'kemanusiaan' yang sama pada semua manusia, untuk bertahaluf. Dan mereka menerima penubuhan sebuah negara pertama melibatkan orang Islam dan bukan Islam. Kerjasama tahaluf siasi inilah yang diambil khusus oleh PAS setelah dikaji dari segi hukum syarak dan dari segi keperluan politik semasa.

Berdasarkan Piagam Madinah, tahaluf telah menyatukan orang Islam dan bukan Islam. Di Malaysia juga, masyarakat majmuk wujud dan PAS tidak boleh memerintah tanpa dokongan orang bukan Islam. Apa komen Dato' Seri?

PAS menyedari bahawa kita tidak boleh memerintah Malaysia dengan satu kaum, kerana masyarakat di sini majmuk. Kita perlu mengambil kira masyarakat pelbagai kaum yang ada dalam negara ini. Oleh sebab itu kedudukan masyarakat majmuk dalam negara ini perlu diberi perhatian serius dan Islam ada penyelesaiannya sendiri. Maka PAS mengambil pendekatan tahaluf siasi iaitu dengan PAS mengambil titik persamaan yang halal dikatakan halal dan yang haram tetap ditegaskan haram. Ini PAS tidak berganjak. Dalam perkara ini, Umno tidak mempeduli soal halal dan haram, dalam kerjasama dia dalam BN. Umno tidak ada batasan sebab dia tidak ada feqah politik dalam muamalah dia dengan orang bukan Islam. PAS menunjukkan sikap kita yang ikhlas. Kita tegas dengan orang bukan Islam, hasil daripada ini kita dapat lihat impak yang lebih baik setelah kita memerintah Kelantan sejak tahun 1990 dan memerintah Terengganu 1999.

Maksud Dato' Seri, kesan dari tahaluf siasi telah meluaskan pengaruh atau memperkasakan PAS dalam negara ini...

Hakikatnya PAS telah berjaya melakukan anjakan paradigma dalam masyarakat bukan Islam di Malaysia ini. Berduyun-duyun orang datang untuk menjadi ahli PAS. Perubahan sudah berlaku dan kefahaman feqah politik sekali gus berlaku menunjukkan kemajuan di dalam PAS. Melalui feqah politik inilah, PAS mengambil pendekatan menubuhkan Dewan Himpunan Penyokong PAS (DHPP) iaitu menerima keahlian orang bukan Islam bersama dengan PAS. Yang kedua mengadakan persefahaman dengan parti lain tanpa kita memaksa mereka meninggalkan ideologi mereka, dan mereka tidak boleh meminta untuk bertolak ansur dengan idealogi kita (PAS). Kita ada sikap kita sendiri.

Dato' Seri ada menyebut DHPP, dan dalam perasmian dewan itu beberapa bulan lalu, Dato' Seri mengakui dewan ini adalah satu-satunya di dunia wujud orang bukan Islam duduk dalam parti Islam kemudian menyokong perjuangan Islam. Keadaan ini tidak berlaku di negara-negara lain...

Keseluruhan negara umat Islam ini majoritinya orang Islam dan sesetengahnya 80 hingga 90 peratus, tidak besar (bukan Islam). Keduanya kebanyakkan negara umat Islam, terus terang saya kata kebanyakkannya tidak demokratik langsung. Mengamalkan 'dictatorship'. Di Malaysia walaupun demokrasinya masih tempang, masih lemah tetapi ada demokrasi lah juga. Ini memberi ruang kepada kita bergerak lebih, walaupun kita tidak puas hati lagi. Ini memberi satu ruang kepada orang bukan Islam untuk melihat contoh dan model politik Islam. PAS boleh bezakan ibadah dalam Islam dengan politik. Feqah ibadah dengan feqah politik berbeza sedikit. Kalau feqah ibadah imam sembahyangnya orang Islam, makmum juga mesti orang Islam. Dalam feqah politik ini, imamnya orang Islam makmumnya boleh juga orang bukan Islam. Bahkan penghayatan politik Islam pada zaman mutakhir ini, kita lihat kitab-kitab feqah Islam mengizinkan orang bukan Islam menjadi menteri dalam sebuah negara Islam. Al-Mawardi sebagai contoh, dalam kitab-kitab Yahkam Sultoniyah, dan kitab Al-Buwazir, bagitu juga ulama-ulama yang lain membenarkan orang bukan Islam berada dalam kabinet dalam sebuah negara yang mendokong konsep dan prinsip Islam. Itu berlaku dalam feqah politik Islam.
Mawardi ialah seorang tokoh ulama Mazhab Syafie, dan kitab Al-Buwazir, ada diterjemahkan dalam bahasa Jerman dan bahasa Latin. Pembuat dasar mesti parti yang memerintah. Kalau parti itu parti Islam maka dasarnya juga Islam, kalau parti itu komunis maka dasarnya komunislah. Konservatif... konservatiflah, kalau republikan...republiklah. Kita lihat di Amerika kalau mereka memerintah dia tidak ambil orang komunis untuk membuat dasarnya. Bagitulah juga dalam sebuah negara Islam. Tetapi dalam Islam kita membenarkan konsep menerima orang bukan Islam maka sudah tentulah prinsip seperti menganut akidah itu iaitu Islam. Akidah Islam ada perhitungan dosa dan pahala. Bahkan dosa dan pahala ini akan ada dalam diri seorang penganut agama Islam. Ini aspek spiritual yang dikaitkan dengan aspek politik.

