Kemelut PKR Johor selesai, kini tumpu PRU-13

Oleh Fazy Sahir

PETALING JAYA: PKR Johor yang dikatakan bergolak ekoran beberapa anggota tidak berpuas hati dengan kepimpinan Pengerusi Negeri Datuk Chua Jui Meng, kini bertambah kukuh dan menjadikan pilihan raya umum ke-13 fokus utama mereka.

Semalam FMT difahamkan lebih lima anggota PKR dari cabang Sembrong yang diketuai bekas Setiausaha Negeri Saiman Marjuki mengumumkan keluar parti.

Bagaimanapun, perkara itu tidak mematahkan semangat PKR yang kini menerima lebih 100 anggota baru.

Menurut Chua, walaupun terdapat percubaan merosakkan parti dengan menggunakan elemen Umno, namun setiap anggota parti di setiap cabang masih utuh menyokong kepimpinan Ketua Umum Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Presiden Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail.

Katanya, 23 cabang di Johor menyokong penuh kepimpinan tertinggi parti sekaligus membidas kenyataan Drs Mohd Zaid Yusof semalam bahawa 13 cabang menentang kepimpinan beliau di Johor.

"Mesyuarat malam tadi di Johor Bharu membuat ketetapan untuk menyokong kepimpinan Anwar, Azizah, saya serta kepimpinan tertinggi dalam menerajui parti.

"Walaupun wujud individu yang mahu rosakkan parti tapi kita sudah bersihkan mereka daripada parti. Pertemuan semalam memperlihatkan ahli penuh semangat dan berazam untuk kita tawan johor pada PRU ke-13 nanti.

"Malah daripada lima yang keluar parti, semalam kita turut menerima lebih 100 anggota baru," katanya yang dihubungi FMT.

Chua menjelaskan kemelut yang melanda di Johor sebelum ini disebabkan sikap tidak puas hati segelintir anggota terhadap keputusan perlantikan jawatan dalam majlis pimpinan.

"Disebabkan nila setitik rosak susu sebelanga. Kami semakin bersemangat untuk bawa perubahan. Anggota parti yakin dengan komitmen pimpinan tertinggi parti dalam meningkatkan kekuatan PKR dalam persediaan pilihan raya akan datang," katanya.

Sementara itu menurut Setiausaha Pengelola Zabidie Abas, pertemuan bersama ketua-ketua cabang memperincikan sokongan penuh kepada pimpinan PKR serta Chua.

Beliau turut menolak kenyataan Saiman dan Drs Mohd Zaid bahawa 13 cabang di negeri itu tidak berpuas hati terhadap Chua.

"Saya sudah kenal pasti dan bertemu dengan ketua-ketua cabang terbabit. Mereka menyatakan pendirian dan memberi sokongan penuh terhadap ketua umum, presiden dan Chua.

"Maka dakwaan Saiman dan Zaid bahawa cabang itu menentang Chua tidak berasas sama sekali. Mereka ini perosak dan tindakan Saiman meninggalkan parti amat bijak kerana dapat membersihkan individu seperti ini dalam parti," katanya.

No comments

Powered by Blogger.