Isu Parti KeAdilan Johor: Mereka Senyap Seribu Bahasa

Beberapa minggu yang lalu, angin pilihanraya kecil telah bertiup kencang dari arah Galas dan Batu Sapi. Pada waktu yang sama, sedikit kekecohan telah berlaku dalam Keadilan negeri Johor.

Chua Jui Meng, selaku Pengerusi Majlis Pimpinan Negeri Johor (MPNJ), telah dituduh sebagai ‘diktator’. Mereka yang melemparkan tuduhan tersebut telah membuat tidak kurang daripada dua laporan polis.

Sebagaimana biasa, akhbar-akhbar dan tv arus perdana tidak melepaskan peluang yang terbuka untuk memasukkan jarum halus mereka. Waktu itulah, ‘belalang-belalang kecil’ yang terlompat-lompat di padang gersang telah tertipu dengan sangkaan bahawa mereka boleh terbang sampai ke awan untuk mencari makan!

Pada suatu hari dalam peristiwa tersebut, Chua Jui Meng telah memanggil saya dari Batu Sapi. Antara lain beliau bertanya, “You rasa apa patut kita buat?”

“Kita tengok saja dulu.….. “

Sebelum itu, Dr Noraini selaku Timbalan Pengerusi telahpun mengeluarkan satu arahan melalui sms supaya seluruh anggota “fokus kpd PRU ke-13”.

Bagi saya, itu sudah cukup jelas dan tepat.

Saya memang tidak bersetuju untuk respon melalui media pro-ameno/bn yang menjadi wadah kepada golongan tadi. Terperangkap dalam media musuh adalah satu kesilapan yang bebal di segi politik!

Kebetulan, sehari dua selepas itu, Setiausaha Negeri pula mengarahkan supaya sesiapapun tidak dibenarkan menghadiri pertemuan tidak sah yang bertujuan untuk memecahbelahkan Parti atau menabur fitnah terhadapnya.

Kedua-dua arahan tersebut mencerminkan kepimpinan yang bijak dan berdisiplin di peringkat Negeri Johor.

Justeru itu, golongan Zaid-Saiman yang pada mulanya ambisius, telah menjadi lemah dan semakin hilang sokongan.

Hal ini ternyata apabila beberapa ‘orang kuat’ mereka telah turut hadir dalam satu perjumpaan besar anjuran MPNJ di Pulai Spring Resort pada 11 November yang lalu.

Pada tarikh itu, seluruh pimpinan utama peringkat Negeri dan Cabang, termasuk wakil-wakil AMK dan Wanita telah berikrar menyokong pimpinan Pusat yang diketuai Ketua Umum Anwar Ibrahim dan Presidennya Dr Wan Azizah Wan Ismail.

Sokongan juga ditujukan kepada Chua Jui Meng selaku Pengerusi MPNJ.

Semua ini tidak terdapat dalam akhbar dan tv utama yang beria-ia sangat mahu melihat Keadilan Johor pecah dan punah.

Apabila Saiman keluar Parti, mereka rioh-rendah. Tetapi, apabila 121 borang permohonan untuk masuk menjadi anggota Parti diterima dari Cabang Semberong keesokan harinya, mereka senyap seribu bahasa!

syed hamid

[Sumber]

No comments

Powered by Blogger.