Isu resolusi: Mapem serah PM memo, beri MCA amaran

SHAH ALAM, 19 Ogos — Majlis Perundingan Ekonomi Melayu (Mapem) akan menghantar satu memorandum kepada Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak berhubung resolusi Kongres Ekonomi Cina anjuran MCA, Sabtu lepas.

Anggota Mapem dan juga Yang Dipertua Dewan Perniagaan Melayu Selangor (DPMMS) Tan Sri Rozali Ismail berkata memorandum berkenaan akan dihantar dalam minggu ini bertujuan menyatakan pendirian Mapem berhubung resolusi dan kenyataan Presiden MCA Datuk Seri Dr Chua Soi Lek yang tidak mengambil kira sensitiviti masyarakat Melayu.

“Dalam mesyuarat yang diadakan sebentar tadi kita ingin memberi ingatan kepada MCA untuk tidak membuat sebarang tuntutan di luar daripada komitmen yang telah mereka berikan kepada kerajaan atas sifat mereka berada dalam kerajaan yang melaksanakan polisi semasa, khususnya apabila menyentuh sensitiviti orang Melayu keseluruhannya,” katanya kepada pemberita selepas mesyuarat khas yang diadakan Mapem di sini hari ini.

Mapem merupakan gabungan lapan anggota Dewan Perniagaan Melayu Malaysia (DPMM), 21 anggota Gabungan Persatuan Usahawan Melayu Selangor dan 16 anggota Majlis Perniagaan dan Ekonomi Malaysia.

Rozali berkata antara kandungan memorandum itu termasuklah cadangan penghapusan kuota 30 peratus melalui margin keutamaan (MoP) yang dilihat sangat jelas cuba menghakis penguasaan ekonomi orang Melayu yang sehingga kini masih jauh daripada penguasaan efektif 30 peratus ekuiti dalam sektor ekonomi negara.

Beliau berkata jika cadangan itu dilaksanakan ia akan terus melemahkan penyertaan orang Melayu dan Bumiputera lain dalam ekonomi Malaysia.

“Mesyuarat hari ini mahukan dasar kuota 30 peratus ini diteruskan sehingga mencapai sasaran ekuiti dalam objektif Dasar Ekonomi Baru (DEB) kerana kita mahukan agenda menstruktur semula masyarakat dilaksanakan dengan telus dan berjaya.”

Beliau berkata memorandum itu juga meminta kerajaan supaya tidak menerima atau cuba melaksanakan resolusi yang dibuat oleh pihak terbabit khususnya yang menyentuh sensitiviti dan kepentingan Bumiputera, tanpa terlebih dahulu merujuk, berunding dan melakukan proses konsultasi rakyat dengan pertubuhan dan masyarakat Bumiputera. — Bernama

No comments

Powered by Blogger.