Mata wang syariah: Pusat jadikan isu politik, bukannya Kelantan

Oleh G Manimaran


KUALA LUMPUR, 15 Ogos — Sambil menggariskan lima kewajaran, kerajaan negeri Kelantan melihat pusat sengaja mempolitikkan isu pengunaan mata wang syariah dinar dan dirham walaupun ia ternyata memanfaatkan rakyat khususnya mereka yang menggunakannya.

“Saya tidak melihat sebab lain kecuali mereka (kerajaan pusat) mempolitikkan perkara ini (penggunaan mata wang syariah),” kata Pengerusi Jawatankuasa Perancangan Ekonomi, Kewangan dan Kebajikan Kelantan Datuk Husam Musa ketika dihubungi hari ini.

Husam yang juga Timbalan Pesuruhjaya PAS Kelantan menafikkan kerajaan negeri menjadikan keputusan penggunaan mata wang syariah, yang dilancarkan Jumaat lalu, sebagai langkah politik meraih simpati rakyat.

Salah satu kewajaran yang diketengahkan Husam ialah nilai dinar emas telah meningkat hampir sekali ganda berbanding empat tahun lalu.

“Pada tahun 2006, semasa kita melancarkan dinar ia bernilai RM322 dan sekarang nilainya RM582 bagi satu dinar penuh berukuran 23 mm dengan berat 4.25 gm.

“Jika mereka yang memilikinya mendapat manfaat berbanding mata wang konvensional yang turun nilai mata wang, apakah ia menjadi isu jika memanfaatkan rakyat, mereka yang menggunakannya” kata Husam.

“Jadi kita kena lihat sama ada memanfaatkan rakyat atau tidak,” katanya.

Semalam, Pengerusi Umno Kelantan Datuk Seri Mustapa Mohamed mengingatkan kerajaan Kelantan tidak sewenang-wenangnya membuat peraturan baru seperti penggunaan mata wang syariah dinar dan dirham tanpa merujuk kepada pusat.

Mustapa juga Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri berkata, kenyataan Menteri Besar Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat bahawa dinar emas dan dirham perak itu akan dijadikan sebagai mata wang alternatif adalah jelas melanggar peraturan Bank Negara.

“Saya nasihatkan kerajaan Kelantan jangan pandai-pandai (buat peraturan),” kata Mustapa.

Jumaat lalu, Nik Aziz melancarkan mata wang syariah dinar dan dirham yang akan digunakan dalam transaksi seharian termasuk pembayaran gaji kepada kakitangan awam.

Dinar dan dirham itu dikeluarkan oleh anak syarikat Perbadanan Menteri Besar Kelantan (PMBK), Kelantan Golden Trade.

Mustapa berkata apa yang dilakukan Kelantan itu sebenarnya hanyalah bertujuan politik semata-mata dan untuk meraih simpati rakyat yang akhirnya akan menyalahkan kerajaan pusat kerana menolak penggunaan dinar dan dirham itu.

“Ini tindakan politik dan untuk mendapatkan sokongan politik yang kononnya nanti kerajaan Pusat tidak Islamik dan ini jelas untuk mengasak kerajaan Pusat dan perkara ini amatlah mendukacitakan kami,” katanya.

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak pula berkata hanya Bank Negara yang boleh mengeluarkan wang yang diiktiraf dan sah di negara ini.

Husam menjelaskan syor penggunaan dinar di Malaysia pernah dibuat ketika era kepimpinan perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad.

“Masa itu Datuk Seri Najib dan Datuk Seri Mustapa ada dalam Kabinet beliau manakala Datuk Awang Adek di Bank Negara.

“Apakah pendirian mereka ketika berada dalan Kabinet dan Bank Negara ketika itu? Apakah pendirian rasmi mereka ketika itu?” kata Husam.

Husam menjelaskan Kelantan tidak pernah memutuskan untuk menggantikan mata wang syariah ini dengan mata wang rasmi sedia ada di negara ini.

“Ia cuma diperkenalkan sebagai satu lagi cara lain untuk membuat transaksi urus niaga, bukannya menggantikan urusan mata wang sedia ada sama sekali.

