Aspan, Khairy Dan Zaid Ibrahim

TAHNIAH Aspan Alis dan isteri Raja Norzila atas anugerah Allah mendapat menantu baru dan majlis sambutannya malam tadi. Majlis itu sungguh meriah dan bersejarah buat mereka sekeluarga. Sejarah dan kemeriahan itu juga turut dikongsi oleh lebih 1,500 tetamu baik yang ada kelas ataupun dari hamba rakyat biasa dan tidak ada nama.

Aspan berjaya menjadi majlis kenduri itu sebagai medium penghubung. Ramai kawan-kawan beliau yang sama-sama berjuang dalam Umno, Semangat 46 dan kini dalam Umno kembali ataupun yang sudah hilang kepercayaan kepada Umno, hadir. Inilah kehebatan Aspan berjaya mengumpul dan menyatukan kekawan lama dalam satu majlis segemilang itu. Calang-calang orang boleh berbuat begitu.

Boleh dikatakan hampir semua kawan dalam bekas parti Semangat 46 dijemput, dan hadir yang mana ianya diketuai sendiri oleh bekas Presidennya, Tengku Razaleigh Hamzah. Hampir semua meja Vip dipenuhi kekawan lamanya yang sama-sama berjajan berjuang. Cuma yang tidak kelihatan katanya dijemput para pemimpin tertinggi Umno dan Pas saja. DAP dan parti Cina lain tentulah tidak dijemput kerana majlis itu beradat istiadat Melayu sepenuhnya.

Melihat kepada wajah tetamunya ternyata Aspan berkawan dan bersahabat dengan semua orang tanpa mengira ideologi politik. Ideologi politik tidak memisahkan peribadi Aspan dengan kawan yang memiliki ideologi yang berbeza dengannya. Baginya politik hanya satu hobi atau permainan di luar kehidupan sebenar. Sebab itu saya nampak Aspan sendiri tidak yakin dengan corak politik Malaysia, khasnya politik Melayu.

Kalau dilihat kepada Aspan peribadinya tidak menyakinkan. Wajah, stail hidupnya ringkas. Cakapnya juga 'berus' dan suka berlawak. Rambutnya seperti tidak pernah diurus dan beliau tidak pernah kenal apa itu sikat. Namun keistimewaan dia memilik prinsip yang utuh dan mapan.

Kalau dilihat kepada usia hidup dan perjuangannya Aspan sudah lama patut jadi menteri atau sekurang-kurangnya wakil rakyat. Dengan pengalaman, komitmen dan jati diri yang kuat, beliau patut menjadi pemimpin. Ternyata idealismenya melebihi sesetengah menteri yang ada hari ini.

Tetapi malangnya kerana beliau kekurangan daya bodek dan kuasa ampu, menyebabkan peluang itu tertutup buatnya. Dengan mengambil kira apa yang berlaku ke atas Aspan itu bolehlah dianggap semua wakil rakyat termasuk yang jadi menteri kini dulu dan selamanya mempunyai daya bodekan yang kuat dan kuasa ampu yang hebat.

Majlis itu meriah dan bersejarah kerana ia dihadiri oleh Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Ibni Almarhum Tuanku Munawir. Kesediaan Tuanku Muhriz mencemar duli itu menunjukkan siapa sebenarnya Aspan. Beliau tentu mempunyai hubungan baik dan memiliki intergriti dengan istana. Tentunya...

Apapun bila mengimbau dan berbicara soal tetamu Aspan malam tadi, ada 'tetamu istimewa' orang yang menjadi perhatian saya. Saya percaya orang lain juga sama terkutil di dalam hati mengenai dua tetamu ini. Walaupun ada beberapa orang anak-anak pejuang bangsa dan tokoh Umno terbilang seperti Tamrin Ghafar, Mazlan Haron, Fahmi Ibrahim dan lain-lain, namun mereka tidak sangat menjadi sorotan. Kehadiran mereka itu biasa saja atau pun ditenggelami dengan kehadiran dua tetamu ini.

