Isu Air: Pakatan utamakan kepentingan rakyat

PETALING JAYA, 21 Nov - Kegagalan Kerajaaan Barisan Nasional (BN) dalam mendahulukan keutamaan rakyat, selaras dengan gagasan 1Malaysia seperti yang diperkatakan Perdana Menteri, menunjukkan BN lebih rela menyelamatkan syarikat-syarikat kroni daripada kepentingan rakyat.

“Orang ramai, terutama rakyat di Selangor telah dipermainkan kerajaan Barisan Nasional kerana mereka tidak mendahulukan kepentingan rakyat seperti yang sepatutnya dibuat,” kata Ahli Parlimen, Petaling Jaya Utara, Tony Pua.

Beliau berkata demikian pada sesi pertemuan bersama NGO kawasan Petaling Jaya, berkaitan isu takrifan air negeri Selangor yang masih dalam perbincangan, melibatkan empat syarikat konsesi air utama negeri, Syabas, Puncak Niaga, Splash dan Abbas.

Turut hadir sama dalam perbincangan ini ialah Ahli Parlimen Klang, Charles Santiago dan Ahli Parlimen Seputeh, Teresa Kok.

Katanya lagi, kerajaan BN lebih rela memberikan bantuan dengan syarat-syarat yang tidak difahami daripada mendahulukan keutamaan rakyat.

Pemberian pinjaman sebanyak RM320 juta, selama 20 tahun tanpa sebarang cagaran menunjukkan tindakan bersungguh-sungguh mereka demi menyelamatkan syarikat swasta yang membawa keuntungan sedangkan hutang yang ditanggung bernilai RM6.4 bilion.

Menurut beliau, situasi ini cukup jelas bahawa kerajaan lebih mementingkan keuntungan daripada syarikat-syarikat swasta yang tidak dimiliki mereka sehingga sanggup membiarkan rakyat terhimpit dengan kekangan kos hidup yang semakin meningkat.

Kerajaan negeri berusaha sedaya upaya untuk mengambil alih syarikat ini dengan harga yang berpatutan dan berjanji tarif air tidak akan dinaikkan, sebaliknya cuba diturunkannya pada kadar yang rendah.

Beliau menambah, kerajaan BN pada masa ini hanya boleh mengelak isu ini selain meletakkan kesalahan kepada kerajaan negeri kerana melengah-lengahkan perbincangan penstrukturan semula air di Selangor.

“Saya menyeru agar semua rakyat bangun dan sedar bahawa mereka dipergunakan atas kepentingan kroni-kroni Barisan Nasional,”katanya.

No comments

Powered by Blogger.