Negeri Sembilan milik Pakatan PRU-13

1. Ada beberapa komentar yang kurang berpuashati apabila kami menyentuh berkenaan kepimpinan Umno Negeri Sembilan dalam artikel "Caca-marba Umno Negeri Sembilan". Sama ada komentar yang tertulis dalam blog ini, atau cakap-cakap orang luar berkenaannya, sekurangnya kami maklum bahawa masih ada yang prihatin berkenaan perkara yang kami utarakan.

2. Kemuncak kepada segala kemelut di Negeri Sembilan bermula di Rembau. Jika dahulu orang Rembau terkenal sebagai pembuat meriam laras pendek kepada Kesultanan Melayu Melaka, kini nama Rembau kembali popular khususnya di Negeri Sembilan disebabkan oleh Khairy Jamaludin serta keluarga Hasan. Kita tinggalkan dulu kisah Khairy kerana ingin fokus kepada "Hasan Trilogy".

3. Persempadanan semula Parlimen pada 2003 menyaksikan Rantau termasuk dalam sempadan Parlimen Rembau yang akhirnya Umno Bahagian Rembau di terajui oleh orang Rantau iaitu Mohamad Hasan. Sebelum itu Mohamad adalah Ketua Umno Bahagian Rasah yang hari ini diterajui pula oleh pembodek terkuatnya, Hasim Rusdi.


4. Ramai yang maklum bahawa Mohamad Hasan adalah bekas korporat bertaraf CEO. Semua berkaitan ekonomi konon dalam koceknya. Pengalaman hidup dalam dunia korporat menyebabkan Mohamad Hasan agak arif dengan "corporate game". Percaturan dunia korporat Mohamad Hasan, yang sudah pasti pernah melibatkan Khairy dan Allahyarhamah Endon, telah memungkinkan dirinya mendaki ke mercu kuasa melalui jalan pintas dan seterusnya ditabal sebagai Menteri Besar Negeri Sembilan.

5. Apabila orang korporat mula menceburi politik, maka terdapat pro dan kontranya. Tetapi dalam kes Mohamad Hasan, kontranya melebihi pro.

6. Kerana termakan budi dan terlalu menghormati si abang yang banyak berkorban untuknya semasa muda, maka bermulalah episod "2 Menteri Besar" Negeri Sembilan. Bayangkan jika Che Det pun terpaksa 'membalas budi' abang dan kakaknya memandangkan dia yang paling bongsu dalam keluarga, pasti Malaysia tidak akan keluar dari kepompong Negara Dunia Ke-3 menjadi setaraf Negara Maju hari ini.

7. Mohamad Hasan mentadbir Negeri Sembilan dengan mengasingkan politik dengan pengurusan negeri. Perihal politik, yakni untuk menjaga Umno dan Barisan Nasional akan diserahkan kepada abangnya Azman Hasan. Segala percaturan politik akan diserahkan bulat-bulat kepada Azman. Natijahnya, wujud perpecahan di setiap Bahagian Umno apabila Azman bertindak memulau serta menekan setiap Bahagian Umno yang tidak memihak kepada adiknya. Pernah suatu ketika Azman berkrisis dengan Rais Yatim sehingga mewujudkan perang dingin antara mereka. Setiap Bahagian Umno akan dilagakan antara satu sama lain hinggakan segala keputusan perlu melalui Azman terlebih dahulu sebelum disampaikan kepada Mohamad. Malah, keputusan yang dibuat oleh Mohamad, jika tidak berkenan di hati Azman, maka keputusan itu akan diubah. Semasa Azman memegang jawatan Setiausaha Perhubungan Umno Negeri, dia ibarat "singa lapar" yang pernah ke suatu tahap sehingga sanggup menampar orang. Namun jika ada orang yang berani menyanggahnya, tiba-tiba karakternya boleh pula berubah menjadi 'hamster'. Malah kerusi Setiausaha Perhubungan Umno Negeri di pejabat Perhubungan Umno semasa zamannya 'lebih cantik' daripada kerusi Ketua Perhubungan Umno Negeri sendiri. Kata-kata gah yang sering dihamburkan Azman di khalayak ramai ialah, "Kalau aku tak bela Mohamad tu dulu, tak akan dapat dia jadi Menteri Besar hari ini. Siapa Mohamad nak ajar aku!" Di situ jelas memperlihatkan penguasaan si abang terhadap si adik yang menjadi Menteri Besar Negeri Sembilan. Justeru yang menjadi persoalan ramai kini, siapakah Menteri Besar Negeri Sembilan yang sebenar-benarnya?

