Menteri Umno Jangan Besar Kepala, Benarkan Semua Rakyat Berpolitik

Dewan Pemuda PAS Wilayah Persekutuan (DPPWP) mengingkatkan Perdana Menteri Najib Tun Razak dan Menteri Pengajian Tinggi Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin agar tidak bersikap besar kepala dalam membicarakan isu membenarkan guru, pensyarah dan mahasiswa berpolitik.

Tindakan Menteri ini yang menolak saranan agar Pensyarah dan Mahasiswa dibenarkan berpolitik adalah satu tindakan primitif. Pakatan Rakyat selama ini telah memperjuangkan perkara ini dan kemudiannya di bangkit semula oleh Ketua Pemuda Umno, Khairy Jamaluddin. Walaupun yang bercakap itu adalah dari kalangan suku sakat mereka dalam Umno, namun Menteri Umno ini tetap berdegil dan dengan angkuh menganggapnya seperti ayam yang berkokok pula.

DPPWP mengingatkan Menteri Umno ini agar berpijak dibumi yang nyata. Politik adalah sebahagian dari kehidupan yang tidak boleh dipisahkan. Tindakan menghalang mana-mana pihak dari berpolitik adalah menyeleweng dari fitrah manusia.

Zaman Rasulullah saw dahulu, baginda dan para sahabat adalah pelajar, guru, pekerja dan pemimpin masyarakat. Jika membaca sejarah pemimpin-pemimpin dunia yang lain seperti Sultan Muhamad Al-Fateh, Abraham Lincoln, Mahatma Gandhi, Aung San Suu Kyi, Nelson Mandela, Tungku Abd Rahman dan ramai lagi, mereka semua juga adalah pelajar yang aktif dalam politik, dan dalam masa yang sama menjadi guru atau contoh teladan kepada generasi lain.

Tidak timbul isu atau sebarang masalah. Yang bermasalah hanya mereka yang tidak suka kepada idea mereka dan itulah yang berlaku dalam Kabinet Kerajaan yang dipimpin oleh Umno-BN hari ini. Mereka tidak boleh terima hakikat bahawa akan ada sebahagian besar pensyarah dan Mahasiswa yang menolak ideologi mereka dan menyokong Pakatan jika dibenarkan berpolitik. Ketakutan inilah yang menghantui mereka setiap detik dan waktu, kerana kebanyakan kuasa-kuasa besar yang zalim akhirnya tumbang dek kebangkitan kuasa politik pensyarah dan mahasiswa.

Politik adalah ilmu, tamadun dan kehidupan bagi manusia. Sekaligus ia menjadi suatu yang wajib untuk diterima dan tidak boleh dihalang. Menghalang perkembangan pengaruh dan pengetahuan politik dikalangan rakyat adalah satu tindakan yang barbarik dan tidak bertamadun.

DPPWP menyeru agar Kerajaan menghapuskan semua sekatan politik bagi rakyat sama ada bagi mereka yang bekerja di sektor Kerajaan, Pensyarah, Guru, Pelajar, Mahasiswa, dan seluruh rakyat. Setiap manusia yang diberikan akal yang waras mampu untuk mengumpul ilmu dan maklumat, membuat analisis dan membuat pilihan dalam hidupnya tanpa mengira berapa usia mereka. Pilihan dan tindakannya itu adalah aksi politik. Sama ada ia dibuat secara positif atau negatif semua itu adalah tindakan politik selagi ia dilakukan oleh manusia yang waras.

DPPWP kesal kerana diskriminasi politik yang dilakukan BN sejak sekian lama telah memberikan gambaran buruk kepada rakyat tentang politik. Kemurnian politik dicemarkan dengan halangan seperti Akta AUKU, Peraturan Tatatertib Kerajaan, ISA, Akta Mesin Cetak dan sebagainya. Itu semua memberikan gambaran seolah-olah politik itu kotor, tetapi dalam masa yang sama mereka sendiri bergelumang didalamnya.

DPPWP yakin, rakyat akhirnya akan sedar juga hak mereka. Malah kebelakangan ini semakin banyak desakan supaya BN menghormati hak setiap rakyat, yang bukan sahaja mahu mengundi tetapi mahu menyampaikan suara dan pandangan mereka. BN tidak selamanya boleh memperbodohkan rakyat. Kini orang-orang yang mula bersuara macam Khairy semakin ramai dalam Umno-BN, semakin ramai dalam agensi Kerajaan, semakin ramai dalam institusi pendidikan dan akhirnya mereka akan memberontak jika dihalang.

DPPWP mengajak Khairy untuk berjuang bersama PAS-Pakatan, kerana selagi dalam Umno suara beliau akan terus dihalang dan diperlekehkan oleh Menteri-menteri Umno yang bersatu untuk tidak melantiknya sebagai Menteri Kabinet sebelum ini.

Herman Samsudeen
Pemangku Ketua
Dewan Pemuda PAS Wilayah Persekutuan

[Sumber]

No comments

Powered by Blogger.