Selangor Pelopor "Merakyatkan Proses Membuat Dasar"

Oleh Sidiqin Omar

SHAH ALAM 13 Ogos - Langkah mewartakan Akta Kebebasan Maklumat 2010 di Dewan Undangan Negeri Selangor baru-baru ini mencerminkan komitmen Kerajaan Negeri Pakatan Rakyat Selangor dalam usaha untuk memberi ruang kepada rakyat dalam proses pembentukan dasar kerajaan negeri.

Selepas bacaan pertama dan kedua dalam persidangan Dewan Negeri Selangor pada Julai yang lalu, kini prosedur mewartakan undang-undang berkenaan akan melalui proses rundingan awam, penyelidikan dan kajian melalui Jawatankuasa Pilihan Khas.

"Sesi yang diadakan ini adalah permulaan bagi menyatakan komitmen jawatankuasa ini untuk "Merakyatkan Proses", untuk melibatkan proses ini dengan pelbagai lapisan masyarakat dan metodologinya masih terbuka. Skopnya akan diperluaskan melibatkan pihak berkuasa tempatan (PBT) dan juga syarikat berkaitan kerajaan (GLC)," kata pengerusi jawatankuasa berkenaan, Saari Sungib pada Perbincangan Bersama Jawatankuasa Pilihan Rang Undang-undang Kebebasan Maklumat Negeri Selangor 2010 di Bilik Gerakan, Bangunan Annex pagi semalam.

Antara pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang hadir dalam perbincangan tersebut termasuk Pusat Kewartawanan Bebas (CIJ), Majlis Peguam, Suara Rakyat Malaysia (Suaram), Kesatuan Kebangsaan Wartawan (NUJ) dan Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia.

Kerajaan negeri diwakili Ahli Dewan Undangan Negeri Subang Jaya, Hannah Yeoh, ADUN Seri Setia, Nik Nazmi Nik Ahmad, ADUN Batu Caves, Amirudin Shari, ADUN Sijangkang serta Dr Ahmad Yunus Hairi.

Wakil pembangkang pula diwakili ADUN Tanjung Sepat, Datuk Dr Karim Mansor dan ADUN Kuang, Abdul Shukor Idrus.

Namun mereka tidak hadir pada perbincangan yang diadakan.

Pengarah Eksekutif CIJ, Gayathri Venkiteswaran antara lain menekankan mengenai piawaian keselamatan dan kerahsiaan terhadap pemberi maklumat bagi menjamin keselamatan dan informasi mengenai pemberi maklumat.

"Apakah mekanisme yang boleh dicipta bagi melindungi pemberi maklumat? Ini kerana boleh jadi akan wujud ancaman kepada mereka. Ini adalah kerana Rang Undang-undang tersebut akan turut terpakai kepada semua termasuk pihak berkuasa tempatan (PBT), syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dan syarikat berfungsi awam seperti Syabas (Syarikat Bekalan Air Selangor)" kata Gayathri.

Wakil Majlis Peguam, Lee Chee Wee pula membawa persoalan berkenaan aspek undang-undang, sama ada semasa mahupun selepas mana-mana keputusan berkenaan permohonan bagi akses kepada maklumat.

"Apa yang digusarkan adalah perimeter atau had kuasa enakmen negeri ini, sama ada boleh dipintas oleh kerajaan pusat misalnya dengan Akta Rahsia Rasmi 1972. Bagaimana pula dengan sekiranya berlaku penolakan permohonan oleh jawatankuasa ini terhadap permohonan? Adakah akan ada Lembaga Rayuan, dan siapakah jawatankuasanya?" soal Chee Wee.

Manakala penyelaras Suaram, Moon Hui menegaskan adalah menjadi hak setiap warganegara untuk mempunyai akses ke atas maklumat.

"Kami berpendapat garis panduan bagi meminda enakmen Akta Kebebasan Maklumat tersebut, boleh merujuk kepada Deklarasi Hak Asasi Manusia Sedunia," jelas beliau.

Selepas lebih dua jam perbincangan, jawatankuasa berkenaan akan menetapkan tarikh baru bagi menyambung semula diskusi untuk meneliti kertas cadangan dan pandangan langsung daripada panel NGO yang dijemput.

No comments

Powered by Blogger.