Tetamu yang dimaksudkan itu ialah Khairy Jamaluddin dan Zaid Ibrahim, mereka benar-benar menjadi daya tarikan malam tadi. Mereka berdua diperhati oleh umum. Secara diam saya melihat para tetamu menjeling ke arah mereka. Dan sesekali bila saya mengintai ke meja mereka, nampak keduanya agak kekok dan kurang selesa dalam majlis itu terutamnya Zaid.

Mulanya saya sendiri tidak menyedari akan kehadiran mereka. Minda saya tidak mengira mereka sedia dan sanggup datang. Walaupun Khairy adalah ahli Parlimen Rembau, tetapi tidak terfikir ianya turut diundang oleh Aspan atau tidak terfikir Khairy sedia hadir kerana beliau akan berada dalam kumpulan penyokong Tengku Razaleigh yang rata-rata saya kira menjueh mulut, tidak hormat kepadanya.

Tetapi bila Khairy datang ia menunjukkan sikap keterbukaan Khairy. Saya menyedari kehadiran beliau bila saya mendekati ke sebuah meja utama untuk bersalaman dengan seseorang tetamu yang mengenali saya, tiba-tia Khairy muncul dan menyapa saya. "Oh... abang pun datang juga, ini kawasan saya bang, thanks," ujarnya penuh mesra dan mengembangkan senyum puas. Sambil menyambung memberi tahu siang tadi dia di Penang kerana menerima hadiah selempang silat cekak. Selepas jadi askar wataniah jadi pensilat pula Khairy?

Beliau berbual seketika dengan saya sambil mencari tempat duduk. Masa beliau datang semua kerusi Vip penuh. Sekejap kemudian Aspan yang menyedari kehadirannya mendekati dan menjemput Khairy duduk bersama meja di raja. "Tak pa, bang di sini saja,? katanya menolak pelawaan Aspan dengan penuh pengertian dan ikhlas.

Saya sikit teruja dengan telatah Khairy itu. Nampak dia seorang yang tidak suka mencari peluang untuk mempublisitikan dirinya dalam majlis itu. Atau pun dia tahu kalau dia duduk di meja utama bersama Tuanku dia akan dikatakan agah. Dia terus duduk bersama tetamu vip biasa itu dan tidak pun menganggap dia sebagai seorang Vip.

Selepas itu saya perhatikan banyak biji mata yang mencuri pandang kepada Khairy. Dia pula buat-buat biasa saja. Dia tahu beberapa meja yang setentang dengan mejanya adalah mereka yang dihuni orang-orang selalu mencemuhinya dan tidak menghormatinya sebagai ketua pemuda Umno.Khairy langsung tidak mempedulikan sentimen itu. Semasa majlis hampir usai saya nampak dia bersalam dengan semua tetamu penuh mesra.

Bagaimana pula dengan Zaid? Sekembali saya di meja bersama Zaharin Mat Yassin, Md Radzi Mustafa, "Dr Anwar" dan lain, seorang kawan lama datang memberi tahu yang Zaid baru tiba. Saya terkejut dan begitu juga beberapa tetamu yang berkongsi meja di sebelah kami. Tidak percaya. "Zaid datang..?" saya mahukan kepastian.

"Iya tu, dia duduk bersama bloger BigDog..., Zakir," jelasnya sambil menunding jari. Saya bangun dan menjenguk, benar Zaid nampak sedang membetulkan duduknya. Dia seolah diraikan oleh sdr Zakir, pengkagum nombor satu Dr Mahathir Mohamed.

Beberapa ketika kemudian saya bergerak untuk merakam gambar. Baru bidik camera ke arahnya, Zaid sudah nampak dan menyapa, "Hey...Ti...," sambil angkat tangan dan tersenyum. Dia mengamit tangan dan saya mendekatinya.

"Apa khabar?" tanya saya. Itulah pertemuan pertama selepas beliau kembali 'mabuk'. Cuak menimpa dalam hati takut-takut dia murih dengan apa yang saya ulas mengenainya dalam blog. Tetapi Zaid adalah seorang ahli politik yang sportingnya boleh tahan saja. Dia buat muka selamba sahaja seolah tidak ada apa-apa rengis dosa merasa kesal dan bersalah atas perbuatannya itu.

