Keputusan Pilihanraya Kecil DUN Galas Dan Parlimen Batu Sapi Selari Dengan Logik Politik Dan Lemahnya Sanggahan

BBB, 28 Zulkaedah = 05 November (Jumaat):

Keputusan kedua-dua pilihanraya di atas yang berpihak kepada BN sudah diketahui. Jika ditanya pendapat berkenaan kedua-dua keputusan, ``Keputusan nampaknya berpihak kepada logik politik !``

Di Galas, DUN ini berada di bawah Parlimen Gua Musang yang diwakili oleh Tengku Razaleigh. DUN-DUN yang lain di bawah Parlimen Gua Musang memangnya di bawah BN, kerana Parlimen menang, maka logiknya DUN-DUN di bawahnya seharusnya sama dimenangi – walaupun tidak semestinya demikian. Kemenangan Pas (Pakatan) di DUN Galas 2008 sedikit sebanyak adalah dari kekuatan pengaruh al-Marhum Che Hashim Sulaiman dan pimpinan negeri yang dapat mencanggahi pengaruh Tengku Razaleigh dan tiadanya tumpuan khusus terhadap DUN Galas dalam pilihanraya umum, ditambah dengan kelemahan lawan Mohamad Sufi Deraman. Majoriti Che Hashim kecil tak sampai separuh daripada yang dicapai Ahmad Aziz Yusof yang memenangi kerusi Galas baru-baru ini. Ianya juga logik dalam keadaan BN menurunkan segala kekuatannya bagi menawan kembali DUN Galas. Lebih logik lagi Tengku Razaleigh dilihat sebagai Wira Memperjuangkan Royalti minyak di Kelantan dan beliau dilantik sebagai Pengarah Pilihanraya di DUN Galas. Sungguhpun dia musuh kepada Pas (PR), tetapi Wira bagi rakyat negeri Kelantan, khusus di Gua Musang, termasuk di Galas. Tetapi dengan kemenangan ini apakah ada `reward` bagi perjuangan Tengku Razaleigh menuntut Royalti Minyak bagi Kelantan ? Atau apakah dia akan disimpan kembali sebagai `Veteran Politik Antik ?` Jika demikian `Arus Balik` akan memukul kembali terhadap pengaruh Tengku Razaleigh, mungkin dalam pilihanraya umum akan datang ! Dalam hal ini beliau dilihat sebagai diperalatkan oleh Pusat.

Kemenangan Datin Linda Tsen di Parlimen Batu Sapi dengan majoriti besar – lebih dari enam ribu undi, juga selari dengan logik politik. Beliau dilihat berada di atas landasan yang tepat. Pemilihannya dianggap bagi melanjutkan legacy suaminya Mendiang Edmond Chong Ket Wah dan mendapat simpati hangat dari pengundi, walaupun beliau ada perwatakan, tetapi masih lemah dari segi komunikasi pertuturan baik dalam bahasa Inggeris atau bahasa Malaysia. Pengundi tidak menganggap kelemahan ketara bagi Linda Tsen. Kekuatan Linda Tsen diperkukuhkan dengan kehadiran Yong Teck Lee, biarpun beliau Bekas Ketua Menteri Sabah, tetapi ketinggalan zaman. Slogannya `Sabah for Sabahan` tidak digemari oleh rakyat Sabah sendiri ! Ansari Abdullah dari PR ada kekuatan pada dirinya yang menjadi pertaruhan bagi PR, Beliau jatuh dua kali dari jambatan dan menjadi gimik politik baginya. Beliau sempat menyindir hospital kerajaan yang tak dapat mengesan retak tulangnya akibat kejatuhan ! tetapi dalam masa yang singkat, beliau masih belum dapat memintas populariti Linda Tsen. Ada ruang bagi masa depan politiknya.

Dengan keputusan pilihanraya kecil Galas dan Batu Sapi menghangatkan situasi politik tanahair. BN tentu merasa lebih confident di dalam menghadapi lawan. Kalau dahulu ungkapan lawan mau mara menawan Putrajaya, benar-benar menggerunkan Datuk Seri Najib dan seolah-olah bagai terjadi, sehingga terkeluar ungkapan dari Perdana Menteri itu akan mempertahankan Putera Jaya dengan apa cara ! Kini kebimbangan mereka menjadi kendur dan PR tentunya tidak terhenti di dalam membuat kenyataan provokatif. Dengan kemenangan ini mungkin mempercepatkan Pilihanraya Negeri Sarawak atau mungkinkah selepas kemenangan baru dicapai, maka pilihanraya Negeri Sarawak diadakan serentak dengan pilihanraya Umum ke 13 ? Jika ini menjadi percaturan pilihan, maka kerancakan pilihanraya akan memuncak berlaku. Bersedialah semua pihak.

Walau apa pun persediaan pilihanraya bagi mana-mana pihak bagi menawan hati rakyat perlu menampakkan logik politik dan meyakinkan hati rakyat yang menjadikan mereka memihak kepada pihak yang diyakini. Ia bukan saja pembangunan, tetapi tingkah laku dan perjalanan selama ini menjadi perkiraan dan perhitungan rakyat ditambah dengan logik dan keyakinan masa depan yang mampu ditawarkan yang juga dipertimbang secara logik dan meyakinkan.

Sekian.

http://drshafie.blogspot.com/2010/11/keputusan-pilihanraya-kecil-dun-galas.html

No comments

Powered by Blogger.