Tapi masih ada ahli-ahli PAS yang kurang senang dengan tindakan PAS melebarkan sayapnya membuka Dewan Himpunan. Boleh Dato' Seri jelaskan kekeliruan ini, sebab mereka bukan Islam?

Yang pertama, orang PAS mesti faham Perlembagaan PAS yang berdasarkan Al-Quran dan Hadis, ijma' ulama dan qias yang nyata. Ini hukum yang tertinggi. Sebarang tindakan tidak boleh keluar daripada hukum ini. Yang kedua PAS menerima konsep kepimpinan ulama. Dengan sebab itu wala' kepada kepimpinan mesti dilakukan. Dalam wala' ini pengikut mesti taati pemimpin, bukan pemimpin ikut orang yang dipimpin, yang tidak memahami strategi perjuangan parti. Dalam melaksanakan sesuatu keputusan yang pertama PAS mempunyai Lajnah Politik yang menilai dari segi politik. PAS mempunyai Majlis Syura Ulama, yang dirujuk dari segi hukum syarak, diboleh mengikut Islam atau tidak. Betapa telitinya PAS dalam masalah Dewan Himpunan ini, walaupun almarhum Prof Dr. Zulkifli Mohammad telah membawa perkara ini lebih 50 tahun yang lalu. Tetapi oleh kerana pada masa itu ia tidak diperlukan lagi (suasana masa itu) beliau menangguhkan.
Setelah berlakunya integrasi kaum yang begitu menyeluruh dan setelah kita mencapai kemerdekaan, hubungan kaum begitu bercampur dalam masyarakat majmuk dalam negara kita ini. Islam adalah satu agama menangani semua keadaan, walaupun Majlis Syura Ulama kita mampu menangani masalah ini, tetapi PAS minta satu Muzakarah Ulama diadakan di peringkat antarabangsa, maka diadakan pada 1998 di England. England ialah sebuah negara yang agak bebas dari segi demokrasinya. Kita jemput tokoh-tokoh ulama daripada gerakan Islam dan tokoh-tokoh akademik yang tersohor seperti Syeikh Yusuf Qardhawi, Syeikh Faisal Maulawi, tokoh-tokoh politik seperti Rashid Qanushi, Qardhi Hussin Ahmad dan ramai lagi. PAS telah membentangkan kertas kerja dalam muzakarah itu membincangkan hukum syarak dalam segala mazhab. Di mana dalam muzakarah itu, setelah jelaskan mereka menerima cadangan melibatkan orang bukan Islam di dalam amal politik, sebuah pemerintahan berdasarkan Islam. Berdasarkan nas Alquran dan hadis Nabi SAW, maka Islam tidak menghalang sekiranya ada maslahah kebaikan untuk Islam dan manusia sejagat.

Maknanya dari keputusan Muzakarah Ulama inilah , maka baru PAS laksanakan penerimaan orang bukan Islam...

Setelah berbincang dan melihat suasana manusia hari ini menganut ideologi-idealogi yang lain, maka sudah tiba masanya kita tumpukan kepada orang bukan Islam ini. PAS bawa balik ke Malaysia idea ini. Setelah balik ke sini, PAS laksanakan terus. Kita dahulukan dengan pelaksanaan kita di Kelantan semasa PAS memerintah. Pelaksanaan kita di Terengganu. PAS buktikan keadilan dan hak orang bukan Islam sehingga berlaku suatu perubahan sokongan orang bukan Islam dalam PRU 1999, 2004 dan 2008 sehingga ada peti undi kawasan bukan Islam... PAS menang. PAS bertanding peti undi bukan Islam... kita menang. Dua tiga kali pilihan raya bukan satu kali. Ini menandakan mereka bekerja bersungguh-sungguh bukan sahaja menyokong kita. Dengan sebab itu PAS melihat sudah tiba masanya parti kita ini melaksanakan apa yang kita putuskan.
Tetapi akibat dari sokongan bukan Islam terhadap PAS ini, Umno-BN menabur dakyah kononnya PAS jadi boneka DAP. Hubungan baik ini sangat dibimbangi Umno. Selaku Presiden PAS, apa yang Dato' Seri rasai motif dakyah jahat ini?

