Ahli terus, di mana MCA dan MIC?

Selena Tay


Baru-baru ini, BN telah meluluskan keahlian terus kepada orangramai untuk menyertai BN tanpa menyertai mana-mana komponen BN seperti Umno, MCA dan MIC. Ini mewujudkan persepsi kepada orangramai bahawa BN semakin terbuka demi menyemarakkan konsep 1Malaysia.

Tetapi penulis berpendapat bahawa hasrat Umno (ya, Umno ialah BN dan BN ialah Umno) sebenarnya ialah untuk mendapat sokongan dan dokongan rakyat dengan sekaligus terus memberi kuasa muktamad kepada Perdana Menteri Najib Razak untuk membuat keputusan mengenai keahlian. Dengan ini, Najib akan terus mendapat kuasanya dari ahli-ahli yang menyertai secara keahlian terus sebab ahli-ahli yang menyertai secara keahlian terus adalah seolah-olah dibawah bidangkuasa Najib.

Pada masa yang sama kuasa parti komponen yang lain seperti MCA dan MIC akan dikurangkan kerana Umno tidak perlu lagi bergantung kepada mereka untuk merekrut ahli baru ke dalam BN. Justeru itu, ini merupakan tamparan yang hebat kepada MCA dan MIC yang kuasa mereka semakin terhakis tetapi adakah mereka sedar akan hal ini dan terus mendiamkan diri untuk membodek Umno? Sudah jelaslah jawapannya.

Dengan jumlah ahli yang akan bertambah disebabkan oleh ramai NGO Melayu yang akan menyertai BN untuk menguatkan BN, Najib pun dengan cepat akan mengumumkan Pilihanraya Umum Ke-13 (PRU-13).

Program-program transformasi dan ekonomi yang dilancarkan oleh Kerajaan BN seperti ETP (Economic Transformation Programme), GTP (Government Transformation Programme) dan NEM (New Economic Model) semuanya memakan masa yang lama untuk menampakkan apa-apa hasil. Oleh itu, adalah bijak untuk BN mengadakan PRU-13 dengan cepat sebelum rakyat di bandar yang pandai menggunakan internet membuat bising bahawa program-program transformasi dan ekonomi ini nampaknya tidak berapa berhasil pun.

Penulis berpendapat kerajaan BN ingin cepat mengadakan pilihanraya umum sebab rakyat masih belum bangun dari tidur lagi contohnya rakyat di kampung dan kawasan pendalaman seperti di Galas dan Batu Sapi. Itulah tandanya BN semakin goyah sebab tidak berani dan tidak yakin untuk mengadakan pilihanraya umum setelah rakyat bangun dari tidur. Ya, strategi BN adalah cerdik dan Pakatan mestilah bersedia untuk menangani strategi ini supaya tidak terperangkap dengan tiba-tiba.

Sebuah akhbar harian Inggeris tempatan pada awal minggu ini ada menyiarkan ramalan seorang pakar feng shui yang meramalkan bahawa PRU-13 akan diadakan sebelum bulan Mei tahun depan. Walaupun penulis bukan pakar feng shui, penulis berani meramalkan bahawa PRU-13 akan diadakan diantara 10hb Mac hingga 31hb Mac tahun depan sebab penulis telah menjadi pemerhati politik lebih dari dua dekad.

Selain dari faktor keahlian terus dan faktor ekonomi, satu lagi faktor yang menunjukkan bahawa BN semakin goyah ialah hasrat kerajaan BN untuk menggubal undang-undang hasutan untuk merangkumi dunia siber.

Adakah kerajaan BN berhasrat untuk mengekang minda rakyat yang celik menggunakan internet dengan memperkenalkan undang-undang siber yang kononnya akan dilaksanakan untuk menghentikan hasutan di dunia siber?

Perkara ini timbul sebab bloger-bloger pro-BN telah kalah apabila berdebat dengan bloger-bloger pro-Pakatan di dunia siber. Bloger-bloger pro-BN sering berdebat dengan menggunakan kata-kata yang kasar, kesat, biadab dan rasis. Oleh itu masyarakat umum sudah tidak dapat menerima hujahan bloger-bloger pro-BN. Kerajaan BN merasa goyah dengan hujahan bloger-bloger pro-Pakatan yang berdebat dengan idea yang bernas, bukti yang kukuh dan bersopan pula. Demi ingin terus berkuasa di Putrajaya, BN pun hendak mengawal minda penduduk bandar yang mempunyai akses internet.

BN juga tahu bahawa Pakatan Rakyat tidak mempunyai dana dan oleh itu berhasrat untuk mengadakan PRU-13 dengan secepat mungkin untuk melakukan satu 'quick kill'. Tanpa dana, cetak banner pun susah apa lagi mahu dikatakan?

Penulis ingin menggesa semua parti komponen Pakatan Rakyat supaya dengan segera mengorak langkah untuk mendapatkan dana. Juga semua penyokong dan pendokong Pakatan Rakyat mesti berusaha jimatkan wang mulai hari ini supaya boleh menderma kepada PAS, DAP dan PKR dalam bulan Mac 2011 nanti.

Masa dah suntuk! Pakatan Rakyat mesti memulakan persiapan dari saat ini juga!
-----------------------------
Penulis adalah ahli Dewan Himpunan Penyokong PAS.

No comments

Powered by Blogger.