Tarikh Pilihan Raya Dan Perang Badar

Mutakhir ini, tekanan semakin memuncak. Bukan sahaja surat khabar oposisi yang tidak diperbaharui permit penerbitan, serangan terhadap negeri-negeri Pakatan Rakyat juga bertali arus, bahkan, polis anti rusuhan (FRU) juga kembali ditunggangi bagi menggagalkan program parti.

Bahang sebegini lazimnya menandakan bahawa Pilihan Raya Umum (PRU) semakin hampir. Cakap-cakap mengenai pilihan raya sudah kedengaran.

Orang mula bertanya, bila tarikhnya? Apakah akan diadakan hujung tahun ini juga?

Kaedah merahsiakan ‘tarikh pertempuran’ adalah cara berperang pasukan yang tidak demokratik. Sejak zaman dulukala, adalah sesuatu yang lazim bahawa tarikh pertempuran ditetapkan awal dengan persetujuan kedua-dua pasukan yang bertempur. Tidak ada serangan hendap.

Peraturan asas sedemikian langsung tak dipedulikan oleh pemerintah; hanya Perdana Menteri sahaja yang tahu bila PRU akan diadakan sehingga sebelum tarikh tempoh lima tahun.

Dengan itu, beliau bertindak seolah-olah seperti hakim sedangkan beliau sendiri juga terlibat di dalam pertempuran.

Bukan pertama kali disuarakan hal ini serta perlunya rombakan segera agar tarikh PRU dapat ditentukan awal oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dengan jarak waktu yang cukup munasabah.

Mengambil contoh United Kingdom (UK) yang juga mengamalkan sistem demokrasi ’Westminster’, lazimnya tempoh pemerintahan bagi sesebuah parti itu digunakan sehingga tamat penggal; tidak seperti di Malaysia di mana hampir tidak pernah berlaku PRU diadakan seraya tamat penggal 5 tahun.

Begitu juga amalan di negara banyak negara lain termasuk di Amerika, Filipina bahkan di Indonesia sekalipun.

Hanya di negara otoritarian dan kuku besi sahaja hak membubarkan parlimen dan Dewan Rakyat oleh PM digunakan sebagai serampang dua mata, iaitu sekali gus untuk menetapkan tarikh pilihan raya pula.

Dengan kesedaran dan latar inilah, negeri Pakatan Rakyat, khususnya Selangor mengorak langkah berani dan progresif. Kerajaan negeri mempunyai hak untuk menentukan tarikh pilihan raya peringkat negeri dan tidak semestinya terikat dengan tarikh yang ditentukan oleh Putrajaya.

Sementara itu, kita tidak hanya mengkritik. Dengan berani Selangor tanpa ragu akan mengumumkan tarikh pilihan raya enam bulan lebih awal agar semua parti yang mahu menyertai PRU, dapat mempersiapkan diri dan mempunyai waktu kempen yang cukup.

Bagi KEADILAN, bahkan Pakatan Rakyat keseluruhannya, kita tidak gentar dan cukup arif dengan taktik kotor musuh. Meski dengan kekuatan yang jauh lebih kecil berbanding parti lawan, sepanjang masa program rancak diatur, termasuk menjelang Ramadan yang bakal muncul.

Ibadat puasa bukan halangan kepada perjuangan, malah bagi umat Islam sering diperingatkan bagaimana pernah berlakunya pertempuran yang dikenali sebagai Perang Badar; berlaku pada tahun kedua Hijrah. Tercatat bahawa tentera yang bersama Nabi Muhammad SAW hanya sekitar 300 orang sedangkan tentera Quraisy diriwayatkan seramai seribu orang.

Menjelang senja dan masuknya waktu berbuka puasa, perang pun usai dengan kemenangan di pihak Nabi. Dengan tentera dan kekuatan yang jauh lebih kecil inilah, maka diperingatkan Quran mengenainya di dalam surah Ali Imran ayat 123: “Sungguh Allah telah menolong kamu dalam perperangan badar, Padahal kamu adalah orang-orang yang lemah. Karena itu bertaqwalah kepada Allah supaya kamu mensyukuri Nya”.

Sebagai pejuang keadilan, kita tidak boleh sedetik pun leka meskipun pada saat-saat kita diseru untuk menunaikan ibadah di bulan yang penuh barakah ini.

Selamat berpuasa.

No comments

Powered by Blogger.