"I terlambat tadi, tersesat jalan..." kata Zaid tanpa ditanya. Dia cuba menyelesaikan dirinya.

"Sesat...? You memang selalu tersesat," balas saya berseloroh perlahan mungkin Zakir yang duduk disebelahnya tidak mendengar. Saya sebenarnya geram dan kesal atas keputusan yang dia lakukan. Bukan seolah beliau hilang kepercayaan kepada Anwar Ibrahim tetapi kesal atas perangainya mempermainkan perasaan penyokong. Dia jadikan penyokong bagaikan ikan laga dalam botol.

"You tak patut...buat," saya belum habis lapazkan kata-kata itu, dia sudah menyambung..."Nanti Ti... I telefon you kita duduk...sama nanti"

Masa saya berlalu meninggalkan meja Zaid, saya nampak ramai yang memerhati Zaid. Ada yang mengenyit mata sambil menjebehkan mulut. Saya faham erti aksi dan isyarat itu semua. "Berani dia datang?" tanya seorang tamu bila saya melewati depannya. Nampak sekali kejengkilannya kepada Zaid.

"Dia diundang... dia wajib datang.." balas saya membela Zaid.

Majlis berlangsung seperti tidak ada apa-apa dan semua tetamu senang dengan majlis itu. Perasaan semua tetamu seolah tertumpu kepada majlis, renjisan air mawar dan selepas itu kepada nyanyian karaoke.

Dan semasa saya menyinggahi beberapa meja atau menerima salaman tetamu yang kenal, semuanya membisik dan mengatakan mengenai Zaid. Semua menyifatkan keputusan Zaid itu tidak bijak dan politik budak hingusan nan penuh emosi. Ada yang kesal kerana Zaid membunuh peluang yang terbuka di depannya untuk muncul menjadi pemimpin popular dan berwibawa sekaligus menjadi pemimpin masa depan dalam PKR. Mereka membuat teori kalau beliau sabar sedikit saja akhirnya beliau akan mengambil tempat Anwar kerana Azmin Ali tidak disenang ramai.

"Silap Zaid ... dia sudah mabuk semula," kata seseorang dengan nada perli persis mengambil gelaran saya kepada Zaid.

Saya boleh kawal perasaan bila mengenangkan Zaid. Semua orang kena menerima keputusan itu adalah pilihannya. Soalnya betul atau salah masa dan keadaan menentukan. Tetapi saya sendiri yang sebelum ini pernah mendekatinya dalam usaha menunaskan semula politiknya selepas dipecat Umno tetap merasa kesal dengan apa yang dilakukan itu.

Apa yang menimpa Zaid turut juga menimpa saya kerana saya dilihat sesetengah orang menjadi teman dan rakan yang menguliknya sebelum beliau menerjunkan diri dengan labu-labunya ke dalam politik PKR. Seusai majlis saya tidak nampak Zaid berdiri bersama tetamu lain untuk bersalaman sebelum berpisah. Mungkin dia sudah berlalu apabila menyedari majlis itu kurang menyenangkannya atau dia merasa kekok untuk bertemu dengan tetamu dan rakan lain.

Tidak seperti Khairy yang selamba dan bersalaman dengan setiap tetamu yang berbaris atau sama-sama berderai keluar. Khairy mampu menyelesakan dirinya. Dia bersalam dengan seberapa ramai tetamu. Dalam kesempatan itu Khairy turut bersalam dengan 'lawyer' saya Radzi. Saya tenguk kemas dan kemen persalaman mereka dan Khairy pula penuh perhatian mendengar sesuatu yang diperkatakan Radzi.

Antara Aspan, Khairy dan Zaid malam tadi ternyata yang kurang selesa dan merasakan diri sebagai kera sumbang adalah Zaid bin Ibrahim.

http://msomelayu.blogspot.com/

No comments

Powered by Blogger.