Anwar Tidak Akan Tunduk Desakan Zaid

KUALA LUMPUR, 9 Nov (Bernama) -- Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR) Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata beliau tidak akan tunduk terhadap desakan Datuk Zaid Ibrahim yang memintanya berundur daripada parti itu dan menyifatkannya sebagai satu pandangan peribadi.

Bagaimanapun, katanya beliau sedia mempertimbangkan perkara itu sekiranya ada desakan daripada pemimpin parti tersebut yang mahu beliau berundur daripada PKR.

"Itu pandangan dia (Zaid). Namun jika ada konsensus daripada kalangan pimpinan saya akan pertimbangkan tetapi dalam perkara ini tidak pernah saya dengar lagi. Ini kali pertama kali saya dengar daripada Zaid," katanya kepada pemberita di lobi Parlimen di sini hari Selasa.

Zaid yang juga bekas Pengerusi PKR Wilayah Persekutuan dalam sidang medianya hari ini menggesa Penasihat PKR itu dan Naib Presiden parti Mohamed Azmin Ali berundur kerana merekalah punca segala masalah dalam parti.

Bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri itu berkata pandangan tersebut disuarakan bagi memastikan PKR terus relevan sebagai sebuah parti pembangkang dengan berkesan.

Anwar juga meminta Zaid supaya mengemukakan ketidakpuasan hatinya berhubung proses pemilihan parti itu kepada jawatankuasa pemilihan serta jawatankuasa disiplin parti tersebut.

Beliau berkata aduan yang dikemukakan itu akan diteliti dan disiasat secara terperinci dan sekiranya dakwaan yang dikeluarkan Zaid sebelum ini adalah benar, maka tindakan selanjutnya akan diambil.

No comments

Powered by Blogger.