Takutkan Kuasa Mahasiswa, Umno-BN Kekal Larangan Berpolitik

Oleh Sidiqin Omar

SHAH ALAM 13 Ogos - Keputusan kerajaan Umno-Barisan Nasional mengekalkan larangan mahasiswa daripada menceburi politik dianggap sebagai tidak matang serta memperlekeh dan memperkecil peranan golongan mahasiswa di negara ini.

Sebaliknya kerajaan seharusnya menerima mahasiswa sebagai rakan kepimpinan dengan menghargai peranan mereka dalam proses menyuburkan sistem demokrasi di Malaysia.

"Kenyataan Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin kelmarin sangat menghina mahasiswa. Bagaimana seorang TPM boleh bertindak melulu, terus menutup pintu dan ruang perbincangan? Mengapa perlu halang mahasiswa terlibat dalam politik dengan alasan mahasiswa perlu fokus kepada kecemerlangan akademik," kata Yang DiPertua Persatuan Mahasiswa Islam Universiti Malaya, Ahmad Syazwan Hassan.

Ahmad Syazwan yang dipetik daripada kenyataannya di UM-Today.com semalam menyanggah pendapat Muhyiddin kerana tidak ada bukti selama ini aktivisme mahasiswa menjadi penghalang kepada kecemerlangan akademik.

Bahkan beliau turut menegaskan peranan mahasiswa adalah penting sebagai entiti strategik bagi membentuk hala tuju negara ini.

"Pindaan terhadap Seksyen 15 Akta Universiti dan Kolej Universiti (Auku) kepada peruntukan yang lebih terbuka dan memberikan lebih kebebasan kononnya, memperlihatkan sikap kerajaan yang masih lagi bersifat acuh tidak acuh dalam menangani isu ini. Seharusnya mereka bersifat lebih matang," tambah Ahmad Syazwan.

Minggu lalu, dalam sebuah slot rancangan 'Soal Jawab' di TV3 yang menampilkan Timbalan Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Saifuddin Abdullah dan bekas Naib Canselor Universiti Teknologi Mara (UiTM), Tan Sri Ibrahim Abu Shah, membincangkan mengenai kewajaran kepada mahasiswa untuk berpolitik.

Timbalan Menteri itu menampakkan sikap yang lebih terbuka berhubung kuasa autonomi yang dimilki mahasiswa, bahkan dengan usul untuk memansuhkan terus Auku berbanding dengan Irahim yang terlalu pro-Umno-BN.

"Saya yakin, walaupun mahasiswa dibenarkan berpolitik, mereka nantinya lebih suka bersikap non-partisan. Mereka akan lebih tertarik dengan politik ilmu, dan bukannya politik ampu, politik hikmah, bukannya politik fitnah," kata Saifuddin dalam rancangan tersebut.

Bahkan beliau tidak bersetuju dengan pendekatan keras dengan menggunakan kaedah undang-undang seperti yang sering diamalkan pentadbir universiti ketika menangani konflik dalam kampus.

Bagi Saifuddin, jika mahasiswa dibenarkan menjadi ahli pertubuhan politik, tiada syarat tambahan perlu dikenakan kerana peraturan sedia ada di luar perimeter kampus sudah memadai.

Pandangan tersebut turut dikongsi Pengerusi Solidariti Mahasiswa Malaysia (SMM), Shazni Munir Mohd Ithnin yang hairan dengan kewajaran yang diberikan oleh kerajaan kerana membenarkan warganegara yang berumur 21 tahun ke atas untuk mengundi, namun dalam masa yang sama tidak membenarkan pula mereka berpolitik semata-mata hanya kerana status mereka sebagai mahasiswa.

"Kami kecewa dengan keputusan Kabinet yang tidak membina (semangat) mahasiswa, sebaliknya lebih bersifat untuk membunuh semangat mahasiswa. Jadi kepada mereka yang tidak menjadi mahasiswa, mereka lebih beruntung kerana ketika berumur 21 tahun, mereka bebas terlibat dengan politik," kata Shazni kepada Suara Keadilan.

Shazni menjelaskan hasrat kerajaan untuk menjadikan mahasiswa sebagai agen intelektual akan gagal, sekiranya pelbagai kekangan dan sekatan dikenakan terhadap mereka.

Tambah beliau, mahasiswa adalah pelaburan besar dan pulangannya adalah agar mereka berbakti semula kepada rakyat dan negara.

No comments

Powered by Blogger.