8. Disebabkan 'kedunguan' Mohamad Hasan membiarkan abang kesayangannya menjaga kepentingan politik beliau, natijahnya Mohamad telah mengumpul musuh di setiap Bahagian Umno. Ditambah dengan sikap paloi Mohamad dalam melayan karenah ahli-ahli Umno (tetapi berbeza pula layanan dengan ahli keluarga sendiri), ahli-ahli Umno yang pada mulanya mengharapkan suatu perubahan daripada beliau, kini sudah mula menjauhkan diri. Sehingga kini Mohamad dikhabarkan hampir tidak mempunyai pengaruh di 6 Bahagian Umno kecuali Umno Bahagian Rembau dan Rasah.

9. Setiap Ahli Mesyuarat Kerajaan Negeri dikongkong daripada membuat keputusan. Semuanya perlu melalui Mohamad Hasan selaku Menteri Besar Autokratik. Apabila ada yang datang mengemukakan pandangan atau cadangan untuk menjadikan Negeri Sembilan lebih dinamik serta berdaya saing dari segi ekonomi & politik, Mohamad dengan muka mengantuknya akan menolak mentah-mentah akan cadangan yang diberikan. Jika anda tidak percaya, cubalah beri cadangan bernas anda kepada Mohamad Hasan, sudah pasti cadangan anda itu akan dibakul sampahkan. Mohamad kurang berminat akan sebarang idea dan pandangan jika ia menunjukkan kedangkalan beliau menafsir cadangan tersebut. Sikap keras kepala serta enggan mendengar pandangan orang lain kecuali idea yang datang dari keluarganya sendiri, sudah menjadi buah mulut rakyat di Negeri Sembilan. Ironinya, beliau pernah pula mengaku dalam salah satu ucapannya bahawa beliau bukanlah orang yang tahu akan semua perkara. Namun lagak dan egonya jauh berbeza berbanding tutur bicara.

10. Apabila timbul kisah ADUN BN Negeri Sembilan akan melompat kepada pembangkang suatu ketika dulu, Mohamad berkeras menafikannya. Namun suatu sumber pernah mengatakan, andai ADUN BN Negeri Sembilan lompat parti, Mohamad turut ditawarkan tempat dan akan kekal sebagai Menteri Besar Negeri Sembilan, tetapi menjadi ADUN bebas dengan menyokong pembangkang. Adakah dakwaan ini benar? Tapi bagi orang Negeri Sembilan yang arif akan sejarah keluarga Mohamad Hasan yang sanggup menaikkan bendera pembangkang di kediaman mereka apabila kehendak mereka tidak dipenuhi suatu masa dulu, perkara sebegini tidaklah memeranjatkan jika benar Mohamad sememangnya berniat melompat parti.

11. Sambutan terhadap Mohamad Hasan di setiap kawasan yang dilawatinya mencerminkan tahap sokongan orang ramai terhadap beliau. Tidak dapat dinafikan bahawa Mohamad agak digemari oleh rakyat Negeri Sembilan kerana kononnya membawa pembangunan, walaupun ramai yang maklum bahawa sebahagian rancangan pembangunan dalam era Mohamad adalah dirancang sejak zaman Isa lagi. Mohamad tidak boleh bergantung kepada sokongan rakyat Rembau semata serta terlalu syok sendiri sehingga melupakan platform Umno yang mengangkat kedudukannya sebagai Menteri Besar hari ini. Jika hanya Umno Rembau sahaja yang kuat, ia tidak akan membawa apa-apa makna. Masalah dalaman Umno di setiap Bahagian perlu diselesaikan segera selain masalah komponen BN yang tampak tidak boleh diharap untuk memenangi hati pengundi di Negeri Sembilan.

