Ekuiti Bumi: PAS Selangor, Timbalan Presiden bidas MCA

KUALA LUMPUR, 18 Ogos — Resolusi Kongres Ekonomi Cina hujung minggu yang menggesa kerajaan agar mengurangkan ekuiti Bumiputera dalam sektor ekonomi adalah tindakan tidak matang dan tidak wajar, kata Timbalan Presiden PAS Nasharudin Mat Isa.

Sehubungan itu kata beliau, tindakan MCA yang menyokong dan memastikan resolusi tersebut diteruskan membuktikan mereka memperjuangkan politik perkauman yang sempit.

Nasharudin juga berkata, beliau memberi amaran kepada MCA supaya jangan bermain dengan politik perkauman sempit untuk meraih semula sokongan Cina yang semakin luntur kepada BN sehingga ia telah menimbulkan rasa kegelisahan di kalangan rakyat Malaysia.

“Apa yang diperjuangkan oleh MCA jelas menunjukkan bahawa parti-parti komponen Barisan Nasional gagal mendapat konsensus yang mantap untuk memerintah negara setelah berlaku penafian dua pertiga kuasa majoriti di Dewan Rakyat pada 8 Mac 2008,” kata beliau dalam satu kenyataan dikeluarkan hari ini.

Antara lain, Dr Chua pada Kongres Ekonomi Cina Malaysia Sabtu lepas meminta ekuiti Bumiputera sebanyak 30 peratus dalam semua sektor ekonomi dikurangkan secara berperingkat.

Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin juga berkata berkata permintaan itu tidak wajar memandangkan sasaran ke arah itu belum dicapai sepenuhnya.

Dalam kenyataannya Nasharudin menambah, Pakatan Rakyat pula telah sama-sama bersetuju untuk berpegang teguh dengan Dasar Bersama Pakatan Rakyat yang telah ditandatangani oleh PAS, PKR dan DAP pada Disember lalu.

“Berdasarkan dasar tersebut, Pakatan Rakyat akan melindungi kedudukan istimewa orang Melayu dan kepentingan sah kaum-kaum lain sepertimana yang termaktub dalam Perkara 153.

“Ini membuktikan bahawa PAS, PKR dan DAP tetap akan mempertahankan perkara ini bila menerajui kerajaan nanti,” katanya.

Dalam pada itu, PAS Selangor juga kesal yang isu kuota 30 peratus pemilikan ekuiti Bumiputera dalam sektor ekonomi terus dipertikaikan.

“Terbaru ia dibawa melalui resolusi Kongres Ekonomi Cina anjuran MCA Sabtu lepas. MCA yang merupakan komponan Barisan Nasional kelihatan begitu bersungguh mendesak mahu menghapuskan kuota ini,” kata Ketua Penerangan PAS Selangor Roslan Shahir Mohd Shahir dalam kenyataan berasingan.

Kata beliau, sesungguhnya golongan Bumiputera masih jauh ketinggalan dalam sektor ekonomi dan tindakan menghapuskan kuota ini sudah pastilah akan jauh menyisihkan lagi mereka dalam saingan ekonomi terbuka.

Jelas Roslan, banyak usaha perlu dilakukan untuk melatih dan membantu golongan ini dan menghapuskan kuota hanya akan menambahrumitkan keadaan.

“PAS Selangor juga akur selain mempertahankan kuota ini usaha untuk membantu golongan lain khasnya kelompok tercicir dalam sektor ekonomi termasuklah dari masyarakat Cina, India dan lain-lain perlu juga diberi perhatian.

“Setelah hampir lebih 52 tahun Merdeka PAS Selangor merasakan isu-isu yang telah lama disepakati bersama termasuklah kuota pemilikan ekuiti Bumiputera ini sepatutnya tidak lagi dipertikai atau dipolitkkan oleh mana-mana pihak.

“Yang penting adalah usaha dan inisiatif semua pihak bagi memastikan yang semua kaum dalam negara terbela dan terjamin nasib dan kebajikan mereka dan tidak ada lagi mana-mana golongan yang tercicir khususnya dalam sektor sosial dan ekonomi,” katanya lagi. Roslan menambah, PAS Selangor akan terus menyokong dan mempertahankan kuota ini selain apa sahaja usaha untuk memartabatkan taraf ekonomi golongan lain yang perlukan bantuan dari pihak berwajib.

No comments

Powered by Blogger.