Setiap Warga Adalah Bangsa Malaysia - Dulu, Kini Dan Selamanya

Dalam keadaan biasa, penyokong-penyokong Umno-BN akan berarak di seluruh pelosok negara dan gegak gempita mengutuk kenyataan sumbang yang mengatakan sistem politik di negara ini dibina atas amalan penipuan dan perampokan hak rakyat.

Bagi mereka, negara ini tegak berdiri atas falsafah dan amalan politik yang luhur sebab itu rakyat terus menerus menyokong Umno-BN untuk memerintah Malaysia sudah lebih lima puluh tahun.

Bagaimanapun, yang membuat dakwaan ini bukan orang biasa. Sebab itu, reaksi kepada tuduhan yang tidak sealiran dengan selera politik Umno-BN pun dilihat agak luar tabii politik mereka.

Bagi kita, baik yang membuat tuduhan dan pihak yang terjejas - Umno-BN - mempunyai matlamat politik yang sama, iaitu bersandiwara seolah-olah dalam seberkas parti politik bernama BN tidak semuanya antah; ada yang boleh dijadikan beras untuk menyambung hayat politik Umno-BN!

Lantas, tuduhan bekas Naib Presiden Umno yang juga mantan Menteri Kewangan, Tengku Razaleigh Hamzah adalah lanjutan ikhtiar entiti politik itu untuk meyakinkan rakyat bahawa ia masih relevan dan diperlukan dalam sistem politik dan ekonomi negara.

Meskipun kita perlu mengaku bahawa kenyataan Tengku Razaleigh itu agak berani kerana ia mungkin akan melonglaikan sendi politik Umno-BN tetapi kita percaya ia tidak akan meninggalkan kesan kepada perimbangan politik Umno-BN sendiri.

Ini kerana walaupun nada dan susuk tuduhan itu agak berbahaya kepada kewibawaan Umno-BN, ia masih boleh dianggap sebagai ucapan rajuk adik-beradik dalam Umno. Carik-carik bulu ayam lama-lama bercantum juga.

Rajuk Tengku Razaleigh kerana tidak diberikesempatan dan tempat yang difikirkannya wajar dalam parti kesayangannya - Umno. Malah dalam beberapa insiden politik beliau malah dianiaya oleh beberapa kerat pemimpin dan blok dalam parti itu.

Kita lihat percubaannya untuk menawarkan diri menjadi pemimpin utama dalam parti dikhianati oleh amalan politik parti itu sendiri.

Ini buat beliau tidak selesa dengan arahtuju pemimpin-pemimpin Umno hari ini dan cuba menarik perhatian untuk warga Umno meneliti bakat dan wawasan politiknya.

Namun tindakan beliau itu kita yakin tidak mudah malah mungkin mustahil difahami oleh kerabat Umno yang dituduhnya membina sistem politik yang bersandarkan penipuan dan songlap ekonomi negara.

Bagi kita betapa berat sekalipun tuduhan Tengku Razaleigh itu, ia tidak mungkin mendapat perhatian rakyat.

Ini kerana ucapan di seminar untuk bakal pemimpin masa depan itu tidak mungkin melebar ke pengetahuan umum. Sebab, seperti lazimnya, pandangan yang bersilang dengan amalan politik Umno-BN tidak mungkin mendapat perhatian media arus perdana.

Lantas, idea yang bening dan jujur tidak akan dapat difahami, apatah lagi dihayati oleh rakyat umumnya.

Seharusnya jika Tengku Razaleigh jujur dengan pandangannya itu, beliau wajar mengumpul kudrat dan memperkasa iltizam untuk merobohkan kepalsuan sistem politik sedia ada. Malangnya, beliau terus memilih untuk membuat kenyataan-kenyataan pedas hanya untuk menonjolkan kehadirannya dalam parti yang beliau sendiri anggap menjadi paksi kebobrokan sistem politik Malaysia hari ini.

Mungkin perumpamaan lempar batu sembunyi tangan tidak tepat untuk menyimpulkan kenyataan Tengku Razaleigh ini kerana beliau tidak bersembunyi selepas melontar kritikan terhadap Umno-BN.

Bagaimanapun natijah daripada kenyataannya itu bagi kita, dilontarkan kepada masyarakat hanya sekadar untuk mengingatkan partinya bahawa beliau masih berada dalam jemaah mereka dan sekali gus menawarkan harapan bahawa beliau boleh dan mahu membuat perubahan.

Namun isyarat yang diberikan kepada partinya itu tidak mungkin mendapat perhatian yang beliau harapkan kerana memang menjadi budaya Umno-BN untuk mengalihkan pandangan kepada isu lain jika ada kenyataan yang mungkin menjarakkan mereka dari pusar kepemimpinan parti.

Jika mereka merenung, menimbang dan bertindak mengikut pemikiran yang berbeza dengan pemikiran dan amalan kepemimpinan parti, pasti mereka akan terpelanting dan dibuang jauh daripada kemungkinan dipilih menjadi pemimpin. Maka berterusanlah penipuan dan perompakan harta rakyat oleh Umno-BN.

Tengku Razaleigh pasti sedar bahawa lanskap politik negara sudah berubah. Jika beliau benar-benar mahu perubahan atau reformasi politik berlaku ke arah yang membawa kebaikan kepada rakyat, beliau seharusnya tidak perlu malu untuk mengatakan bahawa Umno-BN sudah tidak relevan lagi dan tidaklah tersipu-sipu cuba berkias kononnya pada suatu masa dahulu semua warga Malaysia adalah berbangsa Malaysia.

No comments

Powered by Blogger.