Pornthip kekal penemuan awal Teoh mati bukan kerana bunuh diri

SHAH ALAM, 18 Ogos — Pakar forensik Dr Pornthip Rojanasunand kekal dengan pendirian awal bahawa beliau pasti yang kematian Teoh Beng Hock bukan kerana tindakan membunuh diri.

“Saya masih kekal dengan penemuan saya mengenai kecederaan-kecederaan awal (ke atas Teoh).

“Saya tidak boleh mengesahkan yang dia (masih) sedar ketika jatuh (dari bangunan tinggi),” kata beliau.

Ia merupakan sambungan kepada keterangan yang diberikannya hujung tahun lepas, yang tidak dapat diteruskannya ketika itu apabila beliau tidak hadir di Mahkamah Koroner, dikatakan ekoran terdapat ancaman terhadap keselamatan dirinya.

Pornthip (gambar) tiba di Mahkamah Koroner di sini pada pukul 8.50 pagi bersama-sama peguam Gobind Singh Deo yang mewakili keluarga Teoh, dan peguam Malik Imtiaz Sarwar bagi kerajaan Selangor.

Dalam keterangannya tahun lepas Pornthip menyuarakan pendapat terdapat 80 peratus kemungkinan bahawa Teoh mati akibat dicekik dan didera, dan mahkamah kemudiannya membenarkan mayat lelaki itu dibedah siasat kali kedua oleh Ketua Unit Patologi Hospital Sungai Buloh, Dr Shahidan Md Nor, pada 22 November lepas.

Teoh, 30, setiausaha politik kepada Exco kerajaan negeri Selangor, Ean Yong Hian Wah ditemui mati pada 16 Julai tahun lalu di tingkat lima, Plaza Masalam selepas memberi keterangan di pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Selangor yang terletak di tingkat 14 bangunan sama.

Hari ini, Dr Pornthip yang berhadapan dengan siri soalan daripada peguam SPRM Datuk Abdul Razak Musa mengenai kelayakan dan kredibiliti keterangannya sebagai seorang saksi pakar berkata: “Anda kena faham, saya bekerja demi hak si mati, bukan kerajaan Selangor.”

Jawapan beliau itu menerima tepukan daripada mereka di galeri awam.

Kemudian, berhubung soalan Abdul Razak yang mencadangkan bahawa Dr Pornthip menyerang SPRM menerusi keterangannya, pakar itu memberitahu mahkamah bahawa universitinya adalah antara lima teratas di Asia.

Selepas memberitahu Abdul Razak bahawa beliau bertindak demi hak si mati, Dr Pornthip menambah, “objektif saya adalah membantu si mati.”

Beliau yang memberikan keterangan pada inkues kematian Teoh di sini hari ini, berkata bedah siasat itu juga tidak menunjukkan bahawa Teoh dipukul atau diseksa sebelum mangsa itu ditemui mati.

“Daripada kecederaan yang beliau alami, tidak ada bukti keterangan forensik untuk menyokong mengenai dakwaan (dipukul atau diseksa,” tegas beliau.

Disoal oleh peguam Malik Imtiaz Sarwar yang bertindak untuk kerajaan Selangor sama ada beliau masih mengekalkan keterangan sebelum ini bahawa 80 peratus adalah dibunuh dan 20 peratus bunuh diri, katanya penemuan keduanya adalah agak sukar untuk membuat keputusan seperti itu.

Bagaimanapun, beliau mengulangi bahawa Teoh masih sedar diri sebelum terjatuh, dan tidak bersetuju dengan pandangan pakar forensik Britain Dr Peter Vanezis bahawa beliau tidak sedar diri.

Dr Pornthip sepatutnya memberikan keterangannya pada akhir tahun lepas tetapi tidak hadir ekoran laporan ancaman terhadap keselamatan beliau.

Dalam keterangan beliau sebelum ini pada 21 Oktober tahun lepas, Dr Pornthip mengatakan bahawa hasil bedah siasat itu menunjukkan 80 peratus keberangkalian kematian Teoh adalah dibunuh dan 20 peratus membunuh diri.

Keterangan Dr Pornthip menyebabkan mayat Teoh terpaksa digali keluar untuk bedah siasat kali kedua.

Dr Vanezis, yang memberikan keterangan untuk SPRM berkata Teoh sedar sepenuhnya ketika beliau jatuh dan tidak ada bukti yang menunjukkan setiausaha politik itu dicekik sebelum jatuh.

Ketika disoal oleh Malik, Dr Pornthip berkata beliau tidak menyentuh mayat Teoh semasa bedah siasat tetapi meminta bantuan Dr Shahidan untuk menjalankan pemeriksaan di bahagian dubur, yang menunjukkan kecederaan di bahagian itu yang disebabkan oleh okjek tajam seperti yang beliau nyatakan dalam keterangan awalnya.

Menjelaskan hasil pemeriksaan itu, beliau berkata bengkak di leher dan darah dari tempat bengkak masuk sehingga ke otot bawah kulit.

Beliau berkata kecederaan itu mungkin disebabkan satu objek tajam dan membolehkan dicekik atau dipukul dengan objek yang tajam dan keras.

Dr Pornthip juga berkata bahawa “kecederaan di bahagian dubur tidak dapat diperiksa disebabkan proses bedah siasat sebelum ini telah diputarbelirkan dan kereputan di bahagian itu”.

Beliau berkata sakrum terdedah di bahagian posterior punggung dan ada keretakan teruk di bahagian bawah sakrum, yang menyebabkan pemisahan di akhir distal.

Menjawab soalan Malik, beliau tidak bersetuju dengan keterangan Dr Vanezis bahawa tidak ada pemampatan di leher yang begitu lama, yang menujukkan satu percubaan untuk mencekik Teoh sebelum beliau mati.

Katanya kecederaan di leher itu didapati sebelum mangsa jatuh.

“Pada pandangan saya, ia bukan perbuatan mencekik secara manual, saya fikir ia lebih besar daripada itu, yang boleh menyebabkan penggunaan lebih banyak kekuatan atau lebih banyak tekanan di bahagian leher,” menurut Dr Pornthip.

No comments

Powered by Blogger.