“Kami hanya mengikut dasar yang telah dibuat era Tun Mahathir, mengapa mereka tidak membantah ketika itu, mengapa tidak bangun memberikan pandangan bahawa ia bercanggah dengan dasar kerajaan,” katanya.

Tambahan, Husam berkata, jika kerajaan pusat sanggup meluluskan lesen judi sukan yang bertentangan dengan agama Islam dan majoriti rakyat juga membantah, apakah salah bagi membenarkan penggunaan mata wang syariah.

“Mata wang syariah dinar emas dan dirham perak dibenarkan oleh Islam, mengapa ia dibantah oleh Najib, Mustapa dan Awang Adek?

“Apakah salahnya dengan mata wang dinar dan dirham, adakah ia haram? Saya tidak boleh melihat sebab mengapa hendak menolak kecuali atas alasan politik,” katanya lagi.

Selain itu menurut Husam, pada 27 Ogos 2009 Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Jamil Khir Baharom pernah mencadangkan penggunaan nilai dinar emas dalam perdagangan antara negara anggota Pertubuhan Persidangan Islam (OIC) perlu dikaji kembali dan diteruskan seperti yang pernah disarankan oleh Dr Mahathir.

“Sila lihat balik apa yang diperkatakan oleh Datuk Jamil Khir pada 27 Ogos 2009, kami amalkan apa yang mereka (kerajaan pusat) perkatakan. Mereka cakap, kami buat.

“Jadi, tidak salah menggunakan mata wang syariah dinar dan dirham,” kata Husam lagi dengan merujuk kepada kenyataan Jamil bahawa sistem kewangan dunia berasaskan wang kertas dan berlandaskan riba telah membawa kepada banyak kerosakan seperti kemiskinan, kerosakan alam sekitar, monopoli pengeluaran dan pengedarannya serta masalah lain seperti pengangguran, jenayah, maksiat dan kejatuhan moral.

Jamil juga berkata, ramai pakar ekonomi berpendapat dinar emas perlu diguna pakai kembali sebagai alat menyimpan nilai dan perantara pertukaran terutama dalam perdagangan antarabangsa kerana dinar emas terkenal dengan sifat stabil terhadap aktiviti spekulasi dan manipulasi.

Sehubungan itu, kata Jamil, beliau mengharapkan cadangan dan landasan yang dimulakan oleh Dr Mahathir bagi menggunakan nilai dinar emas dalam perdagangan antara negara-negara OIC akan dikaji kembali dan boleh diteruskan.

Saranan penggunaan dinar emas di negara ini telah dibuat oleh Dr Mahathir hampir 10 tahun yang lalu ketika krisis kejatuhan mata wang Asia pada 1997/1998.

Jamil berkata Tabung Haji dan Pusat Zakat juga sepatutnya meneliti penggunaan dinar emas sebagai asas dalam urusan dan aktiviti mereka.

“Banyak penulisan antarabangsa menekankan agar masyarakat kembali kepada penggunaan kewangan berasaskan emas, terdapat banyak hujah dalam soal ini... asasnya ialah nilai mata wang konvensional mudah rapuh, merosot berbanding emas,” kata Husam lagi.

Husam juga berkata jika tindakan membeli ketulan emas dibolehkan, yang dibenarkan oleh undang-undang, kerajaan negeri juga mendapati tidak salah untuk menggunakan dinar dan dirham yang datang dalam bentuk kecil berbanding kepingan atau ketulan emas.

“Jadi tidak salah bagi rakyat biasa menggunakan duit dinar emas untuk tujuan urus niaga... misalnya, jika pembeli memiliki dinar emas dan dia mahu membeli lembu, maka atas prinsip sudi dan kesediaan, maka dinar perlu diwajarkan.

“Lagipun kerajaan juga adakalanya menggunakan sistem tukar barang dalam sistem perdagangan dengan negara lain, jadi apa salahnya jika dinar digunakan dalam situasi sedemikian,” katanya.

Husam berkata, tindakan pusat membantah tidak lebih daripada tindakan “anggap kucing sebagai harimau.”

“Mereka (kerajaan pusat_ takut pada kucing dinar yang ada di rumah, disangkakan harimau,” kata beliau.

No comments

Powered by Blogger.