Keluarga Sosilawati Fail Saman RM60 Juta

SHAH ALAM, 2 Nov (Bernama) -- Keluarga Allahyarham Datuk Sosilawati Lawiya hari ini memfailkan saman terhadap N. Pathmanabhan dan lima pekerja ladangnya yang didakwa terlibat dalam kes kematian jutawan kosmetik itu bagi menuntut ganti rugi RM60 juta.

Keenam-enam anak Sosilawati, iaitu Erni Dekritawati Yuliana Buhari, Erwan Suwari, Rizuwan Buhari, Md Erwan Nasri Buhari, Erni Rineelawati Buhari dan Siti Nur Fatimah Buhari memfailkan saman itu melalui Tetuan Kamarudin & Partners di pejabat pendaftar Mahkamah Tinggi di sini pada 8.45 pagi.

Selain Pathmanadhan, mereka juga menamakan K.Kathavarayan, R. Mathan, T. Thilailayagan, J.Sarawanan dan U.Suresh sebagai defendan.

Dalam pernyataan tuntutan mereka, kesemua anak Sosilawati antara lain mendakwa bahawa kematian ibu mereka pada usia 47 tahun telah menyebabkan mereka mengalami trauma dan penderitaan yang berterusan.

Peguam mereka, Kamarudin Ahmad ketika ditemui media, berkata keluarga Sosilawati menuntut ganti rugi RM60 juta selepas mendapat maklumat terbaru bahawa Sosilawati berhasrat menyenaraikan syarikatnya di Bursa Malaysia.

Kesemua anak Sosilawati bagimanapun tidak hadir di mahkamah hari ini.

No comments

Powered by Blogger.