Mahasiswa Desak Soi Lek Tarik Balik Kenyataan Hina Islam

Oleh Sidiqin Omar

KUALA LUMPUR 20 Ogos - Beberapa pertubuhan mahasiswa Islam universiti tempatan mencadang mengadakan dialog dengan Presiden MCA. Datuk Seri Dr Chua Soi Lek bagi menjernihkan pandangan negatif beliau terhadap negara dan umat Islam.

Ini berikutan kenyataan bekas Menteri Kesihatan itu pada 6 Ogos lalu yang melabelkan negara-negara Islam sebagai “tidak progresif, korup, miskin dan terkebelakang” ketika berucap pada Konvensyen Tahunan ke-33 MCA Kedah di Alor Star 6 Ogos lalu.

Presiden Ikatan Studi Islam Universiti Kebangsaan Malaysia, Mohd Nazri Tahir menuntut Presiden MCA itu menarik semula kenyataannya yang dianggap boleh menyentuh sensitiviti pihak tertentu, lebih-lebih lagi kenyataan yang dikeluarkan itu datang dari seorang bekas Menteri dan pemimpin sebuah parti politik sebuah negara yang berbilang kaum dan agama.

"Kami juga bersedia untuk mengadakan dialog secara terbuka dengannya, sekiranya beliau keliru dengan perkara-perkara berkaitan agama Islam. Kami bercadang untuk menjemputnya dalam seminar dan bengkel berkenaan agama Islam sekiranya beliau setuju," kata Nazri.

Sehubungan itu tujuh pertubuhan mahasiswa Islam telah menghantar memorandum kepada Dr Chua semalam bagi menbantah kenyataan dangkal beliau mengenai Islam baru-baru ini.

Pertubuhan itu terdiri daripada Gabungan Mahasiswa Islam (Gamis), Persatuan Mahasiswa Islam Universiti Malaya (PMIUM), Ikatan Studi Islam UKM, Persatuan Mahasiswa Islam Universiti Putra Malaysia (PMIUPM), Maaruf Club UIA, Persatuan Mahasiswa Akademi Islam KUIS dan Komuniti Mahasiswa Kerinchi.

"Kami kecewa dengan kenyataan Datuk Seri Chua sebelum ini yang dilihat terkena tempias 'Islamphobia'. Dalam pola pemikiran rakyat yang terbuka, kenyataannya menunjukkan tindakan terdesak sebuah parti yang tenat dalam arus politik Malaysia.

"Ini juga menunjukkan beliau terdesak kerana cuba membangkitkan isu perkauman serta kenyataan berbaur menghina agama," kata jurucakap kumpulan mahasiswa tersebut, Mohd Idris Yussoff.

Wakil pertubuhan mahasiswa itu tiba di ibu pejabar MCA di Wisma MCA, Jalan Ampang kira-kira pukul 2.45 petang dengan diawasi oleh beberapa kenderaan peronda polis dan anggota polis yang berpakaian seragam dan preman.

Mereka menyerahkan memorandum setebal lima muka surat kepada Pembantu Khas kepada Presiden MCA, Yap Chin Chinn di lobi Wisma MCA 15 minit kemudian.

Ahmad Syazwan Hassan, Presiden PMIUM menegaskan kenyataan Dr Chua itu dianggap tidak mempunyai moral dan nilai etika kerana tidak sensitif dalam menjaga hubungan baik antara kaum dan penganut agama lain dengan umat Islam di Malaysia.

"Tindakan beliau itu dilihat sebagai pandangan seorang yang buta sejarah. Seharusnya beliau sedar bahawa dengan berpegang teguh kepada ajaran agamalah yang memungkinkan seseorang itu mengamalkan sistem pentadbiran negara dengan cekap dan beramanah. Apakah beliau tidak tahu bahawa, setiap agama itu mengajar umatnya melakukan kebaikan, atau dia hanya tahu agama itu pada 'kulit'nya sahaja?" soal Syazwan.

Pandangan Dr Chua dibidas Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng yang menasihatkan beliau supaya mendidik dirinya dengan mendalami sejarah tamadun Islam yang mencerminkan kegemilangan yang tidak hanya terhad kepada empayar global, malah di dalam pembangunan seni, pembelajaran, pengenalan angka, algebra dan astronomi.

No comments

Powered by Blogger.