DATO SERI TUAN GURU ABDUL HADI AWANG: Kita perlu lihat bagaimana DAP boleh memberi peluang kepada PAS untuk memimpin tiga buah negeri selepas PRU 2008. Kita memimpin Kelantan, Kedah dan Perak. PKR... di Selangor sahaja dan DAP di Pulau Pinang. Di sini menunjukkan bagaimana penyusunan kerusi pilihan raya yang diatur sebegitu rupa dalam kerjasama Pakatan Rakyat yang memberi tempat banyak kepada PAS. Yang kedua resolusi Konvesnyen Pakatan Rakyat yang diadakan di Shah Alam. Pakatan Rakyat telah berjaya menghasilkan resolusi menerima Islam sebagai Agama Persekutuan; dan hak kepada penganut agama lain; hak bumiputera; soal keadilan kepada semua kaum; dan mendaulatkan Bahasa Kebangsaan. DAP ikut serta dalam konvensyen ini. Saya rasa ini satu sikap yang sangat terbuka dan jelas. Malah terbukti lagi, semasa pilihan raya Bukit Gantang... PAS menang. Kita tunjukkan bukti pilihan raya di Sibu pula selepas itu. Kalau sekiranya Umno-BN tuduh PAS diperalat oleh DAP, maknanya kita bekerja untuk DAP di Sibu, saya juga boleh katakan Umno-BN juga diperalat oleh parti komponen mereka. Siapa yang bertanding di Sibu? Bukan Umno yang bertanding? Bukan PBB yang bertanding? Adakah Umno-BN diperalatkan? Ini bukan masalah alat dan diperalat tetapi kita mesti tunjuk kesetiaan PAS dalam bekerjasama.

Nampaknya kerajaan Umno-BN kini membenarkan guru-guru berpolitik. Dan ada gesaan terbaru supaya mahasiswa juga dibenarkan berpolitik?

Saya rasa ini menandakan Umno-BN lambat faham untuk memberi hak kepada genarasi pelapis. Kalau kita mahukan generasi pelapis yang berwibawa dan bijaksana, kita tidak boleh mendidik mereka dengan buku sahaja. Kita mesti didik mereka secara praktikal melalui kegiatan termasuk kegiatan politik yang tidak boleh pisahkan dengan semua aspek yang lain. Negara lain sudah lama membenarkan perkara ini. Dan kita sudah ketinggalan zaman. PAS mengalu-alukan kelonggaran ini, cuma kita minta biar Umno-BN benar-benar ikhlas dan berani sebagaimana sebuah negara yang mengamalkan demokrasi. Ini kerana siswa-siswi yang berada di pusat pengajian ini adalah mereka yang lulus dalam pengajian. Mereka yang berjaya bukan mereka yang bodoh. Kita jangan takut dengan orang yang pandai dan bijak, kita kena takut dengan orang yang 'bodoh'. Kalau kita takut dengan orang yang bijak dan orang yang pandai, itu satu perkara yang tidak betul dalam sebuah negara.

Sejauh mana Dato Seri melihat beberapa perubahan yang dilakukan Dato' Seri Najib Tun Razak telah mengembalikan sokongan rakyat terhadap Umno-BN?

Terlalu awal untuk saya merumusnya. Ini kerana pilihan raya belum diumumkan. Kita kena lihat berdasarkan keputusan pilihan raya yang boleh menentukan bagaimana era pemerintahan Najib. Dan terlalu awal bagi kita menilai, kerana tempohnya masih terlalu pendek bagi sebuah kerajaan.

Dato' Seri kalau kita tengok trend pilihan raya negara ini, keputusannya tak tetap. PRU 1990, PAS naik, PRU 1995 PAS jatuh, PRU 1999 PAS naik semula, PRU 2004 jatuh balik dan PRU 2008 PAS naik gagah. Dan ramalannya PRU akan datang PAS mungkin jatuh semula...

