Antara perang perkauman dan kelas

Catatan Menara

Jika Najib Razak bijak, pandai merebut peluang dan terbuka dengan sejarah haluan kiri, maka dalam kunjungan PM India Manmohan Singh ke Brickfield sempena 'Little India', beliau boleh minta Laluan Warisan dibuat untuk Dr Burhanuddin al-Hulaimy di India kerana tokoh pejuang itu memang akrab dengan perjuangan merdeka di sana.
Apa salah, kalau ada Little India di Malaysia, maka Najib minta Manmohan beri laluan warisan untuk Dr Burhanuddin Al-Hulaimy, Ahmad Boestamam di Mumbai, Lucknow atau di mana-mana persinggahan tokoh pimpinan PKMM dan Presiden PAS itu di India?



Oleh H FANSURI

Orang yang tidak menggali sejarah dan sastera akan hilang jiwa halus, seni berfikir halus. Itu rumusan ke atas kenalan yang merungut sikap rakyat yang menurutnya telah mengangkat pemimpin luar.

"Ada tokoh tempatan yang patut dikenang," katanya ketika mengulas pembinaan 'Sun Yat Sen Heritage Trail' (Laluan Warisan Sun Yat Seng) di Pulau Pinang.

Katanya, rakyat China berhak agungkan pemimpin tokoh itu dan beliau tidak menolak jasa Dr Sun Yat Sen.

"Tapi apa kaitan Dr Sun dengan sejarah kita? Hanya kerana dia pernah ke sini, maka dikenangkan pemimpin luar sehingga membina 'Laluan Warisan' untuknya?" soalnya lagi.

Lalu beliau syor agar dibuat 'laluan warisan' untuk tokoh bukan Melayu tempatan; Tan Cheng Lok, Yuen Yuet Leng, Yap Ah Loy, Yap Ah Shak.

MASJID CHENG HO

Di Terengganu tidak lama dahulu, Persatuan Cina Muslim Malaysia (Macma) pernah rancang penubuhan Masjid Cheng Ho di. Cheng Ho (Zheng He) diterima sebagai saudara muslim oleh Melayu walaupun beliau bukan menetap di sini.

Buku 'Ying La Shen Lan' (Pemandangan Indah di Seberang Samudera) oleh Ma Huan menyebutkan bahawa Cheng Ho mengetuai pelayaran ke Terengganu antara 1413 hingga 1415.

Manakala 'Xing Cha Sheng Lan' (Menikmati Pemandangan Indah Dengan Rakit Sakti) oleh Fei Xin mencatatkan armada itu disertai 27,800 orang (lebih 200 buah kapal). Armadanya singgah di laut Kuala Terengganu dan anak kapalnya masuk ke Sungai Terengganu.

Anak kapalnya kemudian singgah mengambil air di Kampung Jeram, Sg Nerus lalu mereka terpesona dengan pemandangan alamnya.

Kata orang, sebab itu ada tokong 'Sam Poh Kong' sebagai memperingati kedatangan rombongan itu. Maka, hasrat pembinaan Masjid Cheng Ho adalah bertujuan memperingati bahawa Islam juga adalah antara agama nenek moyang orang Cina di sini.

DUA WATAK BERGABUNG DALAM CHENG HO, SUN YAT SEN, YAP AH SHAK DAN YAP AH LOY

Oleh kerana rakan itu terlanjur menyebut nama Yap Ah Loy dan Yap Ah Shak yang wajar dikenang sebagai bahagian sejarah negara ini (konon perlu ada laluan warisan untuk Ah Shak dan Ah Loy), maka saya menyebut jangan dilupa Cheng Ho dan Sun Yat Sen.

Ah Loy dan Ah Shak adalah saudagar kapitalis yang menetap di sini. Ini berbeza dengan Sun Yat Sen dan Cheng Ho; iaitu pemikir dan jaguh pejuang juga ahli pelayaran yang singgah di Tanah Melayu.

Muslimin Melayu terima Cheng Ho atas dasar Muslimin itu bersaudara. Maka selesai hal Cheng Ho kerana beliau muslim. Tapi kita sukar terima Sun Yat Sen atas nama pejuang, sebaliknya watak kecinaan China beliau yang dilebihkan.

Ah Loy, Ah Shak adalah Cina kapitalis di negara ini. Jika ditakdirkan mereka bukan menetap di sini, mungkin kita menolak. Cheng Ho itu Cina berjalur darah keturunan Arab dan bersanad darahnya dengan Rasulullah s.a.w. Sun Yat Sen mungkin bersanad darah dengan keluarga Sun Tze (keluarga Sun), pengarang kitab seni peperangan Cina, The Art of War.

Ahli keluarga 'Sun' terhitung sebagai bijak pandai. Lagenda 'Journey to the West' menyebut nama Raja Monyet sebagai Sun Wukong; pengawal sami Buddha yang mencari kitab pedoman hidup.

Keluarga Yap (Ah Loy, Ah Shak) adalah saudagar kapitalis sementara keluarga Sun (Sun Yat Sen, Sun Tze dan Sun Wukong) adalah kelompok failasuf pendeta, pejuang dan tokoh revolusioner.