12. Tiada sebarang usaha berkesan yang dilakukan Mohamad Hasan bagi mendapatkan kembali kerusi Umno yang hilang di PRU-12 iaitu di kawasan Sikamat, Ampangan serta Paroi. Hatta DUN Paroi sendiri merupakan kawasan pengundi terbesar dalam Parlimen Rembau yang turut menyaksikan Khairy kalah di setiap peti undi di sana, tetapi masih tiada sebarang usaha yang dilakukan Mohamad untuk kembali mendapatkan kerusi DUN Paroi. Jelas Mohamad ketandusan idea dan seolah tidak berminat untuk memastikan BN kembali menguasai Negeri Sembilan dengan majoriti 2/3 di PRU-13.

13. Nak diharapkan Khairy, lagilah hancus. Nak balik ke kawasan sendiri pun jarang, dengan alasan sibuk di KL dengan tugasan Pemuda Umno yang kononnya diberikan Najib kepadanya. Tapi pi mai pi mai tang tu jugaklah kumpulan Pemuda yang tiada sebarang perubahan yang boleh dibanggakan. Cuma yang tampak ketara adalah kemaruk Khairy 'bermain' smartphone, serta perubahan besar Pemuda Umno yang telah bertukar wajah menjadi Pemudi Umno Malaysia. Walaupun Khairy pernah menyatakan bahawa cita-cita politiknya adalah untuk menjadi "Wakil Rakyat Yang Baik" & "Membawa Suara Orang Muda", namun segalanya ternyata hampeh kerana setiap yang dilakukan Khairy pasti menunjukkan kebebalan sendiri. Mungkin lebih baik selepas ini Khairy bertanding di Kepala Batas bagi menggantikan bapa mertuanya kerana hampir semua kepimpinan Umno di peringkat cawangan Rembau menolak Khairy serta mengecam kredibiliti beliau. Yang masih memuji dan menjilat Khairy hanyalah segelintir Pemuda Umno yang dangkal akibat terlalu banyak termakan budi semasa Khairy berkuasa di zaman mertuanya.

14. Hakikat bahawa rakyat kini sudah jelak dengan kepimpinan Umno di setiap bahagian Negeri Sembilan. Andai muka-muka lama ini masih dikekalkan sebagai calon, tidak mustahil Negeri Sembilan akan menjadi milik pembangkang di PRU-13. Nama-nama seperti Mohamad Hasan, Ishak Ismail, Isa Samad, Rais Yatim, Ismail Lasim, Lilah, Shaziman & Hasim Rusdi sudah menjadi kebencian & kemeluatan rakyat di Negeri Sembilan. Mereka yang telalu lama menjadi Jawatankuasa Bahagian sudah tidak relevan lagi. Zaman mereka sudah berlalu. Tiada sebarang idea atau usaha yang menampakkan mereka mampu untuk terus menerajui kepimpinan negeri. Ingatlah bahawa parti LDP yang kalah di Jepun, salah satu faktor adalah disebabkan pemimpinnya yang terlalu lama memegang jawatan.

15. Najib harus berani melakukan perubahan di Negeri Sembilan. Muka-muka baru perlu diberi peluang mewarnai politik Negeri Sembilan hari ini. Keberanian Najib dituntut untuk meletakkan muka baru sebagai calon walaupun individu tersebut tiada sebarang jawatan di peringkat Bahagian. Analisis desktop sehingga kini mengesahkan hanya 11 kawasan putih yang masih menyokong BN di Negeri Sembilan. Jumlah itu seperti yang kita maklum, tidak memungkinkan BN untuk berterusan menerajui negeri ini selepas PRU-13. Sesuatu perlu dilakukan. Ahli-ahli Umno perlu bertekad menyingkirkan semua kepimpinan lama untuk digantikan dengan kepimpinan baru yang lebih dinamik dan berdaya saing. Bakal calon baru yang disenangi rakyat di setiap kawasan perlu diberi peluang menggantikan kepimpinan sedia ada bagi memastikan legasi Umno tidak terus terkubur di negeri beradat ini.

16. Disahkan PRU-13 bakal berlangsung pada 2012. Pilihanraya Umum akan datang adalah pertarungan hidup/mati Barisan Nasional. Segala percaturan, perubahan dan gerak kerja perlu dimulakan sekarang. Tiada masa lagi berpolitik untuk kepentingan peribadi. Rakyat wajib didahulukan.

http://paneh.blogspot.com/2010/08/negeri-sembilan-milik-pakatan-pru-13.html

No comments

Powered by Blogger.