(Ketawa) Saya tidak beriman kepada ramalan sotong, sebagaimana ramalan bola sepak, dan tidak beriman kepada ramalan bintang-bintang. Ini bergantung kepada pertolongan Alah Taala dan kesungguhan kerja kita (PAS). Perubahan berlaku pada PRU 1990, PAS meningkat, PRU 1995 meningkat dan PRU 1999 kita terus naik. Tidak menurun, sebaliknya makin naik. Ini berlaku kepada PAS. Contohnya di Terengganu yang paling dekat. PRU 1990 PAS dapat lapan kerusi. PRU 1995 PAS dapat lapan dan tahun 1999 PAS dapat 28 kerusi. Kelantan PAS boleh bertahan. Kalau melihat kepada ramalan tadi, sudah tentulah Kelantan sudah tumbang lama dah. Tetapi kita boleh bertahan. Ini bergantung sejauh mana kerja kita dan keikhlasan kita. Kekuatan PAS di Kelantan kerana ada jentera parti yang baik. Adik-adik kita bertungkus lumus dan kerja kuat di Kelantan. Cawangan kita banyak di sana.

Saman ekor benar-benar menyusahkan rakyat. Apa alasan sekalipun kerajaan Umno-BN tak wajar paksa rakyat dengan cara ini. Ia melanggar keadilan sejagat. Bagaimana Dato Seri melihat situasi ini?

Islam mengutamakan kerajaannya mendidik rakyat daripada mengenakan tindakan undang-undang. Kita tidak boleh tergesa-gesa mengadakan undang-undang dan mengenakan tindakan sebelum kita melakukan pendidikan yang sepenuh kepada rakyat. Saya melihat kita masih lemah dalam mendidik rakyat, bahkan ada negeri orang Islam (saya minta maaf) dia hendak beli kereta dia periksa 'horn' dulu bukan periksa 'brek' sampai begitu sekali. Inilah tahap kematangan pemikiran. Dan sangat malang sekiranya undang-undang yang berlandaskan kepada denda kerana hendak menampung kekurangan duit, dijalankan. Itu lagi malanglah. Ini cara yang tidak betul. Kerajaan yang adil boleh mewujudkan keamanan dan keselamatan jalan raya. Undang-undang yang mendidik itu lebih diutamakan. Dalam Islam ada undang-undang Qisas (menyebut sepotong ayat) yang bermaksud: "Wahai orang-orang yang beriman, wajib ke atas kamu melakukan qisas dalam perkara pembunuhan, kecederaan." Bermakna qisas ini bukan sahaja jenayah pembunuhan termasuklah jenayah tidak sengaja. Dengan sebab itu perlu dirujuk dengan cara Islam itu sendiri dalam masalah keselamatan jalan raya. Dan di sinilah peranan Pusat Islam, peranan IKIM sepatutnya mengkaji juga hal-hal seperti ini, bukan sahaja tugasnya mencari isu untuk timbulkan isu. Sepatutnya, mereka memperkenalkan dasar Islam dalam semua perkara termasuk dalam perkara menangani masalah jalan raya.

Menurut pandangan pakar-pakar media pada PRU 1998, peranan media baru seperti blog memainkan peranan dalam kempen-kempen. Harai ini permit Suara Keadilan dan Roket ditahan, dan Harakah terus dikekang dengan pelbagai amaran keras. Jadi, bagaimana PAS manfaatkan seluruh media yang ada untuk kemenangan Pakatan Rakyat dalam PRU-13 akan datang.

Islam ada etikanya sendiri dalam soal media ini. Kalau media itu tidak beretika, ia tidak berkesan walaupun diberi kebebasan ia tidak boleh mengubah masyarakat. Bagaimana hendak mengubah masyarakat? Mestilah menggunakan bahasa yang difahami masyarakat. Kita tulis dan ucap dengan bahasa yang difahami. Kalau masyarakat tidak faham bahasa itu, mereka beri pandangan yang negatif. Atau kita 'terlebih' menyerang. Kalau kita 'terlebih' menyerang, kadang-kadang orang simpati kepada mereka yang kena serang. Itu bergantung kepada kebijaksanaan media. Kadang-kadang saya melihat media terlalu menyerang, kalau lebih-lebih saya rasa, ia gagal. Media alternatif gagal sebaliknya, memberi keuntungan kepada BN pada pilihan raya akan datang. Dengan sebab itu media perlu buat muhasabah kalau dia hendak buat perubahan. Ia mesti bertanggungjawab dengan cara bahasa difahami oleh masyarakat. Sejauh mana sampai maklumat itu... dan apa yang berlaku hari ini, maklumat itu sekadar di bandar dan di pinggir bandar. Kawasan yang ada kemudahan saja. Kawasan yang tak ada kemudahan, tidak sampai maklumat. Dengan sebab itu usaha mesti dilakukan supaya media ini berkembang dengan cara yang menyeluruh. Ini perkara yang perlu diambil kira.

No comments

Powered by Blogger.