Imam Ali k.w disoal antara beza ilmu pendeta dan harta saudagar. Maka, ilmu lebih baik berbanding harta. Ali menjawab dengan 10 jawapan berbeza. Kata Ali, "Kalau ada lagi soalan yang sama seperti ini, nescaya aku menjawab dengan berbeza-beza lagi."

BEZA KELUARGA YAP DAN KELUARGA SUN

Sekali lagi selain watak mereka mereka sebagai Cina dari China, keluarga 'Yap' (merujuk Ah Loy dan Ah Shak) adalah saudagar kapitalis sementara keluarga 'Sun' adalah kelompok pendeta, pejuang dan revolusioner.

Di hujung Jalan Raja Abdullah (Kg Bharu) yang berdekatan Jalan Yap Ah Shak, maka kita dapat melihat keriuhan Saturday Night Fever hingga 3 pagi ketika kegiatan 'clubbing' mula berakhir.

Undang-undang membenarkan 'clubbing' hingga 3 pagi. Jika berlarutan, maka pemilik premis perniagaan didenda. Semua pengunjung dari Iran, Arab, Venezuela, Mexico, Mongolia termasuk Melayu akan rebah mabuk-mabuk dan bergaduh merebut wanita dan entah apa lagi pertaruhan. Mereka liar!

Soalan buat rakan yang bantah laluan warisan Sun Yat Sen itu, mungkin ini jasa saudagar Ah Shak yang lebih layak dianugerah laluan warisan itu berbanding Sun Yat Sen?

LALUAN WARISAN AL-HULAIMY, BOESTAMAM PERLU ADA DI INDIA

[Dr Sun Yat Sen] Jika Najib Razak bijak, pandai merebut peluang dan terbuka dengan sejarah haluan kiri, maka dalam kunjungan PM India Manmohan Singh ke Brickfield sempena 'Little India', beliau boleh minta Laluan Warisan dibuat untuk Dr Burhanuddin al-Hulaimy di India kerana tokoh pejuang itu memang akrab dengan perjuangan merdeka di sana.

Ahmad Boestamam (Abdullah Thani Raja Kechil) pula menyandarkan namanya dengan pemidato India; Subhas Chandra Bose. Nama Bose itu menjadikannya Boestamam. Betapa PKMM, Melayu haluan kiri sudah lama bersikap terbuka. Tapi, Najib peduli apa itu semua?

Ada empat sebab kenapa Najib tidak bijak. Pertama nama tokoh pejuang kiri tiada dalam fikiran Najib. Kedua, untuk apa hargai perjuangan kiri? Ketiga, nawaitu Najib untuk 'Little India' cuma sekadar memukat undi kaum India dalam pilihan raya. Keempat, Najib tidak kreatif, lumpuh cacat berpolitik 'give and take'.

Apa salah, kalau ada Little India di Malaysia, maka Najib minta Manmohan beri laluan warisan untuk Dr Burhanuddin Al-Hulaimy, Ahmad Boestamam di Mumbai, Lucknow atau di mana-mana persinggahan tokoh pimpinan PKMM dan Presiden PAS itu di India?

Hal perkauman lebih jelas berbanding melihat watak seseorang sebagai failasuf pendeta, kelas saudagar kapitalis. Al-Quran tidak menghebahkan perkauman sebagai isu besar. Disebutkan, insan dijadikan berbangsa-bangsa untuk saling berkenalan.

Dalam masa sama, Al-Quran timbulkan hal perang kelas atasan (mustakbirin) yang menindas kelas marhaen bawahan (mustadh'afin). Ini perang antara kelas; kelas atasan menindas kelas bawahan.

Agar saudara memahami maksud ini, mari cari jawapan ke atas soalan ini - "Jika Cina cukong kapitalis mengambil tanah petani Melayu marhaenis yang miskin melarat, maka adakah ini 'perang perkauman' atau 'perang kelas'?"

Dalam bahasa lebih mudah, adakah kita menyatakan Cina rampas tanah Melayu? Atau, si kaya rampas tanah miskin? Jawapan ke atas soalan ini akan tentukan kalah menangnya Umno dan BN di negara ini.

Sun Yat Sen ada jasa dalam tempias pembangunan akliah yang tidak sama dengan Ah Loy, Ah Shak yang boleh dilihat mata kepala (pembangunan lahiriah). Ruangan sempit ini tidak boleh memuatkan jasa Dr Sun.

Seperti tempias fikiran dan pidato Bose, Nehru dan Gandhi yang mencurah ilham buat dasar perjuangan Al-Hulaimy dan Boestmamam untuk menuntut kemerdekaan, seperti itu jugalah jasa fikiran Dr Sun di negara ini yang tidak dapat dilihat mata anggota.

Jasa Sun Yat Sen, Nehru, Bose dan Gandhi cuma dicerap nilaiannya lewat juri hakim di mata budi dan mata hati. Yang beraja di mata dan bersultan di hati akan berkata, untuk apa ini semuanya?

No comments

Powered by Blogger.