Lelaki ditetak menantu meninggal

KOTA TINGGI: Seorang lelaki berusia 52 tahun parah akibat ditetak menantu berusia 23 tahun dalam pergaduhan di rumahnya di sini petang kelmarin, meninggal dunia ketika dirawat di Hospital Sultanah Aminah (HSA), Johor Bahru, awal pagi semalam.

Dalam kejadian jam 2.40 petang itu, mangsa, Armen Suardi, 52, cedera di kepala dan dada selepas diserang menantunya menggunakan objek tajam dipercayai pisau.
Mangsa berlumuran darah pergi sendiri ke Balai Polis Bandar Tenggara bagi membuat laporan berhubung perkara itu sebelum dihantar ke klinik kesihatan bagi mendapatkan rawatan.

Bagaimanapun, mangsa terpaksa dirujuk ke HSA sebelum disahkan meninggal dunia selepas 16 jam kejadian berkenaan.

Ketua Polis Daerah Kota Tinggi, Superintendan Osman Muhammad Sebot, ketika mengesahkan kejadian berkata pihaknya terus melancarkan gerakan memburu suspek sejurus menerima laporan.

“Siasatan awal mendapati suspek melarikan diri ke Mersing selepas kejadian itu namun dengan kerjasama semua pihak, lelaki berusia 23 tahun itu berjaya ditahan di rumah keluarganya di Kampung Lubuk, Pengkalan Batu,” katanya.

“Suspek kini direman seminggu bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan,” katanya di sini, semalam.

No comments

Powered by Blogger.